Support My Blog

Monday, January 25, 2016

SIAPA MAKAN CILI DIA RASA PEDASNYA

'SIAPA MAKAN CILI DIA RASA PEDASNYA' itulah satu perumpamaan atau peribahasa yang sangat signifikan dalam masyarakat kita di Malaysia. Penulis dapati terdapat banyak lagi perumpamaan dalam Bahasa Malaysia yang berkaitan dengan pertanian untuk dijadikan tajuk artikel ke 3,562 ini sebagai satu perbincangan membuka minda pembaca. Cili atau Lombok mempunyai pelbagai jenis, varieti dan juga kegunaannya. Cili Besar (Capsicum annum) dan Cili Padi (Capsicum frustecens) merupakan dua jenis  cili yang paling dikomersilkan di Malaysia oleh petani dan dijual atau diguna kebanyakannya dalam bentuk segar. Penjualan dan juga penggunaan Cili Kering di kalangan rakyat Malaysia juga amat tinggi dimana kini sebahagian besar cili kering tersebut adalah diimport dari luar negara. Cili kering sebenarnya banyak digunakan dalam masakkan yang berperisa pedas yang memang digemari oleh masyarakat kita. Pengguna juga menggunakan produk cili proses iaitu Cili Bor untuk banyak jenis masakkan. Apa juga pun kelebihan cili adalah tentang kandungan bahan yang dikenali sebagai Capsaicin yang bertindakbalas dalam deria mulut, lidah dan tekan dengan rasa pedas. Tahap Kepedasan cili boleh diukur dengan cara khusus iaitu SHU (Scoville Heat Unit) yang diguna pakai mengukur unit pedas. Saya ada menulis artikel mengenai perkara ini dalam artikel sebelum ini (Sila rujuk disini). Kepedasan cili menyebabkan keenakan pada makanan yang dihidangkan. Diantara jenis makanan yang berkait dengan peribahasa ini iaitu ada makna pedas seperti Masak Lemak Cili Api, Sambal, Nasi Goreng Cili Api, Asam Pedas, Ayam Goreng Spicy dan banyak lagi. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai simpulan bahasa 'Siapa makan cili akan rasa pedasnya' sebagai satu coretan dari hasil pemikiran penulis yang ada sedikit info, pengalaman dan kepakaran dalam bidang tanaman khususnya cili untuk bacaan anda. 


Tanaman Cili di Malaysia merupakan jenis tanaman sauran popular diantara sayur jenis buah kerana ia mempunyai kadar permintaan yang tinggi dikalangan pengguna. Seluas lebih daripada 2,850 hektar cili atau juga dipanggil 'Lada' atau 'Cabai' ini ditanam setiap tahun dinegara kita dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,600 mt yang bernilai sekitar RM 206.6 juta (Sumber: Laporan Ststistik Jabatan Pertanian 2014). Cili adalah sejenis tanaman sayur tanah rendah yang ditanam secara komersil monokrop terutama di Negeri Johor, Perak, Selangor dan Pahang. Cili adalah sejenis tanaman yang tumbuh menegak, berakar tunjang, batang bercabang berwarna hijau (buku batang berwarna hijau atau ungu bergantung kepada varieti cili) dimana daunnya berwarna hijau muda ke hijau tua dan berbentuk ovat lebar (saiz daun bergantung kepada varieti). Bunga cili berkelopak lima dengan berwarna putih tumbuh keluar dari ketiak dan daun berbentuk loket. Buah cili pula berbentuk tirus memanjang. Biji cili berwarna kuning dengan berat 3.5-5.0 g bagi setiap 1,000 biji cili. Lazimnya bunga cili akan melakukan proses pendebungaan cili dengan cara persenyawaan sendiri. Walaupun begitu 30% dari bunga cili akan berlaku persenyawaan silang juga.Terdapat beberapa varieti cili yang popular ditanam oleh petani dimana ia sesuai untuk pasaran segar. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi, tahan lama disimpan, pedas, tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga perosak. Penanaman cili merupakan antara komoditi yang paling berisiko tetapi ia juga adalah komoditi yang paling menguntungkan jika penghasilan tinggi dan menerima harga pasaran yang baik. Harga cili diladang serendah RM 2.50 sekilogram boleh mencecah kepada RM 18.00 dipasaran runcit terutama semasa musim tengkujuh.


