KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, April 30, 2016

PAHANG BEE PARK - SATU TINJAUAN

PAHANG BEE PARK (Taman Lebah Pahang) merupakan satu lokasi untuk menternak lebah, melatih usahawan muda dan lokasi lawatan penternakan Lebah Madu yang dimajukan di Pahang. Pak Nawi yang menjadi pengasas kepada Pahang Bee Park (PBP) adalah seorang aktivis dan kini merupakan usahawan didalam penternakan lebah madu sejak sekian lama. Beliau berjaya untuk membangunkan kawasan di Sungai Miang, Daerah Pekan, Pahang sebagai satu apiari untuk penternakan jenis Lebah Import (Apis mellifera). Pada masa tinjauan penulis ke apiari ini terdapat sekitar 500 haif berkoloni yang aktif dengan mendapatkan sumber makanan disekitarnya iaitu pokok akasia (Acacia mangium). Terdapat juga 12 orang belia yang berminat menjalankan kursus penternakan lebah madu secara intensif. Pada masa ini ramai dikalangan usahawan muda yang berminat menternak Lebah Madu dan Kelulut kerana ia berpotensi untuk memberikan pendapatan yang baik jika dilakukan dengan sistematik, lokasi sesuai dan mempunyai bekalan sumber makanan dikawasan sesuai terutama dihutan akasia. Dari segi teorinya penternakan Lebah Madu boleh dilakukan dengan menternak Lebah Import (Apis mellifera), Lebah Keran (Apis cerana) dan terkini yang menarik minat ramai adalah penternakan Kelulut (Trigona spp). Lebah Tualang (Apis dorsata) bagaimana pun tidak boleh diternak kerana ia spesis liar dihutan yang mempunyai habitat tersendiri. Madu Lebah tualang bagaimana pun merupakan antara madu yang bernilai tinggi. Sejarah tentang penternakan lebah madu di Malaysia bermula dengan agresif bermula semanjak tahun 1980'an dengan galakkan daripada Jabatan Pertanian menggunakan lebah keran. Penulis telah terlibat dengan teknologi penternakan lebah madu semenjak tahun 1982. Lebah keran apa yang dilaporkan bagaimana pun kurang memberikan hasil madu dengan baik berbanding dengan Lebah Import. Kini semakin kurang usahawan yang menternak lebah keran berbanding dengan ternakan kelulut. Bagaimana pun Pahang Bee Park hanya menternak lebah import yang didakwa mampu menghasilkan 10 kg madu setiap bulan bagi satu haif yang aktif dikawsan hutan akasia. Hasil madu penternakan lebah import ini dikawasan dusun buah-buahan dan kelapa pula berpotensi sekitar 3-5 kg satu haif sahaja (kalau diuruskan dengan baik). Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai aktiviti dan teknologi penternakan lebah import oleh Pahang Bee Park (PBP) sekadar untuk dikongsi bersama pembaca berdasarkan lawatan, temubual dan taklimat diberikan oleh Pak Nawi. Penulis berharap PBP akan lebih maju dengan konsep baru penternakan lebah madu di Malaysia.

Persekitaran kawasan taman lebah ini merupakan kawasan tanah gambut yang mana disekelilingnya terdapat banyak hutan ditumbuhi dengan pokok akasia. Anda boleh membaca tulisan saya mengenai pokok akasia (Sila klik disini) dan juga (Sila klik disini). Kawasan ini sangat sesuai untuk dijadikan penternakan lebah dan kelulut kerana mempunyai sumber makanan yang banyak. Ada beberapa inovasi yang telah dilakukan PBP seperti inovasi tiang kotak mudahalih yang di buat dari aluminium yang ringan, kukuh dan juga murah serta tahan lasak. Inovasi lain seperti rekabentuk haif buatan tempatan, formulasi makanan tambahan, bumbung daripada atap nipah, konsep latihan baru dan sebagainya. Kotak Haif Lebah Import dahulu memang diimport daripada negara China dimana kini harganya mencecah RM300 satu unit akibat meningkatnya kos mengimport dan kesan penurunan ringgit. Bagaimana pun haif baru yang dibuat kini kurang sedikit dari RM200 satu unit dibuat oleh warga tempatan. PBP juga telah membina pelindung haif iaitu struktur setinggi 8 kaki dengan bumbung daripada atap nipah yang memberikan suhu sesuai (tidak panas) untuk kotak lebah disusun dibawahnya (Sila lihat foto disebelah). Suhu diluar bangunan atap ini sangat panas dan ini merupakan satu pilihan tepat dilakukan untuk melindungi. Haif lebah disusun mengikut susunan dimana pintu masuk adalah utara-selatan bagi mengelakkan sinaran matahari.


PBP merupakan salah satu daripada 10 pengusaha lebah yang dijadikan anak angkat oleh bahagian PTIF Jabatan Pertanian Malaysia untuk menerima Ratu Lebah Import daripada Australia. PBP telah menerima sebanyak 30 ratu lebah dibawa masuk daripada negara Australia bagi meningkatkan ketulinan generasi lebah import tersebut. Kali terakhir Jabatan Pertanian membawa masuk ratu lebah F1 daripada Australia adalah pada tahun 1996. Penulis merupakan pencentus dan pelaksana dalam proses mengimport ratu lebah ini semasa bertugas di PTIF Putrajaya tahun 2014-2015. Kini dalam masa 3 bulan ratu lebah import F1 ini diternak didalam 30 haif berjaya dalam adaptasi dengan koloni lebah sedia ada yang diasingkan kedudukannya dengan haif koloni lain bagi menjamin proses pembiakan akan tidak terganggu. Semua koloni dan proses pembentyukkan ratu baru dilakukan oleh Pak Nawi dibantu oleh anaknya Taufik yang juga dikatakan pakar didalam membuat ratu lebah baru. Ketulinan ratu lebah yang baru akan menguatkan koloni lebah import (Apis mellifera) dan akhirnya keseluruhan ratu lebah yang telah lama akan dapat digantikan secara berperingkat. Pak Nawi mengucapkan ribuan terimakasih kepada Jabatan Pertanian yang memilih beliau sebagai penerima ratu lebah import dengan bilangan banyak pada hujung tahun 2015. Beliau berharap program bekalan ratu lebah import baru ini akan diteruskan pada masa akan datang.


Memeriksa koloni lebah import di PBP, penulis amat berpuashati dengan pengurusan yang dijalankan. Keaktifan koloni lebah dipantau setiap masa dengan memeriksa bilangan lebah yang keluar dan masuk haif terutama diwaktu pagi ketika banyak nektar dikeluarkan oleh pokok akasia. Menurut anaknya Taufik, lebih 80% koloni lebah adalah pada tahap CERGAS dan sesuai untuk menghasilkan madu dan ratu baru. Musim panas berpanjangan dari bulan Januari (hampir 4 bulan) membolehkan lebah memungut manisan nektar dari pokok akasia dan dikumpulkan menjadi madu. Oleh itu bagi mempastikan koloni lebah selesa, pihak PBP meletakkan beberapa bekas air bersih diletakkan disekitar koloni untuk memudahkan lebah mengambil air dimusim panas. Bekas yang diisi air ini diisi dengan bahan kayu dan batu untuk memudahkan lebah merayap minum dan air ini sentiasa diganti. Penulis dapati beratus-ratus ekor lebah pekerja mengerumuni bekas air disediakan dan ia merupakan satu aspek pengurusan lebah dimusim panas yang selalu dilupakan oleh ramai penternak lebah. Selain ini PBP telah mempunyai formula khas memberikan makanan tambahan yang dicipta oleh syarikat ini. Makanan tambahan ini akan diberikan mengikut kesesuaian seperti untuk menghasilkan ratu lebah, memecahkan koloni dan juga ketika musim hujan berpanjangan. Ia diletakkan didalam bingkai dan lebah akan mengerumuni mengambil makanan tambahan ini (Sila lihat foto disebelah). Pemberian makanan tambahan memjadikan koloni lebah akan lebih aktif dan bertenaga. Pemeriksaan juga mendapati kadar serangan musuh seperti semut, tabuan, burung dan sebagainya dikawasan PBP adalah terkawal. Ini kerana sanitasi dan sistem keselamatan dikawasan projek dijaga dengan baik.


