Support My Blog

Monday, September 5, 2016

DURIAN MUSANG KING - 30 BULAN BERBUAH?

BETULKAH POKOK DURIAN MUSANG KING (D197) BERBUAH DALAM MASA 30 BULAN?. Itu merupakan satu persoalan yang sering ditanya oleh beberapa orang petani, pegawai-pegawai dan VVIP kepada penulis. Perkara ini sebenarnya tidak mustahil dan ia boleh dilakukan dengan ilmu pengetahuan dan kemahuan petani itu sendiri. Dalam beberapa tinjauan yang penulis lakukan mendapati perkara ini telah dilakukan oleh beberapa petani komersil. Memang seronok kalau mampu melakukannya sendiri dikebun durian yang dijaga dengan baik. Harga buah durian Musang King (D197) atau dahulu dikenali dengan nama Durian Raja Kunyit mencecah sehingga RM40.00 sekilogram pada tahun 2016. Pengalaman penulis pula pada 2017 harga durian Musang King mencecah RM120.00 sekilogram. Pada tahun 2017 juga penulis mengikuti Menteri Pertanian ke Pameran 'Durian Malaysia Festival' di Nanning, China bersama-sama dengan pameran Nanas MD2 (AC9) dan Nangka Tekam Yellow (J33). Berbanding dahulu dengan harga durian kampong dijual dengan harga kadang-kadang kurang dari RM2.00 sekilogram sahaja bermakna durian Musang King yang berkualiti memang lebih menguntungkan. Kalau musim ada lambakkan durian, kadang-kadang durian kampong ini tidak menjadi duit pada masa lalu. Oleh itu kini lebih ramai petani yang menanam durian telah menukar durian kampong mereka dengan durian yang mempunyai harga mahal ini iaitu Durian Musang King, Duri Hitam, Tekka dan beberapa varieti lagi. Isunya bagaimanakah untuk mendapatkan hasil yang cepat dimana ada petani yang telah mensasarkan untuk mengeluarkan hasil buahnya dalam masa 30 bulan sahaja (kurang dari 3 tahun)?. Penulis cuba mengupas beberapa kaedah atau teknologi yang boleh dilakukan dari beberapa pemantauan dan pemerhatian. Bagaimana pun penulis berpendapat ilmu dan komitment petani disokong dengan amalan agronomi yang sempurna sahaja boleh menentukan akan kejayaan ini. Pada tahun 2018 ada penganjur swasta mengendalikan kurusu menanam durian Musang King dengan bayaran RM3,000 seorang dan berduyun-duyun peserta yang hadir di Raub, Pahang. Ini merupakan satu bentuk 'kegilaan baru' dalam industri durian selepas Menteri Pertanian membuat banyak kenyataan mengenai durian sebagai 'Buah Jalinan Mesra'. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" penulis akan huraikan beberapa lagi kemungkinan mengenai menanam durian D197 sehingga mampu menghasilkan buah dalam masa 30 bulan sahaja.


Pertama adalah menanam anakpokok durian dari Benih APM. Apakah dia benih APM?. Benih APM adalah singkatan daripada "Advanced Planting Material" iaitu benih D197 yang telah lama disemai dalam polibeg dalam polibeg besar. Benih APM adalah bersaiz lebih besar daripada benih 'standard' yang sering dijual. Ia mengambil masa lama untuk menukarkan polibeg anakbenih tersebut beberapa kali sehingga mencapai saiz yang besar. Benih APM akan ditanam didalam lubang penanaman yang besar yang digali sedalam 1 meter dengan lebar 1 meter dan diisikan dengan baja organik, gel pertanian, MOP, kompos dan tanah atas. Anakpokok APM yang besar ini ditanam ditengah lubang dan dipadatkan (Sila lihat foto di sebelah). Pastikan ia selalu disiram diperingkat awal penanaman kerana pokok durian perlukan air mencukupi untuk pertumbuhan. Aktiviti seperti kawalan musuh dan perosak dibuat sepanjang peringkat pertumbuhan. Selain daripada baja NPK 15:15:15 diberi dengan kadar disyorkan, kini beberapa petani komersil sekitar Raub, Pahang menggunakan baja foliar dan baja berasaskan 'Fish Meal Fertilizer' untuk mempercepatkan kadar pertumbuhan pokok. Dari kunjungan penulis di Dusun Mr Tan di Kg Sg Jerik di Maran mendapati pokok yang brlum sampai 30 bulan ditanam telah berbuah dengan beberapa pengamalan agronomi. Walau pun hanya ada sekitar 5 biji sahaja yang lekat kali ini, petani merasa puas hati kerana bukan sepokok yang berbuah tetapi hampir 65% pokok yang baru ditanam telah berbunga dan berbuah. Penggunaan baja 'Fish Meal Solution' berkemungkinan mempercepatkan masa anak pokok berbuah. Apa pun pada penulis 'komitment' yang amat tinggi oleh petani amat mempengaruhi pokok durian ini cepat berbuah. Beliau memeriksa pokok durian dengan kekerapan yang tinggi dengan membuat aktiviti ladang yang sesuai. Ini kerana kepercayaan yang durian Musang King memang akan mendapat harga tinggi dipasaran dimasa akan datang terutama untuk pasaran domestik dan eksport.


