Support My Blog

Thursday, March 30, 2017

KETAM NIPAH - SATU POTENSI

KETAM NIPAH (Scylla serrata) merupakan sejenis haiwan yang sesuai diternak secara komersial dan ia memberikan keuntungan dan menjana pendapatan. Kini telah ada teknologi ternak ketam nipah yang semakin dipertingkatkan. Pada penulis blog ketam nipah adalah haiwan dari jenis krustacea iaitu bercangkerang seperti udang. Ia juga dikenali sebagai ketam bakau atau ketam lumpur dari keluarga Portunidae. Secara semulajadi ketam hidup serta membiak di sekitar paya bakau, kuala sungai, tepi pantai atau laut, dalam air payau atau air masin mengikut masa air pasang dan surut. Menternak ketam menggunakan kolam atau 'membintur' begitu popular terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Lazimnya kolam-kolam dibuat sekitar paya bakau atau berdekatan dengan laut kerana memerlukan air payau atau air masin. Namun teknik ini sebenarnya akan memerlukan kawasan yang luas berbeza dengan teknologi menggunakan bakul plastik yang mana ia lebih mudah diuruskan. Lazimnya teknoligi untuk proses menggemukkan memerlukan bekas khas untuk mengisi benih ketam secara berasingan kerana ketam adalah dari spesies yang ganas, karnivor dan tahan lasak serta akan memakan sesama sendiri apabila lapar. Ketam nipah membiak secara bertelur dan boleh membesar sehingga karapasnya mencapai 20 sentimeter atau lebih iaitu dengan berat badan melebihi satu kg (kilogram) hingga empat kg seekor. Ketam nipah boleh diperolehi dalam tiga warna iaitu hijau, coklat dan merah. Ketam tersebut mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya kegiatan separa kultur. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" bagaimana menternak ketam nipah ini boleh dijadikan satu bidangusaha yang menjana pendapatan.

Ketam ini mengandungi sejenis protein yang tinggi serta merupakan penawar denggi yang sangat mujarab. Ia didapati boleh membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Pengambilan sup ketam sebagai terapi oral iaitu dimasak sebagai sup (500ml hingga 1 liter) akan meningkatkan bacaan platelet dengan kadar yang sangat cepat. Dalam penulis ingin memperkenalkan akan ketam nipah memang perlukan latihan hands on. Lazimnya sepit ketam jantan adalah lebih besar dari saiz badannya berbeza pula dengan ketam betina yang mana saiz badannya lebih besar dari sepit (Sila lihat foto disebelah)Ketam nipah berwarna merah selalunya mendapat permintaan yang lebih tinggi disebabkan isinya lebih padat dibandingkan dengan ketam yang berlainan warna. Kebanyakan haiwan krustasea memerlukan proses bersalin kulit bagi pembesaran dan melengkapkan kitar hidupnya. Proses bersalin kulit dari kulit lembut kepada keras memerlukan lebih kurang 24 jam. Dari pengalaman penulis semasa bertugas di Sarawak dahulu sering melawat pusat ternakan ketam nipah di Lundu dimana lazimnya mereka akan menggunakan teknik merangsang ketam bersalin kulit memerlukan masa ternakan antara tiga dan empat minggu bagi setiap kali bersalin kulit. Ia dilakukan dengan mengerat semua kaki dan sepit ketam atau dikenali sebagai teknik limb autotomy. Jiran saya Dr Ikhwanuddin yang dulu berkerja di Jabatan Pertanian Sarawak dan kini bertugas di UMT Terengganu dahulu merupakan pakar dalam pembiakan ketam nipah dan tatacara untuk menghasilkan ketam nipah kulit lembut.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila ketam nipah mencapai umur 30 hari dan ketika itu dimana beratnya mencecah 180 gram dan ia menjadi cabaran utama sebelum cengkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam (Sila lihat foto disebelah). Ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut. Ketam aktif dan agresif pada waktu malam dan ketam betina lebih sensitif dari ketam jantan. Pada masa ini terdapat cara baru untuk anda menternak ketam nipah. Cara terkini untuk menternak ketam adalah dengan menggunakan sistem akuarium fiber secara tertutup dimana sistem ini amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal. Ia boleh ditempatkan di mana-mana saja asalkan ada kawasan yang bertutup iaitu beratap, berdinding dan mempunyai punca elektrik. Ukuran bagi satu set sistem ini adalah tiga kaki (lebar) x 13 kaki (panjang) x 5 kaki (tinggi) mengandungi tiga kotak fiber. Kotak-kotak fiber disusun bertingkat melalui rak besi serta saluran paip bagi air masuk dan keluar. tiga kotak fiber yang teratas adalah bekas yang mempunyai petak-petak untuk diisi dengan benih ketam. Sekotak kotak fiber boleh memuatkan 40 ekor benih ketam.