Dalam penerangan yang diberikan oleh Pak Nawi, setiap haif di PBP Sg Miang ini mampu menghasilkan sebanyak sehingga 10 kg madu dalam masa sebulan dari hutan akasia. Penulis dapati jumlah ini memang boleh dicapai dikawasan hutan akasia dimusim panas berpanjangan seperti ketika artikel ini ditulis. Setiap bingkai yang penuh madu mempunyai sekitar 0.8 - 1.5 kg madu yang dituai mengikut pusingan bagi setiap koloni yang aktif. Oleh kerana kawasan sumber makanan di PBP ini adalah majoriti pokok akasia, maka madu yang dihasilkan adalah agak seragam dari segi warna, rasa, kandungan air dan kualitinya. Bingkai yang penuh madu akan dibawa ke pusat memproses madu untuk ia dipotong lapisan penutup madu dengan pisau tajam sebelum dimasukkan kedalam pengempar madu (Honey extractor) bagi mengeluarkan madunya. Cara lain mengeluarkan madu dengan membawa alat pengempar madu ini yang mudah di angkat kelokasi haif (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun jumlah madu yang dituai ini berbeza-beza kuantitinya diantara 3 kg (Bagi koloni baru) sehingga 6 kg satu haif (Koloni agak lama) dan ianya hanya dikawasan hutan akasia sahaja. Kalau pengusaha lain yang menternak dikawasan Hutan Gelam (Melaluca cajeputi) mungkin formula yang sama mengenai potensi pengeluaran madu boleh digunakan. Apa pun penulis mendapati mereka yang menternak lebah Apis mellifera dikawasan dusun buah-buahan atau dikawasan tanaman kelapa mencapai hanya sekitar 4-5 kg satu haif. Kiraan hasil madu dalam cashflow bagaimana pun cuma 10 bulan sahaja dalam setahun kerana pada bulan November - Disember lazimnya hasil madu tidak dituai kerana ia adalah musim hujan dan kurang aktif. 


Madu yang dikeluarkan oleh syarikat PBP ini adalah dijamin tulin dengan label atau jenama ACACIA ROYAL HONEY iaitu ianya dijamin sebagai Madu Asli. Setelah diproses mengikut prosedur GMP, madu asli ini akan dibotolkan dalam 3 saiz dimana ia menggunakan botol kaca terang yang mana madu didalamnya boleh dilihat dengan jelas (Sila lihat foto disebelah). Saiz botol yang paling banyak permintaan adalah yang mengandungi 700 ml madu asli dijual dengan harga ladang RM80.00 sebotol dan harga runcit mencecah RM100.00 sebotol. Sehingga artikel ini ditulis permintaan untuk madu asli dari PBP ini terus meningkat dengan pasaran utama adalah disekitar Lembah Kelang. PBP juga mengeluarkan botol madu lebah asli dengan harga RM50.00 sebotol dan RM25.00 sebotol. PBP juga menghasilkan madu lebah yang dipekatkan (10% mc) yang dieksport kenegara-negara Timur Tengah dengan harga ditawarkan RM1,000 sebotol. PBP mempunyai alat dan kepakaran untuk menurunkan kadar kandungan air madu tulin daripada sekitar 18-20% kepada 10% untuk tujuan ini. Potensi pasaran madu pekat ini amat tinggi dinegara tersebut dan sebaiknya dipromosikan kepada usahawan lebah lain. Pada penulis, sahabat Pak Nawi merupakan seorang usahawan yang gigih dalam industri penternakan lebah madu walau pun mengalami banyak cabaran pada masa lalu dan juga akan datang. Syabas kepada PBP yang teribat dalam usaha murni ini. Wasallam!.

PAHANG BEE PARK... ADA DIMANA...
DAERAH PEKAN... HUTAN AKASIA...
MEMBERI LATIHAN...ORANG MUDA..
PERLU GIGIH...TERUSKAN USAHA...

By,
M Anem,
Senior Apiarist,
Taman Lebah Pahang,
Sungaiu Miang, Pekan,
Pahang, Malaysia.
(24 April 2016)

Friday, April 29, 2016

TANAM MAMAN PASIR

MAMAN PASIR (Cleome pentaphylla) merupakan sejenis tumbuhan renek yang tumbuh liar dikawasan belukar dan kebun secara semulajadi. Penulis dapati ada beberapa jenis maman yang sering dijumpai di Malaysia seperti Maman Biasa, Maman Pasir dan Maman Hantu. Apa pun tumbuhan pokok maman merupakan tumbuhan herba yang tumbuh menegak dan banyak cabang mampu hidup setinggi 0.5 m-1.0 m bergantung kepada umur, kesuburan tanah dan jenis. Daun maman pasir lazimnya berwarna hijau iaiu daun jenis kompaun yang ada 5 helai daun pada satu tangkai. Bunga maman pasir selalunya berwarna putih atau ungu yang terbentuk dihujung tangkai berukuran 1-2 cm panjang. Dalam penelitian penulis dibeberapa lokasi di Pahang, buahnya berbentuk panjang selinder dengan mengandungi banyak biji bersaiz 1 mm garispusat. Akar berbentuk akar utama dan akar serabut yang capai kedalaman sehingga 0.7-0.8 m. Kalau dulu orang kampung hanya mencari maman pasir dikawasan kebun terutama selepas musim hujan. kini telah ada usaha untuk menanam maman pasir dikeliling rumah atau dikawasan kebun sebegai satu sumber makanan. Cara menanam dan aktiviti penjagaan tanaman ini adalah cukup mudah dan ia boleh dilakukan oleh ramai orang. Mungkin ramai dikalangan masyarakat bandar dan generasi muda yang tinggal di bandar tidak pernah kenal apa lagi memakan sayur maman pasir.  Artikel tengehari Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" teknologi menanam maman pasir sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan. Saya ada menulis 5 artikel mengenai maman sebelum ini untuk dirujuk semua pembaca.

Menanam maman pasir amat mudah dilakukan dikawasan keliling rumah dan dikebun yang mempunyai tanah yang subur. Peringkat sedia kawasan untuk menanam maman pasir dikebun dengan menyediakan batas tanaman atau menanam didalam bekas khas menggunakan tanah atau media tanaman lain. Benih maman pasir mudah didapati daripada pokok yang telah matang dimana benihnya akan didapati dalam lengai yang telah kering. Keluarkan benihnya yang bersaiz halus berwarna hitam dan dikumpulkan (Sila lihat foto disebelah). Benih yang diambil daripada pokok maman pasir tua selalunya mempunyai kadar percambahan tingggi. Taburkan maman pasir pada permukaan tanah lembab dan biarkan ia tumbuh selepas beberapa hari setelah disiram air. Baja asas seperti baja organik diberikan sebelum menanam dimana ia adalah penting untuk pertumbuhan tanaman ini. Biarkan ia tumbuh dengan subur sebelum dituai daunnya untuk dijadikan bahan sayuran. Kajian beberapa saintis menyatakan kandungan zat pemakanan maman pasir bagi setiap 100 gram adalah air (90 g), Protin (3.9 g), Lemak (0.3 g), Karbohiderat (3.6 g), Serat (0.8 g), kalsium (250 mg), Fe (10 mg), Karotin (7 mg), Vitamin C (131 mg) dan tenaga 137 kilojoule (kJ). Tumbuhan ini sering dilihat ditepi-tepi jalan atau diatas ban sawaah padi, ban parit ladang dan tanah ditebing sungai sebenarnya kini boleh ditanam sendiri jika ada kemahuan. Tumbuhan ini dari beberapa pemerhatian penulis didapati amat tahan kepada keadaan kemarau tetapi tidak tahan jika ditenggelami air. Keupayaan tumbuhan ini yang membesar dan membiak cepat sepanjang tahun menyebabkan ianya dianggap sebagai 'Rumpai' bukannya 'sayuran' dikalangan petani.

