Support My Blog

Monday, July 31, 2017

TANAM KACIP FATIMAH - TESTIMONI

KACIP FATIMAH (Labisia pumila) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Myrsinaceae yang digunakan oleh masyarakat Melayu semenjak dulukala terutama untuk kesihatan wanita khususnya selepas bersalin. Banyak maklumat mengenai Kacip Fatimah yang boleh didapati daripada internet daripada kajian-kajian institut penyelidikan, mengenai khasiat, kajian makmal dan penjualan anak benih untuk penanaman. Walau pun kini tidak banyak maklumat mengenai agronomi tanaman herba ini dan juga mengenai aliran wang tunai atau cashflow didapati tetapi kerajaan telah cuba membangunkan tumbuhan herba ini melalui program NKEA iaitu dibawah Pembangunan Kluster Herba (EPP1). Beberapa rujukan menyatakan kacip fatimah yang tumbuh dan terdapat di Malaysia dan terdapat 3 varieti yang telah dikenalpasti iaitu L. pumila var alata, L. pumila var pumila dan L. pumila var lanceolata (Stone, 1988). Kebanyakan tumbuhan ini adalah liar dimana sumber bekalan herba ini dahulu diperolehi daripada kawasan hutan atau belukar secara semulajadi dan tidak banyak maklumat mengenai penanaman herba ini secara komersil. Pengalaman penulis dalam membuat kajian mendapati pada tahun 2014 kawasan terluas menanam kacip fatimah secara komersil adalah di Pusat Pertanian Parit Botak, Batu Pahat, Johor dengan kaedah penanaman yang moden dan monokrop. Projek ini yang dijadikan 'Model Farm' oleh Jabatan Pertanian melibatkan usahawan swasta untuk bersama dalam kajian daripada penanaman sehingga pemprosesan. Permintaan pasaran yang tinggi menyebabkan telah ada usaha untuk menghasilkan anakbenih secara komersil bagi penanaman kacip fatimah dan beberapa kaedah penanaman. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis herba yang terkenal dikalangan masyarakat kita dan testimoni penanaman herba kacip fatimah dinegara ini.

Pada masa ini jenis Labisia pumila var alata merupakan varieti yang didakwa paling baik untuk digunakan bagi tujuan perubatan tradisional dan mendapat permintaan tinggi dipasaran. Bahagian DAUN kacip fatimah adalah tidak banyak dan ttumbuh mendatar atau menegak yang berwarna hijau gelap dibahagian atas dan hijau cerah dibahagian bawah daun atau pucuk muda. Lazimnya saiz daun kacip fatimah adalah berukuran 5 -30 cm panjang dan 3 - 9 cm lebar bergantung kepada jenis dan habitat. Daunnya mempunyai bau dan rasa agak kelat. Dilaporkan juga yang daun ini tidak mempunyai stomata yang dapat dilihat dibawah mikroskop. Pokok renek ini mempunyai ketinggian antara 10 - 50 cm dengan akar utama panjang dan akar rambut yang kukuh yang merebak dibawah batangnya. Bahagian akar kacip fatimah dan bahagian batang dikatakan mempunyai khasiat untuk diproses bagi produk kesihatan. Pelepah daun tumbuh dari perdu pangkal pokok dengan susunan spiral. Bunganya agak kecil berwarna putih atau pink dengan jambak berukuran 6-30 cm panjang. Kacip Fatimah menghasilkan buah yang kecil berwarna ungu atau merah terang berukuran 0.5 cm garispusat (Sila lihat foto dibawah). Dalam pada itu penulis bagaimana pun tidak pernah jumpa buah kacip fatimah yang ditanam di Johor kerana ia dikutip hasil diperingkat awal lagi.

Biji kacip fatimah untuk disemai adalaj yang telah matang, tulin dan sihat. Penanaman herba Kacip Fatimah memerlukan ilmu pengetahuan kepada usahawan yang ingin memajukannya. Habitat semulajadi tumbuhan ini adalah dikawasan terbuka bagaimana pun dilaporkan penanaman dikawasan bernaung untuk tujuan pertumbuhan lebih baik. Kepada mereka yang menanam kacip fatimah sebagai hobi sahaja boleh ditanam dikawasan lapang keliling rumah atau pun ditanam dalam pasu, kotak atau bekas tong. Isikan tanah gembur kedalam pasu dan masukan anakbenih kacip fatimah didalamnya. Pembiakan herba kacip fatimah pada masa kini dibuat dengan memilih bijibenih matang dan disemai dalam kotak pasir sehingga tumbuh. Teknik keratan akar (pecahan akar) juka boleh digunakan untuk mendapatkan anak benih. Alihkan anakbenih kedalam polibeg plastik sehingga berukuran sesuai untuk dijual atau dialihkan keladang. Kini terdapat beberapa syarikat yang telah mula membiakan anakbenih kacip fatimah dengan teknologi tisu kultur. Isu utama kekurangan anakbenih kacip fatimah perlu diatasi bagi mempercepatkan insudtri tanaman kacip fatimah.

Antara kaedah penanaman kacip fatimah adalah dikawasan redup atau kawasan bernaung yang sesuai dari tanah yang subur dan mempunyai saliran yang baik. Jarak penanaman disyorkan 1m x 0.5m empatsegi sama atau lebih rapat bergantung kepada sistem tanaman. Berikan baja organan dikawasan lubang penanaman dan baja TSP diperingkat awal. Ada yang menanam diatas batas untuk memudahkan pengurusan rumpai dan amalan agronomi. Terdapat usahawan yang menanam kacip fatimah didalam kawasan khas seperti tapak semaian dengan menggunakan polibeg yang mengandungi media tanaman tanah campuran atau cocopeat diletakkan dibawah struktur jaring hitam (netted shade). Cara ini memang memudahkan pengurusan dan boleh dilihat pertumbuhannya jika diletakan dihadapan rumah (Lihat foto diatas). Sebaiknya saiz plastik agak besar untuk memberikan sistem pengakaran yang lebih jauh. Pasangkan sistem pengairan dikawasan tanaman.