Penulis juga mengesyorkan agar petani menanam benih pokok Durian '3-In-One' iaitu disediakan dengan 3 pokok penanti dan kemudian disandingkan sebelum dicantum dengan mata tunas durian D197 (Musang King) merupakan satu teknologi yang boleh dilakukan untuk mendapatkan hasil dalam 30 bulan sahaja. Penyediaan benin '3-in one' ini memerlukan kepakaran tinggi oleh mereka yang ada kemahiran dan pengetahuan. Benih ini lazimnya dijual dengan harga mahal dinurseri oleh beberapa nurseri sahaja (Sila lihat foto disebelah). Benih ini selalunya dujual apabila berumur lebih setahun dimana peringkat proses penyediaannya juga agak lama. Penanaman benih pokok ini perlukan lubang penanaman yang besar sama seperti penanaman benih APM. Aktiviti pembajaan, kawalan musuh dan perosak serta penyiraman sama dengan amalan penanaman pokok durian APM dimana ia memang perlukan komitment petani. Kelebihan anak pokok durian 3-in-one ini adalah kerana ia mempunyai 3 anak pokok dengan banyak akar dan ini membolehkan pengambilan nutrien dari tanah cepat untuk proses tumbesaran pokok. Bagaimana pun penulis ingatkan petani agar menjaga tunas D197 yang akan menjadi pokok kerana kemungkinan juga tunas pokok penanti yang tidak diketahui varietinya akan tumbuh menjadi pokok kelak. Kini ramai dikalangan penanam durian telah mula menggunakan benih jenis ini walau pun semua kos membelinya adalah lebih mahal. Daripada beberapa laporan mendapati anakbenih ini mampu menghasilkan buah durian lebih cepat daripada kaedah konvensional biasa.


Kaedah ke 3 terkini yang paling popular untuk cepat dapatkan hasil durian varieti Musang King (D197) adalah dengan cara atau kaedah melakukan CANTUMAN DEWASA. Cantuman dewasa amat sesuai dilakukan terhadap pokok durian lama yang kurang produktif dan juga durian kampong yang kurang berkualiti. Saya ada menulis beberapa artikel mengenai apakan dia cantuman dewasa durian dan perkara berkaitan dengannya (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Kaedah cantuman dewasa durian ini ada beberapa teknik Pembentukkan Semula Tunas Penanti (Kaedah Tunggul dan Kaedah Kelaran) dan Tanpa Pembentukkan Tunas Penanti (Kaedah Tampal  - Patching). Pokok durian yang hendak dibuat cantuman dewasa dipilih daripada pokok dewasa yang masih sihat dimana dikawasan kebun ada sistem pengairan sempurna. Ini kerana jika tidak ada sistem pengairan maka kadar kejayaan aktiviti cantuman dewasa boleh gagal dan sasaran untuk menjadikan pokok berbuah awal tidak dapat dicapai. Lebih malang jika musim kemarau yang panjang menjejaskan pertumbuhan pokok durian yang baru sahaja selesai dijalankan cantuman dewasa. Pokok durian yang dibuat cantuman dewasa dan dijaga dengan baik mampu mengeluarkan buah awal (Sila anda lihat foto disebelah). Semenjak kebelakangan ini ramai pengusaka dudun durian telah melakukan aktiviti cantuman dewasa dikebunnya dengan menukarkan kepada varieti Durian Musang King (D197). Perbezaan harga jualan durian musang king amat tinggi berbanding dengan varieti lain. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology dan mendapat menafaatnya. Wasallam!!!...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Dusun Durian Komersil,
KM23, Kg Sg Ruan, Raub,
Pahang, Malaysia.
(29 Zulkaedah 1437H)
Kemaskini pada 20 Febuari 2018

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...