Support My Blog

Tuesday, November 1, 2016

PUCUK MANIS - SAYUR BERKHASIAT

PUCUK MANIS (Souropus androgynus) atau juga dipanggil sebagai 'Cekur Manis' merupakan tumbuhan yang banyak terdapat di negara Asia Tenggara seperti neara Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ia juga dikenali sebagai 'Mani Cai' dalam bahasa Cina, Sweet Shoot (Inggeris) dan 'Rau Ngot' dalam bahasa Vietnam dan sebagainya. Penulis sangat kenal dengan tumbuhan ini sejak kecil lagi kerana memang ada ditanam disekeliling rumah dikampong dan dimakan daunnya sebagai sayuran. Daun cekur manis selalunya dipetik akan dimasak lemak atau tumis air untuk hidangan makan tengahari. Dalam beberapa kes dilaporkan ada yang mengambil daun cekur manis untuk di peram atau di jeruk dan dijadikan bahan masakan yang sungguh menyelerakan. Dalam beberapa kali tinjauan mengenai tanaman di negara jiran penulis dapati pucuk manis ini merupakan salah satu sayuran daun yang popular di Asia Selatan dan terkenal kerana banyak ditanam untuk dijadikan makanan kerana ia didapati sedap. Bahagian pucukn mud merupakan bahagian lembut yang rangup, manis dimana ia juga boleh dimakan sebagai ulam atau dimasak jadi sayuran. Di beberapa negara jiran dan di Malaysia pucuk pucuk manis ini dimasak sebagai sup bersama belacan, ikan bilis, ketam atau udang kering. Pucuk muda cekur manis boleh direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau pencecah lain sebagai ulam. Rasanya manis, lemak dan semacam ada rasa sedikit berangin. Daripada beberap jurnal yang penulis rujuk, pucuk manis merupakan sayuran yang kaya dengan sumber vitamin K yang tinggi. Bagaimanapun ada beberpa laporan daripada kajian mendapati bahawa pengambilan berlebihan air cekur manis akan menyebabkan kerosakan pada organ paru-paru disebabkan kepekatan tinggi alkaloid papaverine didalamnya. Kes ini telah dikenalpasti di Taiwan sekitar tahun 1990'an apabila penduduk disama amat suka makan pucuk manis secara berlebihan akibat keenakannya. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" bilangan ke 4,139 mengenai tanaman pucuk manis sebagai sejenis sayuran berkhasiat.


Mengenali pokok pucuk manis memang mudah kerana ciri pokok tersebut yang agak unik. Tumbuhan renek saka ini boleh tumbuh sehingga ketinggian 8 m jika tidak dicantas. Bagaimana pun lazimnya untuk penanaman secara komersil ia akan dicantas dengan paras ketinggian sekitar 0.5-1.0 meter dari paras tanah untuk memudahkan aktiviti memetik hasil (Sila lihat foto disebelah). Semakin banyak kali aktiviti memetik hasil dibahagian pucuk maka semakin banyak ranting baru keluar dan membolehkan pokok mengembang serta banyak pucuk baru. Ia mempunyai jenis batang separa berkayu dimana lazimnya tidak banyak bercabang jika tidak dicantas. Daunnya berwarna hijau tua ketika muda dan kemudian bertukar keperangan setelah matang. Ia mempunyai jenis daun tunggal dengan susunan berselang-seli, berbentuk bujur, hujung tirus, hijau tua pada permukaan atas manakala hijau muda di permukaan bawah dan juga selalunya di tepi adalah rata. Pokok pucuk manis mempunyai bunga tunggal yang kecil dan berbentuk bulat. Bunga ini berwarna hijau keputihan ketika muda dan bertukar merah jambu ketika tua dimana ia selalunya akan keluar dari celah ketiak daun di balik daun. Paling penulis suka adalah pokok pucuk manis yang matang akan mengeluarkan buah berbentuk kapsul, bulat dan berlekuk enam. Ia mempunyai saiz yang sederhana besar dan berwarna hijau muda ketika muda kemudian akan bertukar kepada warna putih keunguan setelah masak. Akhirnya ia akan merekah kepada tiga pangsa apabila telah tua bagi melepaskan biji-biji untuk proses pembiakan secara semulajadi. Bagaimana pun kaedah penanaman pucuk manis lebih mudah menggunakan benih daripada keratan batang.


Tanaman pucuk manis diambil bahagian daun terutama pucuk muda untuk dijadikan sayuran. Daripada kajian saintis permakanan dilaporkan pucuk manis merupakan salah satu daripada beberapa tumbuhan yang memiliki vitamin K. Daun pokok cekur manis adalah popular sebagai sayuran di Malaysia dan negara ASEAN lain sebagai pilihan. Pokok pucuk manis ini ada dihidangkan dibeberapa restoren makanan tradisional tengahari sebagai menu yang menjadi pilihan pelanggan. Kajian menunjukkan daun pokok pucuk manis terutamanya daun segar mengandungi banyak bahan seperti Provitamin A karotinoid. Ia banyak pada bahagian daunnya yang baru dipetik dan masih segar. Selain itu ia juga kaya dengan kandungan vitamin B, Vitamin C  serta Protein dan mineral galian. Kandungan zatnya semakin tinggi dalam daun yang berwarna hijau gelap dan matang. Daripada beberapa rujukkan dilaporkan pucuk manis ini mampu merawat panas badan, mengawal tekanan darah rendah dan sesuai untuk wanita yang baru bersalin terutama untuk tujuan pengeluaran susu ibu. Ia juga didakwa mampu untuk membaiki sistem pembuangan air kecil bermasalah serta menghilangkan masaalah pening kepala dan membantu mengatasi penyakit jantung dan saluran darah (kardiovaskular). Pokok cekur manis membiak melalui dua kaedah biasa iatu biji benih dan keratan batang namun benih yang dihasilkan melalui keratan batang lebih bermutu. Ia boleh tumbuh subur di kawasan bercahaya matahari penuh ataupun di kawasan naungan yang redup. Ia juga mampu bertahan terhadap tanah yang mempunyai kandungan asid yang tinggi (masam kelat), selain mampu dan boleh tumbuh dikawasan tanah liat.