Laporan Statistik oleh Jabatan Pertanian menunjukkan, tanaman maman  termnasuk maman pasir dan maman hantu paling banyak diusahakan di Negeri Sembilan (dilaporkan ada seluas 37 hektar CHE) pada 2010 dengan penghasilan sebanyak 122 metrik tan. Sama ada laporan ini dipercayai atau tidak tetapi ia telah dimasukkan dalam laporan ststistik tahunan Jabatan Pertanian. Sebenarnya apakah khasiat maman masir yang semakin popular dimakan jika dibandingkan dengan khasiat daun pengaga atau daun meranti?. Penulis juga dapati belum ada varieti tumbuhan maman pasir yang didaftarkan dalam 'National Plant Variety Listing' walau pun penulis dapati ia boleh dikelaskan dengan warna batangnya. Kini maman pasir juga boleh dibezakan antara Batang Hijau dan Batang Kemerahan atau dikelaskan dsebagai Bunga Kuning atau Bunga Putih. Penulis bagaimana pun lebih kerap menjumpai jenis bunga putih dikawasan kebun (Sila lihat foto disebelah). Apa yang saya pasti daun maman pasir jika dimakan mentah adalah mempunyai Rasa Pahit. Oleh itu kebanyakan maman perlu dimasak atau diproses dahulu sebelum dimakan. Banyak resepi untuk memakan sayur daun maman kerana daun ini memang telah dijadikan sayuran eksotik semenjak dulu oleh penduduk kampong. 

Bahagian daun maman pasir yang berwarna hijau dan lembut dipetik untuk dijadikan bahan sayuran (Sila lihat foto disebelah). Tanaman sendiri dikeliling rumah yang dibaja dan disiram selalu membolehkan kita memetik hasil mengikut suka. Daun ini dipetik dan dimasukkan dalam bakul sebelum dibasuk dan dimasak mengikut resepi kegemaran masing-masing. Terdapat dakwaan iaitu jika kita mengamalkan penggunaan biji maman berlebihan, ia boleh boleh mengakibatkan angin dalam perut dan usus pula mengelegak atau kita sakit perut akibat angin. Bagaimana pun penulis merujuk kepada buku Karangan C.H. Ching mengenai khasiatnya dimana ia ada menyatakan iaitu jika biji atau daun diirebus dan air rebusan biji ini diminum maka ia boleh dijadikan ubatan luaran bagi merawat buasir dan reumatisme. Lebih menarik lagi adalah jika air rebusan tersebut diminum, ia didakwa mampu bagi merawat gonorea dan cirit-birit (berlendir atau berdarah). Ekstrak biji pokok maman boleh dijadikan racun serangga. Daun maman yang dipetik kemudian ia dihancurkan dan disapu atau digosok atau diletakkan pada bahagian belakang pinggang boleh menghilangkan rasa sakit. Inilah diantara info khasiat daun maman yang boleh dibuat rujukkan.

Maman Pasir sama seperti maman lain merupakan sejenis sayuran yang memang mempunyai rasa PAHIT. Orang kampong dakwa yang pahit itu UBAT dan ini menjadikan sayur maman perlu dimasak dahulu untuk dimakan. Ia perlu dicelur dahulu sebelum dimasak sebagai sayur masak lemak (Sila lihat foto sebelah) atau dicampur dengan bahan seperti dengan Ikan Bilis, Daging atau pun ada juga yang buat sebagai Rendang Maman. Kalau saya di Muar dulu, arwah ibu hanya memasak sayur maman pasir dengan cara menumis sahaja bersama cili api, santan kelapa, ikan bilis dan ramuan lain yang dimakan dengan nasi masih panas. Khasiat maman pasir juga banyak terdapat daripada bahagian pucuk, daun, biji dan bahagian akarnya. Beberapa rujukkan mendakwa yang akar maman yang direbus baik untuk kulit yang kekurangan Vitamin C. Biji maman yang ditumbuk halus, kemudian ia direbus dan diminum dengan air sangat sesuai untuk mengeluarkan 'Angin' dari dalam perut. Ini memang kena cuba kerana ianya sangat berkesan. Banyak kajian berkaitan tumbuhan ini yang perlu dibuat oleh saintis sebagai sejenis tanaman yang boleh ditanam sendiri dirumah untuk kegunaan sendiri. Wasallam!.
TANAM MAMAN... MUDAH SAHAJA...
MAMAN PASIR... SEJENIS BIASA...
DAUN DIPETIK... DIMASAK ENAKNYA...
BACA ARTIKEL... NAK TANAM PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Teknologi Hijau,
KM 26.5, Paloh Hinai,
Jalan Segamat-Kuantan,
Pekan, Pahang,
Malaysia.
(15 JamadilAkhir 1437H) 

Thursday, April 28, 2016

UBIKAYU - MUDAH DAN UNTUNG?

TANAMAN UBI KAYU (Manihot esculenta) merupakan tanaman yang mudah dilakukan dan ia boleh memberikan pendapatan kepada penanamnya serta boleh didakwa menguntungkan. Itu yang dinyatakan oleh seorang pemuda bernama Faisal dari Kampong Bangau Parit, Temerloh, Pahang yang penulis berpeluang melawat kawasan tanaman ubikayu sekitar 0.3 hektar bersebelahan dengan tanaman cili padi fertigasi. Ubi jenis 'black twig' yang ditanam berumur 6-8 bulan ini subur diatas tanah jenis alluvium sungai yang sedia untuk dituai secara berperingkat-peringkat untuk dijual segar disekitar Bandar Temerloh dan kampong sekitarnya. Jarak penanaman pokok ubikayu adalah 1 meter - 1.2 meter dimana celahnya ditanam dengan pokok pisang. Tapak yang disewa daripada penduduk kampong ini mampu menjana pendapatan apabila purata setiap pokok ubi yang dituai ini memberikan pulangan sekitar RM10.00 - RM12.00 dari hasil jualan ubikayu yang dituai. Pemuda yang bertugas sebagai wartawan sambilan Sinar Harian ini juga menyatakan akan memperluaskan tanaman ubi kayu dimasa akan datang dengan menyewa tanah lain tetapi memerlukan kos untuk menyediakan tanah dan sistem pagar. Ini kerana terdapat banyak ternakan seperti lembu, kambing dan serangan babi hutan yang merosakkan tanaman ubi kayu dikampong tersebut. Kawasan tanaman sedia ada kini telah dipagar menggunakan pagar zink, black netting dan kawat duri bagi mengelakkan serangan haiwan perosak. Tanaman ubi kayu memerlukan masa antara 7-12 bulan untuk dituai secara berperingkat mengikut harga pasaran dan permintaan. Ubi kayu yang dijual kebanyakannya dimakan sebagai ubi rebus atau dijadikan kuih-muih berasaskan ubi kayu. Belum ada dikalangan penduduk tempatan dikampong ini yang terlibat menjalankan projek IAT membuat kerepek ubi dan produk lain. Artikel subuh ini dari bilik hotel saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman ubi dan cili padi fertigasi mampu menjana pendapatan.


Tinjauan penulis ke projek ini semasa panas terik dan kemarau teruk melanda dikampong ini. Penulis hadir sempena dengan lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani keprojek ternakan ikan sangkar yang terjejas teruk akibat air sungai yang kering (Sila lihat foto disebelah dimana kelihatan sangkai atas pasir sungai). Ketiadaan hujan lebat selama hampir 3 bulan di ulu Sungai Pahang telah menyebabkan sangkar ikan patin, ikan tilapia dan beberapa jenis ikan sungai yang diternak berada didaratan akibat paras air yang turun. Jabatan Perikanan telah pun menilai anggaran kerugian oleh penternak mencecah sehingga RM4.3 juta melibatkan kematian ikan, kerosakan sangkar dan juga infrastruktur lain. Dilaporkan juga daripada 386 penternak ikan sungai diseluruh Pahang, seramai 268 orang adalah berada disekitar Temerloh yang terkenal dengan gelaran 'Bandar Ikan Patin'. Ikan Patin merupakan IKON kepada bandar Temerloh dengan keenakkan ikan tersebut yang dikira sebagai makanan eksotik dikalangan ramai peminat ikan sungai ini. Harga ikan patin kini jauh lebih tinggi daripada harga ikan laut dan ayam daging apa lagi kalau ia sudah siap dimasak. Sepotong ikan patin yang siap dimasak tempoyak biasa dijual sekitar RM12.00 - RM14.00 sepotong. Bekalan ikan patin dan beberapa jenis ikan sungai yang lain terjejas teruk akibat bencana banjir dan kemarau panjang di Sg Pahang di Temerloh yang merupakan fenomena alam semulajadi. Beberapa langkah perlu disusun bagi mengatasi masaalah kerugian ini seperti menjadualkan semula masa menternak dan membuat pelan strategik yang khusus. Ikan Patin memerlukan teknik penjagaan yang khusus untuk ia diternak didalam sangkar sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dipasarkan.  


