Support My Blog

Friday, January 13, 2017

MAHU MENANAM ANGGUR?

TANAMAN ANGGUR (Vitis vinifera) atau Grapes perlu dijalankan mengikut amalan pertanian baik bertujuan untuk mendapatkan hasil berkualiti. Penanaman anggur pada masa ini didunia di monopoli oleh beberapa negara seperti China, Itali, Turki, Sepanyol, Perancis, Turki dan dan juga beberapa negara lain dengan pengeluaran melebihi 70 juta metrik yan setahun. Teknologi penanaman anggur telah mencapai tahap maju dimana penanaman berskala besar dan luas akan di buat mengikut sistem seperti estet dengan cara pengurusan yang baik. Penanaman secara kecil-kecilan juga banyak dijalankan oleh pekebun kecil dengan teknologi pengurusan yang hampir sama. Pemilihan varieti anggur yang sesuai penting untuk menghasilkan buah yang tinggi dan berkualiti dan tahan kepada penyakit. Bahan tanaman menggunakan keratan batang (vine cuttings) adalah sesuai digunakan jika tidak ada masaalah dengan nematod dan phylloxera. Bahan tanaman cantuman baji (bench graft) sesuai dengan pokok penanti yang tahan dari serangan tersebut. BUAH anggur mengandungi kimia piceatannol yangmenghalang perkembangan sel lemak dalam badan. Tanaman ini pernah diusahakan secara komersil di Malaysia oleh beberapa syarikat tempatan tetapi sehingga kini belum menampakkan peratus kejayaan yang memuaskan. Ada beberapa syarikat di Selangor, Negeri Sembilan yang mengupah pakar-pakar menanam anggur daripada negara Thailand untuk menjadi pengurus malahan pekerja ladang tetapi masih banyak masaalah perlu diatasi. Minat orang Malaysia terhadap buah anggur memang tinggi dimana komoditi ini banyak diimport untuk makan segar. Buah anggur juga mudah dibeli di negara kita dan sering juga dijadikan 'buah tangan' untuk pesakit dihospital, bahan hantaran perkahwinan dan sebagainya. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu laporan akhbar bertajuk 'Mahu Menanam Anggur' yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca blog.

Akhbar tersebut menggunakan cara pertanyaan dan jawapan dalam cara penulisannya. Soalan Pertama adalah 'Adakah Jabatan Pertanian menggalakkan penanaman anggur di negara ini. Kalau ada bagaimana menceburinya?. Soalan ini dijawab dengan menyatakan Jabatan Pertanian menawarkan khidmat nasihat berkaitan penanaman anggur kepada mereka yang memerlukan bantuan khidmat nasihat tersebut. Ia dijelaskan bagaimana penanaman anggur di negara ini bermula pada awal tahun 1980-an menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM). Seterusnya pada 1986, UPM telah mengadakan kerjasama rapat dengan Jabatan Pertanian Negeri Perlis bagi memulakan penanaman anggur di negeri tersebut. Lokasi tersebut dipilih kerana mengalami cuaca kemarau atau kering selama lebih kurang tiga bulan dan keadaan amat sesuai bagi amalan agronomi penanaman anggur. Seterusnya, pelbagai penyelidikan telah dan sedang dijalankan bagi meningkatkan kualiti penghasilan buah anggur tersebut. Bagi penyediaan kawasan, penanaman anggur dijalankan di kawasan yang berasingan mengikut jenis baka yang ditanam bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan kerana tumbesaran dan juga kaedah penyelenggaraan adalah berbeza bagi setiap klon atau varieti. Tanah yang sesuai adalah jenis lempung berpasir dan bagi tanah keras penggemburan perlu dilakukan pada kedalaman enam hingga 10 sentimeter (cm) manakala keasidan tanah andalah antara lingkungan pH 5.5 hingga 6.5. Jarak tanaman anggur adala 1.5 meter (m) x 3m dengan setiap lubang dimasukkan empat kilogram (kg) baja organik dan gaul dengan baja CIRP sebanyak 115g.

Antara kerja yang lain yang perlu petani dilakukan adalah seperti pemangkasan pengeluaran dahan apabila tanaman anggur telah mencapai ketinggian 1.8m. Sebaiknya dibiarkan antara dua atau tiga cabang sekunder sepanjang satu meter. Selalunya untuk pangkasan kali kedua, biarkan dahan sisi tumbuh sebanyak empat cabang setiap sisi. Pangkasan pembuahan perlu dilakukan bagi tujuan untuk menggalakkan pembuahan iaitu dengan memotong bahagian antara coklat dan hijau biarkan dahan berbunga coklat tua untuk pengeluaran bunga. Semua daun perlu dibuang bagi pemangkasan pembotakan dan tunas akan muncul selepas 10 hari. Penyediaan struktur para perlu dilakukan bagi membolehkan pokok anggur menjalar dan memudahkan pengeluaran hasil serta penjagaan pokok keseluruhannya. Tempoh kematangan berbeza mengikut klon tetapi biasanya antara 120 hari hingga 140 hari selepas pemangkasan pembuahan dilakukan. Secara amnya anggaran hasil bagi sepokok anggur adalah antara lapan hingga 11 kilogram (kg) semusim dan bagi baka I. A. C dan boleh mencecah 22kg sepokok semusim. Kos pengeluaran anggur sehektar boleh dianggarkan mencecah RM182,000 manakala jangkaaan hasil yang boleh diperoleh daripada sehektar tanaman anggur sebanyak 89 tan bagi tempoh penanaman selama 10 tahun. Untuk pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan pegawai kami di Jabatan Pertanian Negeri Perlis, Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Beseri, Perlis melalui talian 04-9382929 atau Bahagian Hortikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Pertanian Serdang, Selangor di talian 03-89486302. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!.
MENANAM ANGGUR...PERLU CUBA...
PILIH VARIETI... DARIPADA MANA...
NEGERI PERLIS...SUDAH BERJAYA...
KAWASAN LAIN... PRESTASI CAMNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Temiang,
Kangar, Perlis,
Malaysia.
(15 RabiulAkhir 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...