Support My Blog

Sunday, January 31, 2016

ADA BUKIT, ADA PAYA.

ADA BUKIT, ADA PAYA merupakan satu peribahasa atau bidalan lama yang kini semakin kurang digunakan oleh generasi baru. Peribahasa ini berkait dengan persekitaran dan alam pertanian yang membawa makna iaitu "Ada baik, ada jahat; ada miskin, ada kaya" dalam masyarakat kita. Kalau begitu memang tepat peribahasa ini dicipta oleh bijak pandai bahasa Melayu sejak lama dulu kerana dalam dunia dan masyarakat, memang ada jenis ORANG JAHAT yang selalu menyusahkan masyarakat seperti perompak, pencuri, pembunuh, pemfitnah, penipu, perasuah dan bermacam lagi jenis kejahatan yang dilakukan. Bagaimana pun ujudnya golongan seperti ini menyebabkan kerajaan menyediakan mahkamah, polis, penjara dan undang-undang untuk mengurangkan gangguan dalam masyarakat. Tetapi pada masa sama ramai pula jenis ORANG BAIK yang memelihara kerukunan masarakat, mencipta inovasi baru, menjadi pemimpin, petani, pegawai kerajaan, ketua kampong, ahli politik, rakyat yang baik demi kesejahteraan masyarakat. Jika ramai orang baik dalam komuniti maka pembangunan negara akan dapat dicapai dan rakyatnya akan hidup harmoni serta cepat mencapai kemajuan. Golongan Orang Kaya akan bertambah ramai jika ada jaminan keselamatan dan kesejahteraan ujud untuk menjalankan perniagaan atau apa juga bidang ekonomi yang diceburi. Negara Maju selalu mempunyai jumlah rakyat berstatus kaya yang ramai bilangannya berbanding dengan negara mundur dan tidak aman dimana rakyat yang miskin dimana ada berjuta orang jumlahnya. Orang Miskin pula lazimnya ramai dalam negara yang tidak stabil, berlaku peperangan, kurang sumber asli bumi, sering dilenda bencana alam, pemimpin yang korupsi dan banyak faktur lain. Peribahasa ini menerangkan dengan nyata bahawa dalam dunia dan masyarakay keujudan bukit dan paya memang ada dimana yang bukit itu disamakan dengan kebaikan dan kekayaan dan yang paya itu disamakan dengan kejahatan dan kemiskinan. Itu adalah peribahasa yang diajar disekolah dahulu dimana penulis pernah belajarnya disekolah rendah dan menengah. Apa pun perbincangan kali ini adalah artikel yang ke 3,590 mengenai "BUKIT' dan 'PAYA' dalam "Anim Agro Technology" dan kaitannya dengan alam semulajadi, sektor pertanian sesuai dengan blog yang berkonsepkan teknologi pertanian dan perkara berkaitan dengannya.


