Support My Blog

Sunday, April 23, 2017

CACING NEMATOD - RACUN APA KAWAL?

CACING NEMATOD (Nematodes) merupakan jenis cacing dari Phyllum Nematoda yang mempunyai lebih dari 15,000 spesis diseluruh dunia. Nematod mempunyai struktur badan yang ringkas di panggil sebagai PSEUDOSEOLOM yang membentuk badan cacing berkulit dan tiada kepala atau ekor yang nyata. Bentuk badannya yang panjang halus seperti 'Benang' (Thread) dengan kulit seperti haiwan lain tanpa organ dalaman yang kompleks. Saiz nematod yang halus hanya dapat dilihat dengan menggunakan teropong khas. Dalam satu gengam tanah mungkin ujud beribu-ribu ekor cacing nematod dan ianya cepat membiak dalam keadaan sesuai. Kebanyakan cacing nematod dikaitkan dengan hidupan yang merosakan tanaman dalam sektor pertanian yang mampu memusnahkan kesuburan tanaman. Artikel malam ini saya menulis beberapa jenis cacing nematod yang terdapat di Malaysia berdasarkan dari beberapa pembacaan dan rujukan dari Jabatan Pertanian yang saya baca. Cacing Nematod merupakan salah satu perosak tanaman yang telah dikenalpasti dengan menyerang bahagian akar dan kadang2 menyerang batang tumbuhan. Cacing Nematod ini mampu untuk menghalang pergerakan air, zat makanan dan nutrien dalam Felum dan Xylum dalam tumbuhan dan ini tentunya merencatkan pertumbuhan pokok. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila cacing nematod simbiosis dengan patogen lain seperti Kulat (Fungi), Bakteria dan juga Virus pada tanaman. Pengalaman penulis mengenai perosak nematod didalam Kebun Jambu Batu (Psidium guava) di Chempelak, Segamat dan Muar, Johor telah menyebabkan pokok jambu batu yang berupaya hidup sehingga 10-15 tahun akan musnah dalam masa kurang 5 tahun sahaja. Kebanyakan petani akan menebang pokok jambu batu dan menanam pokok baru selepas 5-6 tahun dan katanya cara ini adalah lebih praktikal dari usaha untuk mengawal serangan nematod. Artikel petang Ahad ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai beberapa jenis cacing nematod dan kaedah kawalan menngunakan beberapa cara termasuk racun kimia.

Cacing Nematod merupakan sejenis cacing yang amat halus dan amat ketara kesannya apabila menyerang tanaman. Di antara tanaman yang sering diserang nematod daripada sayur-sayuran seperti tanaman daripada keluarga Cucurbitaceae, Lobak Merah, Jambu Batu dan beberapa jenis tanaman lain. Pemerhatian penulis dibanyak ladang jambu batu di Johor, Perak, Pahang dan Melaka ada meninjau bagaimana cacing nematod mampu memusnahkan ladang jambu batu dengan teruknya. Pada waktu pokok jambu masih vegetatif kadar serangan kurang serius berbanding dengan apabila pokok jambu batu telah matang dan berhasil (Sila liht foto disebelah). Penulis sering memberi khidmat kepakaran kepada penanam jambu batu bagaimana punca serangan dan simptom serangan nematod dan langkah-langkah mengatasinya. Kawalan nematod di peringkat ladang agak sukar. Ia memerlukan masa yang lama dan kos yang tinggi. Serangannya pula selalu lewat dikesan. Pokok-pokok jambu abatu yang diserang wajar dimusnahkan bagi mengelakkan penyebaran dan menjimatkan kos pengurusan tanaman. Walaupun begitu, jika pokok tidak diserang dengan teruk dan masih boleh pulih, rawatan secara kimia boleh digunakan pada kadar yang agak tinggi. Dalam perbincangan penulis dengan ramai penanam jambu batu ada menyatakan dimana berkemungkinan penggunaan mikroorganisma berfaedah (EM) untuk mengawal nematod mungkin berkesan jika dijalankan dengan kaedah yang betul dan saintifik. Ramai penanam jambu batu di Daerah Ledang (dikawasan Sengkang) telah menukar dengan tanaman lain akibat masaalah serangan nematod. Semuga artikel informatif ini memberikan ilmu pengetahuan kepada pembaca semua. 


Terdapat 4 jenis nematod yang ada di Malaysia iait jenis Nematod Puru Akar, Nematod. Nematod Reniform, Nematod Lession dan Nematod Akar Padi yang telah dikenalpasti menyerang tanaman.