Berbalik kepada tanaman ubikayu, pada sekitar tahun 1980'an keluasan tanaman ubikayu mencecah seluas 20,000 hektar tetapi pada tahun 2015 hanya seluas 2,970 hektar sahaja ditanam dengan jumlah hasil sebanyak 25.8 metrik tan (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Bagaimana pun dikaji dari segi produktiviti, didapati di Malaysia mencatatkan jumlah hasil pengeluaran yang tinggi sehektar berbanding dengan kadar produktiviti negara jiran kerana kebanyakan hasil ubikayu di berikan pembajaan mencukupi. Tanaman ubikayu di Thailand dan di Vietnam kebanyakannya ditanam untuk diproses dijadikan produk lain seperti kanji dan biodisel. Menanam ubi kayu dikatakan senang dan mudah kepada mereka yang selalu menanamnya dengan mengetahui teknologi dan juga agronominya. Tanaman ini mudah tumbuh dikawasan tanah subur dan dijaga dengan baik. Siapa sangka bahawa jika anda menanam ubi kayu sebenarnya mempunyai musuh dan perosak semulajadi yang perlu dikawal agar kita mampu mendapatkan hasil yang banyak dan berkualiti. Antara beberapa jenis serangga dan haiwan perosak memang mampu menjejaskan kesuburan tanaman ubi kayu dan kualiti yang akan dihasilkan. Dari segi penyakit pula memang perlu dikenalpasti dan dikawal dengan cara yang betul untuk mengurangkan kadar kerosakan tanaman. Tinjauan penulis di lokasi tanaman ubikayu Faizal mendapati tiada tanda serangan serangga perosak dan penyakit.


Penulis berperanan dalam memberi khidmat nasihat teknikal kepada petani dimana bagi tanaman ubikayu. Sebenarnya terdapat beberapa jenis serangga perosak yang boleh menyerang tanaman Ubikayu. Ada dua jenis ulat iaitu Ulat Putih - Uret (Xylenthropus spp) dan Tungau Merah. Ulat Uret ini selalu berada didalam tanah dimana ia akan menyerang bahagian akar tanaman ubi kayu terutama diperingkat awal penanaman. Ulat ini juga boleh menyebabkan akar pokok ubi rosak dan menyebabkan tanaman ubi kayu akan mati jika serangan berlaku pada peringkat masih pokok muda. Kaedah kawalan dengan cara amalan agronomi iaitu kita perlu membersihkan kawasan penanaman ubikayu daripada sisa tanaman berkayu yang mereput (ia merupakan sumber makanan ulat ini) dan jika serangan pada kadar serius boleh disembur dengan racun serangga seperti Sevin semasa menyediakan kawasan. Ia dilakukan sebelum menanam ubikayu untuk membunuhnya. Serangan Tungau Merah (Tetranychus bimaculatus) pula menyerang pada permukaan bawah daun dengan pokok ubikayu dengan menghisap cairan daun (air sap daun) pokok tersebut. Serangan ini akan lebih ketara ketika musim kering dan panas serta kurang hujan. Kaedah kawalan dengan cara amalan agronomi iaitu mempastikan sanitasi ladang adalah terbaik dan dibersihkan. Tanda serangan tumgau merah akan mengakibatkan bahagian daun diserang akan menjadi kering dan tidak produktif. Kaedah kawalan yang disyorkan adalah dengan menanam varieti ubikayu yang tahan kepada serangan ini dan buat semburan dengan air dengan kuantiti banyak sehingga tungau ini jatuh ketanah . Lazimnya jika berlaku hujan lebat serangan serangga tungau ini akan terkawal secara semulajadi.


Walau pun ia tanaman ubikayu sahaja tetapi masih ada berlaku serangan penyakit berlaku. Beberapa penyakit layu menyerang tanaman ubikayu seperti Bintik Daun Bakteria, Layu Bakteria, Layu Duan Coklat dan Bintik Daun Berpusar. BagiPenyakit Bintik Daun Bakteria ini disebabkan oleh patogen dikenali dengan nama Xanthomonas manihotis atau juga ia dipanggil sebagai Cassava Bacterial Blight (CBG). Tanda serangan dimana ada tanda bintik-bintik bersudut pada daun lalu bergerak dan mengakibatkan pada daun kering dan akhirnya mati (Sila lihat foto disebelah). Cara kawalan adalah dengan menanam variet ubikayu yang tahan serangan atau kita memotong atau memusnahkan bahagian tanaman yang sakit. Cara lain adalah dengan melakukan pergiliran tanaman dan sentiasa membuat sanitasi kebun. Penyakit Layu Bakteria pula selalu disebabkan oleh patogen Pseudomonas solanacearum. Tanda serangan bermula pada bahagian daun, akar dan batang dimana tiba-tiba atau dengan mendadak daun ubikayu akan menjadi layu seperti tersiram air panas. Bia disiasat dibahagian akar dan batang dan umbisinya akan didapati telah menjadi busuk. Cara kawalan adalah dengan kita melakukan pergiliran tanaman, menanam varieti yang tahan serta mencabut dan memusnahkan tanaman yang teruk diserang dengan membakarnya. Walau pun tanaman ubi komersil kurang mendapat perhatian petani tetapi jika ditanam secara kecil-kecilan atau disekeliling rumah boleh mendatangkan keuntungan.


Menanam ubikayu dikatakan mudah dan boleh berikan pendapatan. Penulis ada membuat analisa mengenai Kosting bagi tanaman ubi kayu. Ubikayu yang dituai segar akan dijual dan digunakan sebagai bahan untk dimakan sama ada direbus, digoreng, dibuah kuih tradisional atau pun dibuat kerepek. Ubi yang segar ada dijual dipasar tani, kedai runcit, pasar basah dan pasar malam atau gerai tepi jalan (Sila rujuk Jadual diatas). Analisa tanaman ubikayu jika dikaji dan dibuat analisa kewangan dijangka akan boleh menghasilkan sebanyak 28,000 kg umbisi sehektar dan jika harga ladang RM0.50 memberikan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 14,000.00 sehektar. Bagaimana pun semasa tinjauan penulis dibuat diTemerloh harga ladang (runcit dikampong) adalah RM1.50 sekilogram (harga April 2016). Anggaran jumlah Kos Pengeluaran ubi kayu adalah sebanyak RM 10,435.00 menjadikan anggaran pendapatan bersih tanaman ubi kayu sekitar RM 3,043.00 sehektar semusim. Jika harga jualan adalah RM1.20 sekilogram manjadikan pendapatan kasar menjadi RM 33,600.00 . Jika ubi kayu dituai dalam masa 8-9 bulan maka pendapatan bersih tenaman ubi kayu sekitar RM338.10 sehektar sebulan tetapi meningkat kepada RM2,573,90 sehektar sebulan (Harga jualan RM1.20 sekilogram). Anggaran titik pulang modal pada harga ladang RM0.50 sekilogram maka nilainya adalah RM0.52 atau jualan ubi kayu mesti melebihi RM0.39 sekilogram untuk membuat keuntungan. Kadar B/C Ratio tanaman ubikayu adalah sekitar 1.28 dan ini bermakna setiap RM1.00 yang dibelanjakan ianya akan memberikan pulangan modal sebanyak RM1.28. Tanaman ubi kayu tidak begitu menguntungkan berbanding dengan tanaman lain. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
BANGAU PARIT ...KAMPONG LAMA...
TEPI SUNGAI... SUBUR TANAHNYA...
TANAM UBIKAYU...MUDAH SAHAJA...
DILAKUKAN OLEH...ORANG MUDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Bangau Parit,
Temerloh, Pahang,
Malaysia.
(30 JamadilAkhir 1437H) 