Ini bermakna satu set sistem ini boleh memuatkan sebanyak 120 ekor ketam. Sekotak kotak fiber yang di bawah sekali adalah mana ia digunakan sebagai sistem penapis bagi keseluruhan set sistem ini. Selain air laut, air paip yang telah diproses bagi menggantikan air masin atau air payau juga sesuai untuk ketam nipah (Sila lihat foto disebelah)Sistem ternakan ketam dalam tangki ini tidak memerlukan pengorekan kolam-kolam seperti ternakan lain. Salah satu kebaikan sistem ini iaitu penggunaan sistem tertutup recirculating water system dimana air paip yang digunakan untuk ternakan ini dikitar semula setelah melalui proses pembersihan/penapisan air mengunakan biofilters. Sistem ini didapati sangat hygienic dan dapat memenuhi piawaian antarabangsa berbanding dengan sistem ternakan ketam secara konvensional. Air adalah proses penyalinan kulit hanya akan berlaku sekiranya air kolam benar-benar bersih dan air yang kotor boleh menyebabkan ketam nipah mudah dijangkiti bakteria. Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada kadar saliniti 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut lebih 5 ppm, suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 6.5 hingga 7.5. Dengan cara penggunaan efektif mikrob (EM) atau probiotik boleh digunakan untuk mengawal mutu air. Bahan EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air (neutralizesalts) dimana bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air. Kadar dos adalah 1:10000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 10000 bahagian air. Dos ini disaran untuk diberikan bagi setiap minggu.

Makanan untuk ternakan ketam amat penting dipastikan ianya sesuai dan mencukupi. Pemakanan untuk ternakan ketam adalah dengan penggunaan ikan baja diman aia antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet pemakanan ketam di mana sebanyak antara 5-6% daripada berat badannya perlu diberikan setiap hari. Penternak perlukan tahap disiplin tinggi didalam pemberian makanan dan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain. Selain ikan baja selalunya ikan yang disiang (buang kepala, ekor dan isi perut dan dihiris atau dipotong dan dibasuh) diberikan satu atau dua atau hari hari sekali (mengikut kesesuaian dan bacaan air dalam set sistem akuarium ini). Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan. Dalam pada iatu adakala nya ketm ini akan siserang penyakit. Kini teknologi ternakan secara sistem tangki tertutup ini mempunyai risiko penyakit yang rendah dan jarang dijangkiti penyakit. Ini kerana dari peerhatian penulis blog mendapati kebanyakan penyakit berpunca dari kebersihan dan kualiti air yang kurang baik. Oleh itu perlu pengawalan mutu dan kualiti air sangat dititikberatkan. Kematian juga berlaku semasa dan selepas proses bersalin cengkerang, pemantauan perlu dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi antara pukul 11 malam hingga 3 pagi secara lebih teliti.