A) NEMATOD PURU AKAR
Nematod jenis ini adalah jenis yang paling mudah dijumpai dalam kawasan kebun di Malaysia. Terdapat dua jenis nematod jenis ini iaitu Meloidogyne incognita dan Meloidogyne javanica. Cara serangan nematod puru akar bermula dari peringkat anak benih bagi kebanyakan jenis tanaman seperti Jambu batu dan Cili. Nematod mampu bertelur sehingga 200,000 biji dalam tanah dan larva yang menetas akan bergerak kepada akar tumbuhan. Semasa dalam akar larva akan membesar dan menjadi nematod dewasa yang membengkak dalam akar berbentuk seperti Puru atau membengkak. Kitaran hidup nematod ini sekitar 27 - 28 hari tetapi mampu membiak dengan kuantiti yang banyak. Tanda serangan apabila tumbuhan menjadi terencat, bantut, keguguran daun sehingga pokok akhirnya boleh mati jika bergabung dengan serangan oleh kulat, bakteria dan sebagainya. 


B) NEMATOD RENIFORM
Jabatan Pertanian hanya menemui satu jenis nematod jenis ini di Malaysia iaitu dengan nama saintifik sebagai Rotylenchulus reniformis yang taburan jenis ini adalah meluas pada banyak jenis tanah dan menyerang banyak jenis tanaman. Ada sebanyak 34 spesis nematod ini dimana kebanyakan menjadi endo-parasit atau berada didalam tanah. Nematod betina dewasa sahaja yang akan menembusi akar tumbuhan dan dalam akar nematod akan membentuk tiub makanan dibahagian kortex akar. Kajian menunjukkan nematod jenis ini boleh hidup selama 28 hari dalam akar pokok betik. Antara jenis tanaman yang disukai oleh nematod jenis ini adalah seperti Bayam, Kacang Panjang, Bendi, Sawi, Cili, Keledek, Betik, Tomato, Ubi Kayu, Kacang Buncis, Lobak, Tebu , Terung dan Jagung. 


C) NEMATOD LESSION
Jenis nematod Lession (Pratylenchus sp.) juga sejenis nematod yang ada di Malaysia dan menyerang beberapa jenis tanaman seperti Pisang, Kacang Tanah dan beberapa jenis bunga-bungaan atau pokok Ornamental. Nematod Lesion bersifat endoparasitik yang masuk dalam akar tumbuhan dan merosakan dengan membentuk lession yang berwarna kehitaman. Pokok Kekwa dan Anthurium merupakan jenis tumbuhan yang paling serious serangan nematod jenis ini yang menyebabkan daun menjadi kuning, klorosis, akan terbantut pertumbuhan dan sering ujud populasi yang tinggi.


D) NEMATOD AKAR PADI 
Nematod jenis ini dikenali dengan nama iaitu Hirschamaniella oryzae dimana ia lazimnya akan menyerang akar padi yand ditanam. Jenis ini menyerang pada banyak varieti padi yang ada di Malaysia. Nematod ini lazinya akan cuba menyerang bahagian akar padi sebagai satu endoparasit dengan tinggal dibahagian kortek akar padi dan menyebabkan daun padi akan menjadi kekuningan dan membantutkan tanaman.  Apa yang berlaku sebenarnya apalila terdapat serangan cacing nematod masa pesawah perlu mengawal dengan segera.

Antara kaedhah kawalan cacing nematod ada pelbagai kaedah.  Pendekatan berdasarkan pengurusan perosak bersepadu boleh sahaja digunakan. Dua aspek utama yang perlu dipertimbangkan ialah kerosakan tanaman mencapai aras ambang ekonomik dan penggunaan racun perosak yang berhemat. Jika dua aspek ini belum dapat dipastikan, serangan nematod terhadap tanaman tidak memerlukan tindakan pengawalan. Serangan nematod yang terbukti tidak menjejaskan hasil tanaman walaupun pada aras populasi yang amat tinggi, tidak memerlukan penggunaan sebarang racun atau kaedah kawalan. Serangan nematod yang perlu ditangani ialah serangan terhadap tanaman jambu batu, pisang, tembakau dan bunga-bungaan, terutamanya kekwa dan anthurium. Serangan nematod boleh dikawal di peringkat penyediaan tanah untuk anak benih. Campuran tanah tersebut perlu dipastikan bebas daripada nematod. Pemastian ini dilakukan dengan menganalisis aras dan jenis nematod. Jika aras populasinya tinggi dan jenis nematodnya berbahaya, rawatan menghapuskannya perlu dilakukan. Rawatan pada jumlah tanah yang sedikit ini, menjimatkan kos penyediaan dan kerugian hasil di peringkat ladang dapat dikurangkan. Kaedah rawatan yang biasa digunakan ialah pengewapan dengan wap air dan pengwapan dengan fumigan. Pada tanaman tembakau dan bunga-bungaan, rawatan dazomel pada tapak semaian sebelum biji benih tembakau ditabur dan anak benih bunga-bungaan ditanam, mampu menyekat serangan awal nematod. Pendekatan yang sama digunakan dalam mengawal serangan nematod terhadap anak benih di dalam polibeg. Rawatan menggunakan bahan kimia fenamifos, karbofuran dan cadusafos pada kadar yang rendah terhadap anak benih dalam polibeg dapat mengurangkan serangan nematod puru akar pada tanaman jambu batu, pisang dan tembakau. 