TESTIMONI AKHBAR
Kampung Sagil rintis tanam kacip fatimah

TANGKAK 26 Jun - SEJAK sekian lama, herba kacip fatimah atau nama botaninya, Labisia pumila telah digunakan secara meluas dalam rawatan tradisional. Bagi masyarakat Melayu, tumbuhan yang hidup meliar di hutan itu digunakan sejak turun-temurun lalu bagi memulihkan tenaga wanita yang baru lepas bersalin. Kacip fatimah juga dipercayai mampu untuk mengekal dan menguatkan sistem peranakan wanita yang menghampiri usia menopaus. Menyedari khasiat dan kebaikan tumbuhan itu, Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil, Tangkak, Johor telah memulakan projek penanaman herba kacip fatimah di atas tanah seluas satu ekar (0.4 hektar) di kampung tersebut. Projek di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah itu dijangka memberikan hasil lumayan sehingga RM100,000 untuk sekali tuaian yang mengambil masa sembilan bulan sebelum dituai. Sebagai permulaan, seramai 10 peserta daripada 50 ahli persatuan diberi kepercayaan mengendalikan tanaman herba masing-masing yang bermula Ogos tahun lalu. Salah seorang peserta, Mohd. Zulkarnain Andi Patman, 42, berkata, projek itu berpotensi meraih hasil tuaian kacip fatimah basah antara 2,000 dan 5,000 kilogram bagi setiap 2.5 ekar (satu hektar) tanaman. Ia dijanga akan menambah pendapatan peserta. Katanya, projek itu dapat memberi peluang kepadanya dan penduduk kampung menambah pendapatan sampingan, sekali gus meningkat mobiliti sosial komuniti. Peserta menyambut baik usaha kerajaan terutamanya Jabatan Pertani dengan kerjasama MOSTI kerana membawa projek ini ke Kampung Sagil. Saya amat berterima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini. Projek ini dijangka mampu menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat. Apa yang menariknya, kacip fatimah yang dihasilkan peserta persatuan itu akan diberi jaminan belian balik oleh syarikat Bioalpha East Coast Agro Sdn. Bhd., (Bioalpha). Pengarah Urusan Bioalpha, William Wong berkata, kacip fatimah mempunyai permintaan tinggi daripada penggiat industri produk kesihatan.

SERAMAI 10 orang peserta yang terdiri daripada ahli Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil menerima sijil penghargaan daripada MOSTI. Jelasnya, ia didorong oleh kesedaran masyarakat di seluruh dunia mengenai khasiat herba tersebut. Namun malangnya, bekalan tumbuhan herba itu sangat terhad, sekali gus menjejaskan pengeluaran produk. Mereka memberi jaminan akan membeli hasil tanaman kacip fatimah di sini. Kami sangat memerlukan bekalan kacip fatimah dalam penghasilan produk kesihatan seperti tablet dan pil untuk kegunaan wanita. Produk syarikat tersebut kini mendapat permintaan tinggi di luar negara terutamanya dari China. Kekurangan bekalan kacip fatimah mengehadkan pengeluaran produk,” katanya. Hasil kajian yang dilakukan oleh pihaknya, tanaman kacip fatimah di Kampung Sagil adalah lebih baik berbanding ladang-ladang di tempat lain. Dari segi biaya tambah William, ia didorong oleh kesuburan tanah dan iklim di kampung itu selain pengetahuan petani membesarkan tumbuhan tersebut dengan betul. Kini penanaman kacip fatimah itu turut menjadi projek contoh bagi Malaysia Bioeconomy Developement Corporation Sdn. Bhd., (Bioeconomy Corporation). Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Bioekonomy Corporation, Syed Agil Syed Hashim berkata, projek itu mendapat Dana MOSTI Social Innovation (MSI) yang membolehkan syarikat membiayai kos latihan, peralatan dan baka kacip fatimah. Katanya, menerusi peruntukan itu, ahli-ahli persatuan berkenaan akan diberi latihan dan kemahiran memperbanyakkan baka kacip fatimah melalui pembiakan secara keratan. “Penduduk di kampung ini sangat bertuah kerana kawasan telah dipilih oleh kementerian untuk projek penanaman kacip fatimah. Usaha ini sedikit sebanyak dapat membangunkan industri kacip fatimah di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek MSI Bagi Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi-Projek Penanaman Herba Kacip Fatimah di Kampung Sagil baru-baru ini. Turut hadir Menteri MOSTI, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, Datuk M. Asojan. Syed Agil memberitahu, pihaknya sentiasa menekankan usaha untuk memperkasakan masyarakat desa kerana mereka mempunyai keupayaan membentuk negara progresif. Sehubungan itu, Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) berjaya memanfaatkan masyarakat luar bandar khususnya dalaman kalangan petani untuk membekalkan bahan mentah kepada industri. Model perniagaan koperasi dengan kerjasama syarikat berstatus BioNexus dalam BCPD merupakan satu pendekatan unik kerana ia membolehkan petani meraih pencapaian kolektif. Laporan akhbar ini menunjukkan tanaman herba kacip fatimah telah mendapat sambutan beberapa pihak untuk dimajukan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
KACIP FATIMAH.... SEJENIS HERBA...
BANYAK KHASIAT...TERUTAMA WANITA...
KAWASAN SAGIL... DIPILIH LAKSANA...
SEMUGA BERJAYA... HASIL DIJANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok,
Gersik, Ledang,
Johor, Malaysia.
(28 Ramadan 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...