Wednesday, April 27, 2016

KEMARAU - KESAN PADA TANAMAN 2016

KEMARAU DAN SUHU PANAS 2016 yang berlaku semasa artikel ini ditulis adalah pada tahap yang terkesan kepada sektor pertanian. Ada dilaporkan secara tidak rasmi melalui facebook, twiter, wasap group malahan media TV mengenai kesan kemarau yang agak panjang berlaku. Dibeberapa kawasan seperti di Daerah Jerantut, Pahang ada beberapa sekolah terpaksa ditutup akibat cuaca panas hingga mencecah 38-39 darjah Celcius yang dikatakan boleh menyebabkan 'heat stroke' mengikut laporan akhbar tempatan. Berita TV3 menyatakan dimana suhu di negara jiran seperti daerah Kanchanaburi, Thailand pula lebih tinggi sekitar 42-43 Celcius dengan kemarau lebih teruk lagi. Ia menyebabkan banyak kesan kepada banyak sektor sehingga tanaman banyak yang musnah dinegara tersebut. Fenomena kemarau yang panjang semenjak Januari dengan suhu tinggi ini dijangka berlanjutan sehingga pertengahan tahun atau bulan Jun. Fenomena seperti ini pernah dilaporkan pada tahun 1996/1997 dengan suhu dicatitkan di Perlis mencecah setinggi 41 Celcius. Kemarau yang panjang dan cuaca panas amat menjelaskan banyak aktiviti pertanian terutama untuk penghasilan tanaman makanan seperti tanaman sayuran, tanaman kontan dan tanaman padi. Pokok saka seperti jenis tanaman buah-buahan juga terjejas walau pun kesannya tidak dilihat nyata seperti tanaman jangkapendek. Kesan apa yang dikatakan sebagai 'El-Nino Effect' ini telah mula dibincangkan diperingkat kebangsaan dan peringkat global yang berkait dengan 'Global Warming'. Adakah negara kita akan terus mengalami kesan El-nino ini dengan tahap lebih teruk akan berlaku dan membimbangkan dimasa akan datang?. Penulis yang juga sempat membuat tinjauan akan kesan kemarau dan suhu tinggi ini tahun ini sempat  juga membuat beberapa pemerhatian fenomena ini terhadap pertumbuhan dan kemusnahan yang berlaku melalui lawatan pemantauan, temubual dengan petani dan membaca laporan umum. Kesan kemarau panjang dan suhu tinggi yang kini berlaku pada tahun ini dijangka mengurangkan hasil pengeluaran makanan negara sehingga 10-15% dari segi kuantiti, nilai dan juga kualiti. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya menulis mengenai kesan kemarau dan suhu tinggi terhadap tanaman sekadar satu analisa dan pendapat saintifik sahaja. 


Dalam meninjau kesan kemarau terhadap tanaman betik (Carica papaya) memang amat mudah dilihat kesannya. Penulis sempat melawat projek tanaman betik di projek bersepadu iaitu Agropolitan Chemomoi, Bentong, Pahang dimana ada seluas 84 ekar tanaman betik sekaki sedang berhasil. Ada juga beberapa projek tanaman betik di Batu Pahat, Segamat dan di Sungkai, Perak dimana dilaporkan kesan sama terhadap kesan kemarau terhadap tanaman ini. Pokok betik yang mengalami kemarau dan kurang air akan meyebabkan bunga serta putik gugur (Sila anda lihat foto disebelah). Ini kerana jika kesan kekurangan air khususnya pada tanaman betik memang paling mudah menunjukkan 'kawasan kosong' pada kawasan buah pokok tersebut. Bagaimana pun jika kawasan tanaman betik ini mempunyai sistem pengairan baik maka kejadian ini kurang atau tidak berlaku dimana putih bunga, putik dan buah betik akan seragam dan sekata susunannya. Beberapa ladang betik yang ada dipasang dengan sistem pengairan juga kini ada masaalah apabila sungai atau kolam takungan air menjadi kering kontang. Ini kerana hampir lebih 100 hari tidak ada hujan turun dikawasan penanaman betik ini. Kolam air yang dipam terpaksa dikawal kerana 'replenish' air dalam kolam amat berkurangan dan perlahan.


Tanaman padi dikawasan sawah padi sama ada didalam jelapang padi atau luar jelapang padi juga terjejas. Kawasan luar jelapang padi atau luar skim pengairan paling mudah terjejas dengan kejadian kemarau panjang ini yang menganggu pertumbuahan tanaman padi. Beberapa skim sawah yang penulis sempat melawat seperti di IADA Pekan dan IADA Rompin didapati kadar pertumbuhan padi terjejas kerana kekurangan atau tiada air dalam sawah. Bagi kawasan padi yang ditanam pada Januari dan Awal Febuari terjejas dengan lebih teruk kerana ia telah membantutkan kadar pertumbuhan dan ada beberapa lokasi yang telah tanamannya hampir musnah (Sila anda lihat foto disebelah). Beberapa kawasan tanaman padi di Negeri Sembilan juga telah terjejas dengan serius. Tamanan padi memerlukan air, baja, benih dan kawalan rumpai yang mencukupi untuk mendapatkan hasil optima.  Tanaman Padi (Oryza sativa) adalah tanaman penting dinegara kita yang perlu di tanam kerana beras adalah makanan ruji rakyat Malaysia dengan kadar kecukupan (SSL) sekitar 70%. Kesan kemarau boleh menyebabkan pengeluaran padi terjejas jika tidak diambil tindakan sesuai. Antara beberapa langkah yang perlu dijalankan adalah seperti pesawah perlu menjadualkan semula jadual tanaman padi, menambah pam air untuk penghantaran air dan amalan lain yang sesuai. Beberapa skim pengairan juga menyusun jadual agihan air mengikut keperluan pesawah.


Tanaman kontan seperti Jagung (Zea mays) juga antara yang mudah terjejas akibat kesan kemarau panjang dan suhu yang tinggi. Dalam beberapa laporan, beberapa kawasan aktiviti penanaman jagung manis di Pahang, Melaka, Perak dan Perlis didapati pokok jagung terjejas pertumbuhannya malahan dibeberapa lagi kawasan 'extreme' pokok jagung mati. Projek tanaman jagung manis di Projek Bumi Hijau, Rumah Awam Bera, Pahang penulis meninjau dan memeriksa dimana kolam dan sungai berhampiran telah kering dan beberapa orang petani menggunakan air paip untuk meneruskan aktiviti. Beberapa batas yang tidak mendapat air didapati pokok jagung kering dan seakan hampir mati akibat kes kemarau panjang yang dialami tahun ini (Sila lihat foto disebelah). Tanaman jagung amat sensitif dengan kesan kekurangan air dimana ia menyebabkan pokok terencat pertumbuhannya, buah tidak berkualiti dan akhirnya pokok mati (tanaman baru). Daripada laporan Jabatan Pertanian Johor iaitu di Kelompok Bt 18, Sengkang, Ledang, Johor kesan kemarau ini dapat diatasi dengan pemasangan Sistem Pengairan Telaga Tiub yang dipadang pada tahun 2015. Ini telah membolehkan aktiviti tanaman jagung, sayuran daun dan sebagainya terus dapat dilakukan dengan baik. Telaga tiub dalam (deep tube well) didapati mampu mengatasi masaalah kemarau dimasa akan datang dan ianya perlu dimenafaatkan penggunaannya.


