Support My Blog

Thursday, June 15, 2017

LIMAU MANIS - KAJIAN KES

LIMAU MANIS (Citrus suhuensis) merupakan sejenis limau yang ditanam untuk dimakan segar daripada keluarga Rutaceae. Limau Manis ini juga dikatakan sebagai 'Limau Langkat' disesetangah kawasan. Penanaman limau di Malaysia merupakan satu industri yang mencabar kerana banyak usaha telah dijalankan untuk memajukan tanaman limau manis tetapi sehingga kini masih belum berjaya sehebat tanaman durian, rambutan dan buah-buahan lain. Ini kerana masaalah serangan utama yang boleh memusnahkan industri tanaman limau manis iaitu Citrus Greening Disease (CGD). Pada masa ini beberapa varieti yang dikatakan sebagai limau manis di Malaysia adalah seperti Limau Manis Tempatan atau Limau Manis Madu (Varieti M32) yang pernah ditanam di Malaysia. Keluasan tanaman limau manis di Malaysia cuma sekitar 3,800 hektar dengan hasil sebanyak 18,500 metrik tan pada 2012. Terdapat satu varieti atau klon limau madu yang dikenali dengan Varieti M33 yang berasal dari Segamat Johor telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Daerah Asajaya di Sarawak merupakan satu kawasan utama tanaman limau langkat di Malaysia dengan keluasan 294 hektar pada tahun 2009 diikuti dengan Daerah Simunjan Sarawak (288 ha) dan Daerah Beaufort Sabah (230 ha). Bagaimana pun penulis blog mendapati industri tanaman limau manis di Malaysia semakin kurang popular semenjak 15 tahun kebelakangan ini. Keluasan tanaman limau manis atau limau langkat ini pada ststus-quo dimana keluasannya tidak berapa bertambah. PernaH diujudkan 'citrus valley' di beberapa negeri tetapi banyak yang gagal menjadi kawasan pengeluaran limau manis.  Artikel kali ini dalam "Anim Agro Technology" saya membentangkan teknologi tanaman Limau Manis atau Limau manis Madu berdasarkan beberapa pemehatian kajian di Johor, Kedah, Terengganu dan Pahang untuk bahan bacaan dan rujukkan.

Penanaman limau manis madu atau nama saintifiknya Citrus sinensis ada diusahakan oleh beberapa petani di Pahang seperti yang saya sempat melawat iaitu di kawasan Hulu Tembeling, Jerantut oleh petani tempatan yang dibantu oleh Jabatan Pertanian. Limau manis kini mendapat permintaan yang terus meningkat di pasaran tempatan. Salah seorang petani dari Kampung Tempan iaitu Adenan Nipah yang berumur 55 tahun didapati telah memajukan tanah seluas lapan hektar untuk tanaman limau madu dan sayur-sayuran. Projek tanaman itu bermula pada 1994 sebagai percubaan awal walaupun harus bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan lain. Benih limau manis ini diperolehi daripada Jabatan Pertanian yang turut memberi bimbingan dari aspek teknikal pengurusan tanaman dan ladang pada peringkat awal. Sebanyak 700 anak benih limau itu disulam di kawasan tanah pinggir kampung tersebut yang sudah diteroka untuk dimajukan dengan projek berkenaan. Beliau menerima tunjukajar mengenai teknik menanam dan amalan agronomi tanaman limau manis daripada pegawai Jabatan Pertanian Pahang. Selain itu beliau juga beberapa kali melawat kebun tanaman limau manis di beberapa negeri lain dan disitulah sebenarnya beliau mendapat tahu beberapa rahsia kejayaan mereka. Banyak perkara-perkara teknikal dan pengurusan tanaman limau manis ini yang amat perlu diketahui.

Kini selepas tiga tahun bersusah payah menjaga tanaman limau manis ini, akhirnya kebun limau manis beliau telah membuahkan hasil pertama pada 1997. Menurut petani tersebut sehingga kini dia mendapat pasaran yang baik di pasar tani dan beberapa buah pusat pelancongan di Taman Negara. Tanaman limau manis memang perlukan ilmu pertanian yang khusus dengan kemahiran teknikal untuk menguruskannya. Ini kerana ada beberapa serangan akan memusnahkan pokok limau jika tidak dibuat pemantauan kerap dan membuat kawalan yang semnouna. Antara masaalah yang boleh menjejaskan tanaman limau adalah seperti Citrus Greening Disease (CGD) yang dibawa oleh Diphorina citri dan juga Penyakit Kanker Batang (Xanthtomonas citri) yang boleh membunuh tanaman. Penyakit limau manis lain seperti Reput Pangkal atau Reput akar (disebabkan oleh Phythopthora nicotiane) dan juga penyyakit virus Tristeza. Petani terpaksa menjaga dengan rapi untuk mengelak pokok limau tersebut mati akibat serangan ulat, penyakit tanaman dan musuh lain iaitu babi hutan. Pemeriksaan tanaman limau manis secara berkala perlu sentiasa dilakukan untuk mempastikan pokok sihat dan dipantau.

Pemerhatian saya mendapati sehingga kini cuma sebanyak 600 batang pokok mengeluarkan buah antara 400 hingga 700 biji setiap musim berbuah. Harga jualan ladang setiap sekilogram buah limau itu dijual dengan harga RM4.00 kepada pelawat di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Pagi dan kawasan lain yang berdekatan. Kajian kes limau manis tersebut menunjukkan bahawa anggaran pendapatan harian jualan buah limau mencecah antara RM80.00 hingga RM100.00 yang akan digunakan untuk belanja dapur, persekolahan, membeli baja dan racun serangga. Daripada pemerhatian yang penulis blog telah jalankan menunjukkan yang limau yang baru dipetik boleh dimakan begitu sahaja atau dapat bertahan beberapa hari sebagai limau segar atau untuk diperah menjadi jus yang manis. Projek tanaman limau manis ini boleh dijadikan contoh untuk petani lain yang masih berminat dengan tanaman limau manis. Usaha menanam limau manis ini akan diteruskan dengan memajukan tanah terbiar berdekatan rumah dengan tanaman limau dan buah naga yang boleh mengecapi pulangan lumayan sesuai dengan kudrat dalam usia emasnya. Begitulah testimoni seorang petani yang berasal dari Kh Tempah, Hulu Tembeling, Pahang yang ada pengalaman menanam limau manis sebagai satu kajian kes untuk kita jadikan contoh. Semuga ianya memberi maklumat berguna kepada anda pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
LIMAU MANIS... LIMAU KESUKAAN...
SUKAR DITANAM... HASIL BERTAN...
PERLU DIJAGA... BANYAK SERANGAN...
DIJUAL SEGAR... HARGA BERPATUTAN...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Tempah, Hulu  Tembeling, 
Jerantut, Pahang,
Malaysia
(5 Ramadan 1434H)
Kemaskini pada 14 Jun 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...