Serangan Cacing Nematod merupakan sejenis perosak yang berada didalam akar tumbuhan yang mengganggu pertumbuhan tanaman. Ia adalah sejenis cacing yang berada dalam tanah dan akan masuk dalam akar tumbuhan lalu merosakkan akar tumbuhan sehingga boleh menyebabkan kematian pokok. Antara tanaman yang pernah penulis baut penelitian adalah pokok Jambu Batu (Guava) di beberapa projek TKPM dan Ladang kelompok Komersil di Johor. Pokok jambu yang ditanam boleh diserang oleh nematod yang dibawa daripada bahan tanaman, lori pengengkutan, tahi ayam dan kebun jiran disebelah yang telah ada serangan nematod. Memang agak sukar untuk kenal serangan nematod jika tidak tahu cara diagnois yang betul. Ramai petani tidak mengetahui tanda-tanda serangan nematod pada peringkat awal terutama jika tidak pernah membuat latih amal. Serangan nematod boleh di kurangkan risiko dengan pemilihan bahan tanaman yang sesuai, mengelakan mengambil tanah atau benih dari kawasan yang telah diserang dan juga melaksanakan kawalan secara bersepadu. 

Di Malaysia terdapat 4 jenis racun nematod yang di luluskan oleh LPRMP iaitu jenis (a) Dazomet  (b) Fenamiphos, (c) Carbofuran dan juga (d) Cadusafos. Racun Jenis (a) Dazomet.  Racun nematod yang mempunyai bahan aktif dazomet bertindak dengan penguraian kepada methyl isotiosanat dengan cara tindakaan yang tidak diketahui. Racun ini berkesan digunakan untuk mengawal nematod. Dipasaran racun jenis ini dijual dengan nama dagangan BASAMID GRANULAR. Sementara itu kedua iaitu Racun Fenamiphos merupakan jenis racun yang memang mengandungi bahan aktif fenamiphos ini adalah dari kumpulan organophosphate yang bertindak dengan cara sistemik dan juga sentuhan. Cara tindakannya melalui penghalang 'cholintrase' yang bertindakbalas. Racun ini digunakan untuk kawal nematod dipelbagai peringkt. Antara nama dagangan racun ini dipasaran seperti LANCER 10G, NEMACIDE 10G dan NEMACUR 10% GR. Jenis racun ini popular digunakan petani seperti penanam jambu batu di sekitar Muar Johor. Ketiga adalah jenis racun Carbofuran 
Jenis racun nematod ini mengandungi bahan aktif carbofuran yang bertindak dengan penghalang 'cholinesterase' pada cacing nematod. Racun ini adalah jenis sistemik dan berbentuk butiran atau lain-lain bentuk . Antara nama-nama dagangan racun jenis ini adalah seperti CARFURAN 3G, CHA FURAN, FURADAN 3G, POFER 3G, SERBACO G33, SYSTEMIS 3G. Akhir sekali ke 4 adalah racun nematud jenis Cadusafos dimana jenis racun ini mengandungi bahan aktif kumpulan organophosphate yan juga bertindak sebagai penghalang 'cholinetrase' pada mangsa.Bentuk dipasaran adalah dalam bentuk butiran (granule). Racun ini jenis memusnahkan secara sistemik dan nama dagangan adalah APACHE 10G. Cara mengguna racun nematod perlu mengikuti kaedah yang betul. Baca label pada kotak racun nematod yang dibeli dan patuhi arahan iaitu penggunaan mengikut kadar dan masa yang tepat. Patuhi arahan Post Harvest Interval (PHI) dengan betul kerana kesan sisa baki racun sistemik adalah agak lambat. Mereka menggunakan racun nematod untuk pastikan tiada serangan. Wasallam!..
CACING NEMATOD... MEROSAK TANAMAN...
PERLU DIKAWAL... KAEDAH DISYORKAN...
HASIL BERKURANG,, HASIL BERKURANG...
MEMBACA ARTIKEL... YANG GELAP TERANG...By
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Bukit Beruang,
Melaka Bandar Bersejarah,
Melaka, Malaysia.
(3 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...