Terdapat juga petani yang menanam pokok kelapa MATAG (Cocos nucifera) dimana hampir 80% mati akibat kemarau panjang seperti apa yang dilaporkan berlaku di Kg. Baharu, Daerah Jerantut, Pahang. Menurut petani Encik Ismail, pada hujung 2015 dan awal 2016 sebanyak 3 pokok kelapa Matag telah dilaporkan mati kerana ditenggelami air akibat banjir. Kemudian beliau pohon kepada pihak JPS untuk mendalamkan parit yang semakin cetek tetapi tidak dijanka pada bulan April ini cerita lain terjadi dimana lebih banyak pokok kelapa matag ini mati akibat kekeringan (Sila lihat foto disebelah). Benih kelapa matag bantuan Jabatan Pertanian kini berumur 7 bulan didalam kebun dan nilai benih semasa adalah RM30.00 sepokok. Nilai kerugian dialami beliau mencecah ribuan ringgit dengan hampir 60 pokok diterima (Kos benih sahaja RM1,800.00) dan lebih tinggi lagi jika dicampur dengan kos penyediaan kawasan, bahan input pertanian dan lain-lain. Kesan kemarau dan suhu panas amat dirasakan petani ini dimana tanaman pisang diantara pokok kelapa matag ini juga hampir mati. Ramai lagi penanam kelapa yang baru menanam kelapa kerugian akibat kesan kemarau seperti di Melaka, Perak dan beberapa lokasi lain. Kesan kemarau panjang dan suhu tinggi dimasa ini amat terasa dikalangan semua pihak. Penulis juga melawat ke Kg Bangau Parit di Daerah Temerloh dimana Menteri Pertanian melawat kesan kemarau terhadap projek ikan sangkar terutama Ikan Patin (Sila klik disini). Dalam taklimat tersebut dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perikanan seramai 96 pengusaha ikan sangkar kerugian sekitar RM435,000 apabila sangkar ikan rosak akibat air dalam sungai kering. Semuga anda mendapat info berguna selepas membaca artikel ini. Wasallam!.
KESAN KEMARAU.... AMAT DIRASA...
SUHU TINGGI... ADOI PANASNYA...
PERTANIAN TERJEJAS...DIANALISA...
BACA ARTIKEL... KEMUDIAN TANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Kelapa MATAG,
Kg Baharu, Jerantut,
Pahang, Malaysia.
(23 Rejab 1437H) 

Tuesday, April 26, 2016

PROJEK FERTIGASI KUALA MEDANG

PROJEK FERTIGASI di Kuala Medang, Lipis, Pahang kini merupakan satu projek yang berjaya membawa penduduk tempatan dalam menghasilkan melon dan produk lain secara fertigasi. Sistem tanaman fertigasi merupakan satu 'vertical technology in agriculture' dimana ia amat sesuai dengan perubahan zaman masa kini. Berbanding dengan cara 'convensional system' atau 'horizontal system', sistem tanaman secara fertigasi ini merupakan kaedah pertanian berteknologi tinggi dan mampu memberikan pulangan yang baik jika dilakukan dengan betul. Bagaimana pun diperingkat awal perlu ada persiapan kukuh untuk melaksanakan 'vertical technology' ini seperti keupayaan modal menyediakan asas infrastruktur serta kemudahan lain, ilmu pengetahuan tinggi dan pengurusan tanaman yang mana pengusaha perlu dilatih dahulu sehingga mahir. Melihat kepada foto diatas ianya hanya akan dicapai jika petani yang menjalankan penanaman dengan mematuhi Amalan Pertanian Baik atau MyGAP seperti dilakukan diprojek fertigasi Kuala Medang, Daerah Lipis, Pahang ini. Penulis mendapati mereka dari golongan muda mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam sistem atau cara penanaman melon sehinggakan berjaya selalu dalam menghasilkan buah melon Gred A yang agak konsistent. Projek ini yang diberikan bantuan asas daripada pelbagai pihak telah melahirkan potret kejayaan tersendiri dan berjaya menghasilkan produk 'Medang Melon' untuk dipasarkan dengan harga premium. Penulis yang melawat projek ini menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa kupasan teknikal mengenai projek ini yang boleh dicontohi dikawasan lain. 


Lawatan penulis keprojek Kuala Medang BioFarm ini bersama-sama kumpulan pegawai teknikal disambut oleh Penghulu Asyhar dan Ketua Projek iaitu Encik Rosdi dan rakan-rakannya. Terdapat 8 struktur pelindung hujan (SPH) yang dibina dengan ukuran 80 kaki x 30 kaki setiap satu. Dibina juga 8 struktur Fertigasi Rakyat yang ditanam dengan pelbagai jenis tanaman terpilih terdapat pada kawasan lapang untuk penanaman beberapa jenis sayuran dan projek fertigasi terbuka. Kemudahan bekalan air asas daripada kolam yang dibina pada perinkat awal tetapi kini kekurangan air bersih menyebabkan peserta terpaksa juga menggunakan air dirawat daripada bekalan PAIP sebagai satu alternatif. Kos membayar bil air yang dikira sebagai tariff industri amat dirasai mahal oleh peserta perojek. Walau pun ada juga beberapa usaha menggali air bawah tanah dengan telaga tiub sedalam 60-80 kaki tetapi masih gagal menjumpai air bawah tanah untuk projek ini. Mereka telah memohon bantuan pelbagai pihak untuk cuba selesaikan isu sumber air. Peserta projek akan berusaha untuk mendapatkan sumber air bumi dengan Telaga Tuib Dalam (Deep Tube Well - lebih 100 kaki dalam). Pemeriksaan dalam SPH terhadap beberapa tanaman melon penulis mendapati dimana pada keseluruhan pertumbuhan tanaman melon dan lain-lain jenis sangat memuaskan. Dengan menggunakan kanta pembesar penulis memeriksa daun dan bunga melon dan didapati tiada seekor pun aphid yang dijumpai dalam kawasan projek (Sila lihat foto disebelah). Kawalan serangga perosak dan patogen penyakit dilakukan dengan syor pakej tanaman melon secara fertigasi yang baik diamalkan. Dalam beberapa musim lepas, semua melon yang dihasilkan adalah sebiji sepokok untuk mendapatkan berat buah melebihi 1 kg sebiji. Semua hasil melon disini mendapat Gred A dan dipasarkan kepada FAMA melalui sistem ladang kontrek. Mereka mendapat harga yang agak baik pada beberapa musim lepas dengan jaminan kualiti yang konsisten.


Bagi tujuan pengawasan, selaku ketua projek En Rosdi sendiri akan mempastikan semua peserta akan mengikuti jadual pengurusan tanaman melon fertigasi. Projek ini juga telah memenangi beberapa anugerah diperingkat negeri dan kebangsaan. Antaranya adalah Juara Pertandingan Hasil Melon HPPNK dan beberapa anugerah lain lagi diperingkat negeri dan kebangsaan. Selain itu sebanyak 7 sarang koloni kelulut diletakkan disekeliling kawasan pprojek dengan menggunakan Trigona itama yang untuk bertujuan aktiviti pendebungaan. Sarang kelulut ini akan ditutup dan kelulut tidak dibenarkan keluar selama beberapa jam selepas aktiviti penyemburan racun serangga dan racun kulat dijalankan terhadap tanaman melon didalam rumah SPH. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan kelulut menyedut nektar dan pollen beracun dimana ia akan menyebabkan kemusnahan pada koloni kelulut. Peratus pendebungaan oleh kelulut pada setiap pokok mencecah 95-100% dengan ujudnya koloni kelulut dikawasan projek. Bagaimana pun bagi tujuan untuk mendapatkan buah Gred A yang tinggi, semua putik buah yang lain akan dibuang dan ditinggalkan hanya sebiji sepokok sahaja. Pemberian baja cecair (foliar fertilizer) melalui sisitem fertigasi menggunakan sukatan yang disesuaikan dengan umur pokok, persekitaran dan juga lain-lain faktor dilakukan untuk menentukan kesuburan tanaman. 


