Support My Blog

Saturday, November 12, 2016

LEBAH MADU - GANGGUAN RACUN

LEBAH MADU (Apis spp) merupakan sejenis serangga yang hidup berkoloni dan mempunyai bilangan populasi yang banyak dan terdedah kepada aktiviti pertanian seperti penggunaan banyak jenis racun. Di Malaysia terdapat 3 jenis lebah yang menghasilkan madu iaitu Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Tualang (Apis dorsata) dan juga Lebah Impot (Apis melifera). Satu lagi jenis serangga yang menghasilkan madu adalah Lebah Kelulut (Trigona spp) yang merupakan jenis lebah kecil yang tidak menyengat (Stingless bee). Koloni lebah terdiri daripada Lebah pekerja, Ratu lebah (Queen Bee) dan Lebah jantan yang mana bilangannya mencecah sehingga 40,000 - 50,000 untuk satu koloni yang sempurna. Apa yang saya perhatikan, seekor lebah pekerja akan melawat ratusan malah kadang-kadang beribu kuntum bunga setiap hari bagi mencari nektar dan debunga. Lebah pekerja aktif ini akan terbang keluar dari haif setelah membuat tarian khas. Lebah ini perlu mencari jalan kembali ke sarang dan juga perlu mengemudi jarak sehingga lima batu (lapan kilometer) jauhnya dari haif lebah. Mereka melaksanakan "tarian mengibaskan" untuk memberitahu lebah lain di mana lokasi bunga berada berdasarkan kepada sinaran hala cahaya matahari dan juga kedudukan bunga serta haif lebah. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa cara atau kaedah gangguan lebah madu semasa ia terbang mencari makanan nektar khususnya gangguan kesan racun untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan. Penulis menulis berpuloh rencana mengenai lebah madu, madu lebah dan kelulut dalam blog ini untuk dirujuk. Lebih daripada 4,200 artikel telah ditulis dan dibaca lebih daripada 9.5 juta pembaca yang berkunjung.


Terdapat beberapa kajian dijalankan mengenai habitat lebah madu yang mana hasilnya menunjukkan bahawa jika ada berlaku pendedahan untuk satu jangka panjang kepada gabungan racun perosak tertentu, ianya mungkin menjejaskan keupayaan lebah untuk menjalankan misi pendebungaan dan seterusnya akan menjejaskan pengumpulan nektar untuk dijadikan madu lebah. Hasil kajian tersebut telah menunjukkan dimana sebarang kemerosotan dalam keupayaan lebah untuk balik ke sarang boleh memberikan kesan yang besar ke atas kehidupan koloni lebah. Lebah pekerja amat penting dalam mengukuhkan kekuatkan koloni dimana kumpulan ini adalah kelompok paling banyak dalam lebah. Penulis yang merujuk kepada satu laporan kajian yang dijalankan oleh Geraldine Wright iaitu seorang pakar neuroloji dari Universiti Newcastle di England amat terkejut dengan hasil kajian. Saintis ini mendapati kesan racun yang disembur pada bunga dan tanaman yang dikunjungi lebah akan menyebabkan lebah pekerja akan kehilangan deria rangsangan. Deria rangsangan ini terejas akibat racun. Pada keadaan serius akan menyebabkan lebah tersebut akan terus mati. Ini akan terus menjejaskan koloni lebah dikawasan penternakan jika diganggu oleh bahan racun yang tidak dapat dikawal oleh petani yang menanam tanaman bijirin, ornamental dan sebagainya. Kesan berbagai jenis racun sama ada racun serangga, racun kulat, racun rumpai boleh menyebabkan lebah akan lemah akibat toksik yang ada pada racun tersebut. 


Kajian oleh Geraldine Wright menunjukkan bahawa keupayaan lebah untuk terus berkembang dan membiak akan semakin terancam. Saintis tersebut yang aktif dan terus menyelidik bagaimana kesan racun perosak mendapati kesan racun ini boleh menyumbang kepada masalah Gangguan Kemusnahan Koloni (Colony Collapse Disorder - CCD) iaitu lebah pekerja hilang tanpa dikesan dan meninggalkan hanya ratu lebah sahaja yang kekal. Keadaan ini merupakan satu kejadian unik dimana berlaku akan kematian secara besar-besaran berjuta-juta lebah madu di seluruh dunia sejak 2006. Kajian mendapati ia adalah dari kesan racun perosak dimana telah menjejaskan keupayaan penerbangan atau sistem navigasi (navigation system) dan juga kebolehan komunikasi (communication ability) di antara lebah madu. Apa yang berlaku dikatakan kesan dari racun serangga atau racun perosak dimana ini berkemungkinan mengakibatkan kesan CCD dan juga kehilangan beberapa jenis serangga pendebunga lain (Pollinators). Lebah memang serangga yang bergantung kepada apa yang dipanggil "memori bau" untuk mencari bunga yang dipenuhi dengan madu dan debunga. Penulis dalam membuat beberapa pemerhatian mendapati ujud keupayaan lebah madu untuk cepat belajar, mengingat dan berkomunikasi antara satu sama lain telah menjadikan lebah adalah pengembara yang sangat berkesan. Lebah madu akan menggunakan tarian (bee dance) dengan cara mengibaskan untuk menarik perhatian lebah lain tentang lokasi sumber makanan. Tarian lebah ini akan memberikan tunjuk arah penerbangan, jarak lokasi dan berapa banyak sumber makanan. 