Dalam pada penulis membuat tinjauan rambang terutama dikalangan generasi muda, didapati masih ramai yang belum mengenali pokok cekur manis. Ada juga yang kurang suka makan pucuk manis ini kerana ia merupakan jenis sayuran tradisional yang biasanya diperoleh di kawasan luar bandar. Pucuk Manis adalah sayuran dari keluarga Euphorbiaceae dimana ia merupakan sayuran tradisional. Ia adalah pokok yang tumbuh renek dan mencapai ketinggian hingga 3.5 - 8.0 meter. Batang tidak mudah bercabang kecuali bila dicantas. Pada batang terdapat ranting ranting lateral pendek dan daunnya tumbuh secara berselang seli hingga ke hujung (Sila anda lihat foto disebelah)Daun cekur manis beraroma sedikit bila diramas, buahnya globos berukuran1.5 cm diameter, berpangsa tiga dan berwarna putih kemerahan. Cekur manis juga dipanggil sayur pucuk manis atau asin asin dan mempunyai warna hijau gelap serta ditanam di Asia Tenggara, India,Sri Lanka dan selatan China. Cekur manis kaya dengan kabohaiderat, lemak, serabut, asid amino, besi, fosforus, kalsium, vitamin A, B1, B2 dan C. Dari segi khasiat makanan, daun, pucuk boleh dimasak air, digoreng atau dimakan mentah. Buah cekur manis boleh dijadikan jeruk manis. Khasiat ubatan cekur manis boleh merangsang pengeluaran susu ibu dan ubat bagi memulihkan wanita lepas bersalin, ia mengubat demam panas, masalah buang air kecil, merawat pening, melawaskan kencing dan hidung berdarah.


Pembiakan dan penanaman pucuk atau cekur manis mudah dibiakkan melalui sistem batang yang berkayu keras, ystem sepanjang 20-25 cm boleh ditanam terus kebatas atau dibiakkan di dalam polibag yang diisi media tanah campuran dan diletak di tapak semaian. Batas disiapkan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang batas bersesuaian dengan kawasan penanaman. Cekur manis memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai bahan organaik yang tinggi. Jarak tanaman yang sesuai ialah 50-100 sm antara pokok dan 100-120 sm antara barisan tanaman. Tanaman dibuat satu barisan sahaja kerana ia akan bercabang banyak bila selalu melakukan cantasan. Pokok boleh bertahan sehingga 8-10 tahun jika penjagaan sempurna. Pengairan amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan, tanaman perlu disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis. Pengawalan rumpai dijalankan bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Semua jenis rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman.


Tanaman pucuk manis perlukan cara pembajaan yang dijadualkan. Baja yang disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan. Selalunya penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 boleh digunakan dengan kadar 80-100 gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus. Jadual pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan dengan bahan sistem tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga kg /meter persegi. Baja foliar bagi semburan daun boleh digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan daun bekalan bergantung pada pasaran. Pemangkasan dijalankan selalu. Pucuk manis memerlukan pemangkasan bagi memastikan pokok tidak terlalu tinggi dan menyukarkan penuaian hasil, ketinggian yang disyorkan ialah antara 1.0-1.2 meter. Pokok perlu dicantas bagi mengawai ketinggian dan menggalakkan pertumbuhan tunas atau pucuk baru. Bagi kes kawalan perosak tidak bermasaalah kerana pucuk manis jarang diserang perosak daripada peringkat awal penanaman kecuali ada kejadian serangan koya, hamama dan ianya mudah dikawal. Bagaimana pun jika terdapat banyak serangan serangga biasanya pokok boleh dicantas secara keseluruhan bagi mengurangkan perosak mengikut ketinggian yang dikehendaki. Penuaian pucuk manis dengan memetik secara manual pucuk muda dengan tangan. Ia boleh dituai setiap hari dengan memotong kira 20-25 cm dari pucuk. Pucuk di susun dan ditimbang antara 300-400 g dan kemudian diikat atau dimasukkan di dalam bekas seperti polistyrene yang di lubangkan bagi tujuan perpeluhan dan dijual di pasaran. Memang enak makan pucuk manis goreng belacan ketika masih panas lagi. Wasallam!...
PUCUK MANNIS... MUDAH TANAMNYA...
MENJADI PILIHAN... GENERASI LAMA...
PUCUKNYA DIPETIK... DIJUAL SENTIASA...
TANAM SENDIRI... MUDAH SAHAJA DIA...

By, 
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Tanaman Cekur Manis Komersil,
Kg Air Bemban, Jasin, 
Melaka, Malaysia.
(23 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...