Usaha penanaman melon secara fertigasi ini membolehkan En Rosdi bin Salleh terus bersemangat meluaskan aktiviti penanaman melon sebagai satu business dan perniagaan. Kini beliau merupakan seorang pengusaha dan juga sebagai pakarunding dalam teknologi penanaman melon secara fertigasi. Beliau memberikan latihan kepada mereka yang berminat terutama golongan belia untuk menceburkan diri dalam pertanian seperti projek fertigasi yang sesuai dijalankan pada masa ini. Amalan agronomi dan pakej teknologi penanaman melon dan beberapa tanaman lain secara fertigasi kini telah banyak diketahui oleh masyarakat umum. Sebut sahaja sistem tanaman fertigasi kita mempunyai Sistem Fertigasi Gantung, Sistem Fertigasi Rakyat, Sistem Fertigasi Terbuka dan Sistem Fertigasi dibawah Rumah SPH. Jenama 'Medang Melon' akan diperluaskan pada masa akan datang sebagai satu jenama produk melon yang berkualiti sama seperti apa yang telah dilakukan oleh peserta projek TKPM Tok Dor di Besut, Terengganu yang memberi jenama melon 'Besut Sweets'. Mereka berusaha untuk menambah lagi keluasan kawasan penanaman melon secara fertigasi dimasa akan datang dengan pelan perancangan yang telah disusun. Semuga projek ini akan berterusan menjadi pengeluar bahan makanan untuk negara. Wasallam!.


PROJEK FERTIGASI... TEKNOLOGI BARU...
MODAL AWAL TINGGI... PERLU ADA ILMU...
TANAMAN MELON...PENJAGAAN PERLU...
HASIL BERKUALITI...HARGA BAIK SELALU... 

By,
M Anem,
Snior Agronomist,
Projek Fertigasi Kuala Medang BioFarm,
Kuala Medang, Kuala Lipis,
Pahang, Malaysia.
(4 JamadilAkhir 1437H)

Monday, April 25, 2016

MASAALAH KARAT NANGKA - APA DIA?

MASAALAH KARAT NANGKA merupakan satu fenomena yang kini menjadi satu sebab kepada penurunan kualiti sesetengah varieti tanaman Nangka terutama J33 yang menghantui petani. Buah Nangka (Artocarpus heterophyllus) yang ditanam di Malaysia kini merupakan pilihan petani dibeberapa kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) terutama di Negeri Pahang. Varieti Tekam Yellow (J33) merupakan sejenis verieti nangka yang didapati agak mudah diserang masaalah karat nangka berbanding dengan varieti-varieti lain terutama jika pokok tersebut masih muda. Nangka varieti lain yang juga agak popular ditanam agak jarang diserang dan dilaporkan tiada masaalah karat nangka serius. Antaranya seperti varieti J32 (Mantin), J36 (Nangka Madu), J37 (Mastura), Subang Chap Boy (J28) dan J31 (NS101). Masaalah karat nangka telah dikenalpasti oleh beberapa orang petani dan pegawai Jabatan Pertanian pada awal tahun 2010 melalui beberapa laporan yang diterima terutama dari kawasan projek komersil nangka di Negeri Pahang dan Negeri Sembilan. Beberapa pihak seperti Jabatan Pertanian, MARDI dan Universiti tempatan telah membuat pemerhatian mengenai masaalah karat nangka tetapi masih keputusan masih diperingkat awal untuk menentukan dan banyak kali dibincangkan. Antara persoalan adalah apakah yang sebenarnya menjadi punca kepada masaalah ini?. Adakah di sebabkan oleh patogen?, Adakah disebabkan oleh masaalah fisiologi?, Adakah disebabkan oleh cuaca dan hujan?, Adakah disebabkan oleh bakteria, Kulat atau Serangga?. Bagi menyelami masaalah KARAT NANGKA (Jackfruit Rust) yang kini merupakan satu isu dan fenomena menjadi satu sebab kepada penurunan kualiti pada sesetengah varieti Nangka terutama varieti Tekam Yellow (J33), penulis yang mempunyai pengalaman dalam proses pengesyoran varieti ini mendapati ia juga merupakan sejenis verieti nangka yang mudah diserang masaalah karat nangka berbanding dengan varieti-varieti lain. Karat Nangka dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi maklumat dan dibincangkan bersama dengan semua pembaca blog ini.

Tanaman pokok nangka di Malaysia kini dijadikan satu jenis buah-buahan agak popular dimajukan secara komersil. Nangka dikenalpasti untuk dimajukan di bawah program pembangunan buah-buahan di bawah Dasar Agro Makanan dan di bawah projek NKEA (EPP7). Penanaman nangka telah menarik minat ramai petani kerana cepat berhasil, mudah dijaga, pasaran yang baik dan berpotensi untuk pasaran ekspot khususnya beberapa verieti tertentu terutama Varieti Tekan Yellow (J33). Keluasan kawasan tanaman nangka telah bertambah mulai 2008 dimana penghasilan dari cuma 18,700 metrik tan pada tahun 2003 telah naik kepada sebanyak 29,980 metrik tan pada tahun 2010 iaitu hampir dua kali ganda dalam masa 7 tahun. Jumlah keluasan tanaman nangka pula seluas 3,460 hektar pada tahun 2010. Purata harga ladang nangka pada tahun 2010 ialah RM 1.78 sekilogram dan purata harga runcit RM 3.80 sekilogram untuk kebanyakkan varieti. Bagaimana pun di Pahang, Persatuan Penanam Nangka TKPM telah menetapkan harga minima nangka segar diladang adalah sekitar RM2.50 sekilogram. Nangka segar ini dijual kepada pemborong buah di sekitar Pahang dan Lembah Kelang untuk jualan segar dan juga diproses. Nangka yang matang dipetik dan diperam sebelum diedarkan kepada pembeli (Sila lihat foto disebelah). Nangka ini sesuai dimakan segar dan banyak dijual digerai tepi jalan, pasar tani, pasar malam malahan dikawasan premis buah-buahan tempatan.

Berbalik kepada masaalah mengenai KARAT NANGKA yang penulis hendak bincangkan, kini ada beberapa hipotesis dan kajian awal telah dibuat dan dibincang dengan serius. MARDI dalam satu laporan ada menyatakan bahawa, karat nangka bukan di sebabkan oleh serangan oleh patogen Kulat, Bakteria atau pun Virus. Penyelidik mereka menyatakan secara spesifik dimana kehadirannya patogen yang terdapat pada sampel buah yang diserang karat nangka mungkin disebabkan oleh apa yang didakwa sebagai kesan sampingan (secondary effect). Beberapa sampel buah karat nangka yang diambil daripada TKPM Tebing Tinggi, Triang di Bera, Pahang serta TKPM Lanchang, Temerloh, Pahang dan TKPM Gemas, di Negeri Sembilan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa. Hasilnya telah didapati beberapa keputusan awal yang menyatakan bahawa masaalah karat nangka bukan disebabkan oleh bakteria atau kulat berdasarkan kepada beberapa ujian yang dijalankan dimakmal. Ujial makmal tersebut (postulate) yang dijalankan memberikan bahawa ia berkait dengan kesan fizikal dan bukan patogen. Kalau bukan disebabkan oleh perkara tersebut, jadi apa pula sebenarnya yang menjadi asas kepada kejadian karat nangka?. Tanda hitam pada pangkal tangkai buah menunjukkan buah tersebut memang telah diserang dengan karat nangka (Sila anda lihat foto disebelah). Bagaimana pun kini buah yang elok kulit luarnya tetapi apabila dibelah masih ada tanda serangan karat nangka. 

Lawatan penulis kebeberapa lokasi tanaman Nangka Tekam Yellow (J33) seperti di Projek Kelompok FELDA Mempaga, Pahang ; Projek TKPM Lanchang, Pahang; TKPM Kota Perdana; Stesyen FELDA Sg Tekam, Jerantut, Pahang; TKPM Tebing Tinggi, Bera; Stesyen Pertanian kg Awah, Maran; Stesyen FELDA Sg Tengi, Selangor dan juga banyak lokasi lagi mendapati memang ada dilaporkan berlaku kejadian karat nangka. Bagaimana pun penulis dapati kadar serangan karat nangka ini amat relatif berbeza-beza dari segi kekerapan, simptom dan juga kehadirannya. Serangan karat nangka yang dilaporkan petani berlaku tetapi bukan sepanjang waktu. Ramai responden atau petani yang ditemuduga berkata, jika cuaca banyak hujan maka kejadian karat nangka lebih mudah berlaku. Ini berkait dengan satu keadaan sekeliling sangat lembab dimana jika petani kurang menjalankan aktiviti cantasan menyebabkan kerap berlaku masaalah karat nangka. Ini katanya berkait dengan bentuk bahu buah nangka J33 (dekat dengan pangkal tangkai buah) yang agak melekuk dan mampu menakung air dimusim hujan. Adakah air hujan tersebut akan diserap masuk terus kedalam empulur buah nangka dan ini akan menyebabkan kejadian 'fisiological disorder'?. Adakah air tersebut juga masuk membawa bersama-sama dengan patogen seperti kulat atau lain-lain jenis patogen?. Pokok nangka J33 yang berumur muda (kurang 3 tahun) atau yang baru mula berbuah dilaporkan berpotensi tinggi diserang masaalah karat nangka. 