Apakah varieti cili yang anda tahu sangat popular di tanam di Malaysia?. Kebanyakan kita akan nyatakan 'Cili Kulai'. Saya suka membahagikan Kategori Cili kepada beberapa kategori iaitu Cili Merah, Cili Hijau (Keduanya dalam Kategori Cili Besar), Cili Benggala (Sweet Paper), Cili Padi (Cabai Burung / Lombok Rawit) dan Cili Untuk Hiasan (Ornamental chillies). Terdapat sebanyak 8 varieti cili yang telah didaftarkan didalam senarai 'National Listing' di Jabatan Pertanian pada Julai 2013. Sebenarnya tujuan pendaftaran varieti cili ini dibuat untuk mendaftarkan semua varieti yang ada di Malaysia. Saya tahu banyak lagi varieti cili yang belum didaftarkan seperti yang dipunyai oleh beberapa syarikat pengeluar dan pengedar benih cili. Saya telah pun berbincang dengan En Chua pada bulan ini untuk syarikat beliau (Syarikat Green World Genetics) untuk membuat pendaftaran banyak varieti cili yang dipunyai oleh syarikat tersebut. Saya juga pernahberbincang denganEncik Freddie (Syarikat Sin Sin Huat Seeds) untuk perkara yang sama. Sehingga artikel ini ditulis, baru ada sebanyak 8 varieti cili telah didaftarkan di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan anda. Anda boleh baca artikel mengenai varieti Cili di Malaysia dalam blog saya yang ditulus sebelum ini sebagai rujukkan (Sila klik disini) dalam Part 1 dan Part 2 (Sila klik disini). Cili tersebut adalah Cili Kulai Serdang (CA1), Cili MC11 (CA2), Cili CTO1P (CA3), Cili Solok (CA4), Cili Green Eagle 223, Cili Bara (Ca6), Cili Bangi (CA7) dan Cili Semerah (CA8). Bagaimana pun tidak ramai yang mengenali akan varieti cili yang telah didaftarkan ini.  


Kepedasan Cili kini telah dijadikan sebagai pelbagai guna. Kajian saintis di Chile mendapati jenis cili atau capsaicin yang paling pedas di dunia adalah dari veriety Red Savina (Guiness World Record) dari negara Chile. Bagaimana pun kini telah pun terdapat jenis cili baru yang didakwa mempunyai 2 kali ganda kepedasan iaitu Cili Naga Morich (Didakwa mempunyai capsaicin mencapai 970,000 SHU). Red Savina Habanero mempunyai kepedasan pada 577,000 Scoville Heat Unit merupakan antara jenis cili yang terpedas didunia yang dikaji secara saintifik. Di India pula terdapat jenis Naga Jolokia atau Tezpur yang didakwa mempunyai tahap kepedasan sehingga hampir menyamai Red Savina. Pada keadaan biasa mulut kita hanya dapat tahan pada kepedasan capsaicin sebanyak 16,000 SHU sahaja!. Itu pun saya fikir kita sudah tidak boleh tahan lama. kalau menonton 'gameshow' di TV selalu akan diberikan makanan 'wasabi' kepada peserta yang kalah, itu pun pedasnya tidak seberapa dibandingkan dengan Red Savina, Habanero dan naga Jolokia. Kini Capsaicin dalam cili juga boleh digunakan sebagai bahan untuk Racun Serangga jenis biokimia. Capsaicin juga apabila terkena organ manusia akan menyebabkan bengkak pada paru-paru dan pedih pada mata dan kulit. Kesan juga pada tekak yang ada mucus dan kesan pada serangga serupa iaitu memusnahkan sistem saraf serangga. Capsaicin juga telah digunakan sebagai Senjata Peperangan oleh Amerika dengan kesan yang melemahkan musuh melalui saluran pernafasan dan melemahkan saraf. Apa juga kegunaan cili, peribahasa melau Siapa Makan Cili dia akan rasa pedasnya bermaksud siapa yang buat salah dialah akan terrasa. Peribahasa ini amat tepat digunakan untuk kegunaan harian berdasarkan kepada fakta saintifik yang saya paparkan diatas. Semuga anda tidak terasa pedasnya setelah habis membaca tulisan saa kali ini. Wasallam!. 
SIAPA MAKAN CILI....RASA PEDASNYA....
BAHAN CAPSAICIN... ITU PUNCANYA...
JENIS CILI PADI... TERPEDAS DIRASA...
BACA ARTIKEL... HATI PUN JADI SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precin 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(5 Muharam 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...