Daripada kajian penulis dibeberapa lokasi menternak ketam nipah ada mendapati Cashflow ternakan ketam nipah dikira agak menguntungkan. Kajian penulis mendapati anggaran modal aset adalah sekitar RM12,000.00 dan Modal Operasi sekitar RM1,140.00 satu pusingan untuk selama tempoh ternakan iaitu 70 hari. Berdasarkan kepada keluasan kolam ternakan berukuran 5 kaki x 10 kaki maka analisa kewangan dikira sebagai memberikan peratus keuntungan sehingga 65%. Penulis dapati jumlah pusingan ternakan 6 kali setahun dimana setiap 1 pusingan menghasilkan ketam nipah sebanyak 67 Kg. Jika harga ladang sekitar RM28.00 setiap kilogram makan ia menjana pendapatan 1 Pusingan iaitu 67 Kg x RM28 menjadi pendapatan kasar RM1,876.00. Oleh itu jika dijalankan 6 kali pusingan maka menjadikan pendapatan kasar sekitar RM1,876 x 6 kali atau RM11,256.00. Jika kos operasi bagi satu pusingan hanya RM569.00 maka anggaran kos operasi bagi 6 pusingan adalah RM569.00 x 6 kali menjadikan nilai RM3,414.00. Analisa kewangan menjadi dimana untung Kasar bagi 1 pusingan adalah sebanyak RM1,307.00 atau bagi untung Kasar 6 pusingan sebanyak RM7,835.00 (Pengiraan ini tidak termasuk pembelian 1 set akuarium bernilai RM6,000). Penulis blog juga ada menilai bagaimana kos operasi ternakan ketam nipah ini dikira. Kos pembelian benih ketam nipah adalah sekitar RM84.00 iaitu dengan membeli sebanyak 120 ekor (10 ekor/Kg @ RM7/Kg) atau pun 12Kg x RM7.00. Sementara itu jumlah kos untuk makanan adalah sekitar 134 Kg X RM2.50/Kg berjumlah RM335.00 bagi satu pusingan selama 70 hari. Kos untuk bekalan elektrik sekitar RM20.00 dan Kos untuk pembelian bahan kimia adalah sebanyak RM80.00. Selain itu terdapat kos untuk kerja-kerja penyelenggaraan Set Sistem sekitar RM50.00 dimana ini menjadikan jumlah keseluruhan kos operasi menternak ketam nipah bagi satu pusingan sebanyak RM569.00. Didalam penulis membuat analisa kewangan diatas telah mengambil beberapa faktor pengiraan seperti jumlah peratus Hidup Ketam Nipah mestilah sekitar 90% dengan menggunakan saiz benih atau anak ketam 80 gram. Kiraan ini juga mengambil kira saiz tuaian untuk pasaran sekitar 500 gram seekor dengan kadar Food Covention Rattio (FCR) sekitar 2. Ia juga mengira tempoh ternakan sebelum jualan sekitar 60 hari dengan kadar kos Operasi/Kg atau B/C Ratio sekitar RM8.50 (Bermakna setiap RM1.00 dibelanjakan akan memberikan pulangan RR8.50) dan ini menjadikan nilai margin keuntungan ternakan ketam nipan sekitar 69%. Pada masa ini permintaan dari pasaran domestik terutama dari restoran mewah dan hotel-hotel meningkat setiap tahun. Manakala bekalan dari kutipan liar dan ternakan secara tradisional semakin merosot setiap tahun. Jualan secara borong menunjuk peningkatan dan harga semakin tinggi di antara RM15.00 - RM28.00 bagi satu kilogram. Pasaran luar negara semakin berkembang dengan permintaan amat tinggi terutama dari Shanghai (China), Singapura, Hong Kong dan Dubai dimana harga ketam nipah memang boleh mencapai RM35.00 sekilogram. Wasallam!!..

KETAM NIPAH... MUDAH TERNAKNYA...
PASTIKAN ILMU... SUDAH DI PUNYA...
BENIH DIMASUKKAN...MAKANAN ADA...
HARGA MAHAL... PASARAN MUDAHNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Ternakan Ketam, 
Nenasi, Pekan, Pahang,
Malaysia.
(2 Rejab 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...