Lebah madu adalah serangga penting dimana ia bertanggungjawab bagi keujudan hampir satu pertiga daripada makanan yang kita makan. Lebah juga juga didapati mempunyai kesan yang serupa ke atas bekalan makanan hidupan liar lain hasil daripada pendebungaan tumbuh-tumbuhan tersebut. Kajian terdahulu telah ada yang menunjukkan beberapa jenis racun perosak telah dengan signifikannya menjejaskan pembelajaran dan ingatan lebah. Hasil kajian juga mendapati gabungan racun perosak yang berbeza akan mempunyai kesan yang lebih besar terhadap pembelajaran dan ingatan lebah madu. Secara semulajadi didapati lebah madu belajar untuk mengaitkan warna bunga (Colours) dan aroma dengan kualiti ganjaran makanan yang akan dikunjungi bagi mengutipnya. Kehadiran racun perosak yang disembut pada tanaman dan khususnya bahagian bunga menjejaskan saraf neuron didalam badan lebah yang terlibat. Ianya akan menyebabkan ada tingkah laku dimana ini menjadikan lebah mungkin mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan ahli-ahli lain dalam koloni. Komunikasi antara lebah adalah sangat unik dimana ia akan membuat sentuhan diantara satu sama lain dan ianya juga memindahkan bersama nektar atau manisan serta pollen daripada seekor lebah pekerja kepada lebah pekerja yang lain. Jika ada kandungan bahan racun dalam nektar dan pollen yang dibawa maka kebanyakkan lebah pekerja akan terjejas akibat racun tersebut.


Lazimnya lebah mengeluarkan lidahnya kepada respon bau dan makanan. Dalam satu kajian yang dijalankan dimana lebah madu yang telah dikumpulkan dari pintu masuk lebah. Ia diambil dari kawasan ternakan dimana kemudian ia kemudian akan diletakkan di dalam cawan kaca dan seterusnya dipindahkan ke dalam kotak sandwic plastik. Selama tiga hari koloni lebah tersebut diberi makan larutan sukrosa (Sila lihat foto sebelah) yang telah pun dicampur dengan dos racun sederhana maut racun perosak. Memori jangka pendek dan jangka panjang lebah-lebah itu diukur masing-masing pada selang 10 minit dan 24 jam. Hasil dari kajian ini menunjukkan bahawa apabila racun perosak digabungkan didapati kesan ke atas lebah adalah jauh lebih teruk daripada pendedahan hanya satu jenis sahaja racun perosak. Hasil kajian ini amat penting kerana salah satu daripada racun perosak yang digunakan iaitu jenis coumaphos merupakan sejenis "ubat" yang digunakan untuk merawat hama Varroa (parasit lebah yang merupakan salah satu punca CCD) dalam koloni lebah di seluruh dunia. Oleh itu penternak lebah perlu mengetahui dan memahami akan jenis racun yang memberikan ancaman kepada koloni lebah walau pun tujuannya mungkin untuk memusnahkan serangga perosak lebah seperti parasit lebah varroa. Sebenarnya penternakan lebah sangat berkait dengan sistem perladangan organik.  


Kesan Racun perosak jika kita sembur pasti akan membunuh hama tetapi ianya juga akan menyebabkan lebah madu lebih terdedah kepada keracunan. Secara umumnya kita dapati yang kesan racun kepada lebah madu sangat signifikan terhadap proses penting iaitu aktiviti pendebungaan. Pendebungaan adalah tahap proses kritikal untuk pengeluaran makanan diseluruh dunia dimana hasil tanaman akan berkurangan disenbabkan banyak lebah mati disebabkan keracunan. Penulis blog Anim Agro Technology berfikir antara ancaman utama kepada agen pendebungaan adalah manusia sendiri yang kurang memahami senario ini. Jika berlaku kemusnahan habitat semulajadi dimana banyak serangga berfaedah yang terlibat dengan proses pendebunggaan akan terjejas makan hasil makanan dunia akan terjejas. Kini mungkin sedang berlaku akan kehilangan habitat pendebunga iaitu Lebah Madu dan serangga pendebunga lain serta kawasan semulajadi dan tanah pertanian yang penting untuk menghasilkan makanan secara evolusi tanpa kita sedar. Kemusnahan sistem dan habitat semulajadi ini juga akan terus melemahkan serangga pendebunga dan serangga bermanfaat yang lain secara senyap dan kita perlu fikirkan bagaimana kaedah terbaik untuk mengatasinya. Peranan saintis dan agen-agen pengembangan pertanian perlu dikukuhkan untuk memberikan pengetahuan dan kesedaran mengenai rencana yang ditulis kali ini. Kini di negara kita Malaysia telah mengangkat Madu Kelulut sebagai produk 'Superfood Malaysia' dan kemungkinan kecapaian objektif ini mungkin tidak berlaku jika kesan racun seperti tulisan diatas tidak difahami oleh semua pihak. Sama-samalah kita fikirkan perkara ini untuk kebaikan bersama. Wasallam!..
Penulis bersama Pak Sabri sebagai duta madu kelulut semasa ketibaan beliau di Pahang.
KESAN RACUN...LEBAH MENDERITA...
LEBAH LEMAH...AKHIRNYA MATI JUGA...
PENDEBUNGGAN.. AKAN TERGENDALA...
HASIL KURNG... MAKANAN MAHAL HARGA..

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(10 Rejab 1434H)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...