Perbincangan penulis dengan seorang peserta TKPM Lanchang di Temerloh, En Sarabudin yang menanam 20 ekar nangka J33 ada menyatakan kadar serangan karat nangka dikebun beliau kurang kerana beliau menggunakan beberapa jenis racun kulat jenis mahal (Beliau ada namakan nama-nama racun tersebut kepada saya). Dakwanya kejadian karat nangka dapat diatasi untuk beberapa musim lepas jika dibuat berbandingan dengan jirannya di TKPM Lanchang yang dilaporkan menghadapi masaalah tersebut. Apabila saya melawat kawasan kebun, memang mendapati kebersihan kawasan kebun, cantasan dan kesuburan pokok pada tahap sangat memuaskan. Adakah faktur agronomi dan umur pokok nangka J33 juga mempengaruhi kejadian asas masaalah karat nangka?. Seterusnya penulis berbincang dengan En Halek yang menanam 8 hektar nangka Tekam Yellow (J33) berumur 8 tahun di TKPM Tebing Tinggi, Bera. Beliau dapati kejadian serangan karat nangka berlaku semasa pokok nangka berumur dari 2-5 tahun sahaja tetapi kini amat kurang berlaku dikebunnya (Sila anda lihat foto disebelah). Katanya pokok nangka yang lebat berbuah tahun lepas kurang berhasil tahun berikutnya dan begitulah pusingan penghasilan nangka dikebunnya. Kini beliau tidak takut lagi dengan kejadian karat nangka yang pernah dialaminya dahulu dengan mengamalkan amalan agronomi seperti didalam MyGAP. Buah yang dihasilkan dikebunnya tidak menghadapi masaalah serius kerana kebanyakannya adalah mencapai kualiti yang dikehendakki. 

Serangan Karat Nangka ini menyebabkan bahagian isi buah dan jerami terdapat warna karat coklat (macam warna karat besi) sama ada dalam bentuk bintik (spotted), jalur (strip) atau beberapa bentuk lain (Sila lihat foto disebelah). Kadar serangan berbeza-beza diantara buah dan persekitaran. Kesan ini akan menyebabkan kosmetik pada ulas buah nangka tidak menarik untuk dipamerkan atau dijual. Apabila penulis membuat ujirasa buah nangka tersebut, didapati memang rasa buah yang terkena karat nangka memang kurang manis, ada rasa pahit dan isi buah agak keras sedikit. Bagi buah yang terlalu banyak warna karat pula didapati memang kita tidak ada 'mood' untuk makan buah tersebut kerana macam tidak konfident akan rupanya. Walau pun dibahagian kulit buah nangka matang kurang tanda boleh dikenalpasti akan tahap serangan kecuali bila ia dibelah tetapi memang merugikan petani. Buah yang kena serang ini memang tidak sesuai untuk dijual kepada pasaran domestik apa lagi untuk pasaran ekspot. Selain itu sering dilihat juga keadaan kulit buah yang diserang pada tahap serius juga tidak menarik warnanya dan kehitaman bertompok-tompok.

Penulis juga berbincang secara teknikal dengan beberapa orang petani yang ada kepakaran mengenai buah nangka dari TKPM dan Pegawai Pakar dari Stesyen Pertanian Kg Awah, Stesyen Pertanian Bukit Goh di Pahang dan Penyelidik MAREDI di Serdang. Mereka juga ada melawat beberapa lokasi yang ada membuat petak pemerhatian dalam ladang di stesyen terpilih mengenai kesan beberapa jenis sistem pembajaan pada nangka varieti J33 dalam mengesan kejadian masaalah karat nangka (Sila lihat foto disebelah). Beberapa kombinasi rawatan baja, amalan agronomi kawalan perosak dan kaedah cantasan terhadap pokok nangka dilakukan bagi mengatasi masaalah karat nangka. Antara rawatan yang dipilih bersama diantara baja organik dan baja sebatian. beberapa hipotesis dan ERS telah dibuat dimana ada mendapati beberapa temuan awal daripada data awal telah dianalisa. Antara temuan didapati adalah memang tidak ada kesan signifikan berkait rawatan pembajaan terhadap masaalah karat nangka. Bagaimana pun penulis dapati proses pemerhatian ini perlukan masa lebih lama untuk mendapatkan keputusan. Mereka juga perlu untuk menjalankan analisa-analisa makmal pada daun, buah dan kualiti buah untuk masa akan datang untuk dapat lagi mengukuhkan lagi data kajian serta korelasi dengan kejadian karat nangka. Kini penulis ada mencadangkan inovasi penggunaan corong penutup buah nangka diatas tangkai buah (Fruit cap) untuk mengelakkan air hujan daripada bertakung atau masuk kedalam bbuah ketika musim hujan tetapi keputusan kajian masih belum didapati.

Perbincangan dan kajian lanjut perlu di teruskan oleh semua pihak bagi mengatasi masalalah karat nangka terutama kepada varieti Tekam Yellow (J33). Nangka varieti ini merupakan varieti yang mempunyai potensi yang amat baik untuk pasaran domestik dan telah diperakukan untuk pasaran ekspot dibawah EPP7 berdasarkan kepada kualiti buah yang rangup, sangat manis dan warna keemasan yang menarik. Penulis mendapati buah nangka J33 yang masak dipokok mencecah 24 Brix kemanisan buah dan ini memang amat mengejutkan. Selain daripada sesuai untuk dimakan segar, nangka Tekam Yellow (J33) juga sesuai untuk di proses dalam bentuk 'proses minima', dijadikan kerepek 'vacuum fry', dijadikan kordial minuman dan sebagainya. Terkini buah nangka ini telah dihantar ke Perlis dan Pulau Pinang untuk diproses menjadi nangka jeruk dengan jenama 'Jeruk Nangka Pak Ali' yang luas pasarannya. Anggaran keluasan varieti tanaman J33 diseluruh negara sekitar 1,200 hektar CHE pada tahun 2016 dan kebanyakan masih berumur diantara 1 tahun sehingga 12 tahun terutama dikawasan TKPM dan beberapa projek Kelompok. Masaalah karat nangka belum ada kepastian untuk kaedah cara pengawalan kerana punca sebenar akan kejadian ini masih belum dapat dipastikan sama ada oleh patogen perosak, perubahan cuaca atau merupakan massalah amalan agronomi seperti pembajaan dan sebagainya. Penulis berharap masaalah tersebut dapat dikenalpasti oleh pihak berkaitan dan juga perlu sedia menyediakan kaedah kawalan terbaik untuk mengatasi masaalah ini. Semuga artikel ini membantu pembaca untuk mengenali apakah dia masaalah karat nangka yang menjejaskan kualiti buan nangka terutama varieti Tekam Tellow (J33) sebagai bahan bacaan dan rujukkan. Wasalam!.
KARAT NANGKA... SUKAR DIJANGKA...
DIMUSIM HUJAN...SELALU TERJUMPA..
POKOK DEWASA... KURANG TERKENA...
POKOK MUDA... KERAP SERANGANNYA...
AMALAN MYGAP... BOLEH AMAKANNYA...
NANGKA SIHAT... BAIK HARGANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPM Lanchang,
Temerloh, Pahang,
Malaysia.
(22 Rejab 1437H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...