TANAH BUKIT (Hills) merupakan tanah yang terbentuk dan ujud secara semulajadi dalam proses pembentukan alam. Bukit adalah suatu bentuk rupabumi yang ujud dalam kawasan terbentang dialam semesta. Ia memiliki permukaan tanah yang lebih tinggi dari permukaan tanah rendah yang terdapat disekelilingnya namun ia didapati mempunyai tahap ketinggian relatif yang rendah dibandingkan dengan Gunung (Mountain). Gunung lazimnya mempunyai struktur dan kedudukan yang tinggi dan curam sehingga mencecah ribuan meter dari paras laut. Lazimnya apa yang penulis ingin katakan bahawa 'dunia perbukitan' adalah rangkaian banyak bukit yang berjajar di suatu lokasi atau kawasan yang cukup luas. Itu sebabnya dalam geografi pernah dikatakan sebagai 'mountainous state' atau 'negeri berbukit atau bergunung'. Beberapa negeri di Malaysia juga ada yang mempunyai lebih banyak kawasan berbukit daripada tanah rata dan sebaliknya. Dalam Kamus Bahasa Melayu penulis terbaca bahawa makna 'bukit' juga dimaksudkan sama seperti gunung. Rujukkan dalam buku A Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries (1856), John Crawford menulis bahwa 'bukit' dalam Bahasa Melayu sama dengan gunung dalam Bahasa Jawa iaitu dataran yang tinggi. Pada masa zaman kolonial atau zaman penjajahan dahulu kebanyakan kawasan tanah bukit di Semenanjung Malaysia yang subur diambil oleh penjajah untuk ditanam dengan tanaman ladang seperti Getah, Koko, Tebu dan Kelapa Sawit. Mereka membuka tanah berbukit ini dan dijadikan estet dimana kemudian hasilnya dieksport kenegara mereka. Konsep perladangan ini dijalankan semenjak beratus-ratus tahun sehingga kerajaan Malaysia ambil balik beberapa pengurusan estet mega seperti Sime Darby, Golden Hope dan sebagainya pada zaman Tun Ghafar baba. Pembukaan rancangan Tanah FELDA dari zaman Tun Razak juga banyak menumpukan pembangunan ditanah bukit sebagai ladang komersil dan kawasan penempatan peneroka. Tanaman Getah dan Kelapa Sawit dimajukan FELDA menjadi punca pendapatan kepada berjuta ahli keluarga peneroka. Pengurusan FELDA mengusahakan tanah sebanyak 9,000 kilometer persegi dimana kebanyakannya kini adalah ladang kelapa sawit. Walaupun objektif utama FELDA secara umumnya adalah untuk mengurangkan kemiskinan di luar bandar melalui petempatan semula,kini FELDA dilaporkan juga memegang kepentingan dalam ekonomi Malaysia.


TANAH PAYA (Swamp land) merupakan tanah yang selalunya rendah, berair, rata dan mudah tenggelam air. Dalam istilah lain ia sangat rapat dengan ciri-ciri 'Tanah Lembab' atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'Wetland'. Banyak kebaikan yang dikaitkan dengan tanah paya dari segi keseimbangan ekosistem persekitaran. Paya merupakan kawasan genangan air secara ilmiah yang terjadi terus-menerus atau bermusim akibat parit yang cetek atau pun tersumbat serta mempunyai ciri-ciri khusus secara fizikal, kimia dan biologi. Definasi yang lain dari tanah paya adalah semua jenis tanah berlumpur ujud secara semulajadi atau angkara buatan manusia dengan campuran air tawar atau air laut. Ia ujud secara kekal atau sementara termasuk kawasan laut yang dalam airnya kurang daripada 6 meter semasa air surut iaitu paya dimana ada keadaan tanah pasang surut. Tanah Paya lazimna banyak humus seperti tanah gambut yang mempunyai penuh nutrien. Ada tanah paya yang sentiasa berair dan merupakan gudang harta ekologi untuk kehidupan pelbagai jenis hidupan. Kawasan paya kini sebenarnya amat penting kerana ia berfungsi sebagai "pembersihan alam semulajadi". Ini kerana tanah paya itu berfungsi untuk mencegah pencemaran atau pencemaran alam sekitar alam. Atas sebab tersebut maka kawasan tanah paya sering mempunyai nilai tinggi dari segi ekonomi, budaya, persekitaran dan lain-lain, sehingga tanah-tanah dipersekitaran paya harus tetap dijaga kelestariannya. Di Malaysia negeri Sarawak merupakan negeri yang paling luas kawasan tanah berpaya dengan keluasan melebihi 2.0 juta hektar. Di Semenanjung Malaysia pula negeri yang agak luas kawasan paya adalah Pahang, Perak dan Johor serta Selangor. 


Kombinasi tanah paya dan tanah bukit didalam kawasan pertanian dan kampong memang ujud semenjak zaman dulu. Saya memang amat suka dengan keadaan kampong tradisional di Melaka dan Negeri Sembilan dimana rumah mereka selalu didirikan diantara tanah bukit dan tanah paya dalam satu geran tanah yang luasnya sekitar 2 ekar. Rumah akan didirikan diatas bahagian tanah bukit sementara tanah paya depan rumah akan dijadikan sawah padi atau pun kolam ikan (Sila lihat foto disebelah). Ini merupakan satu senario yang nyaman dan indah untuk sesebuah rumah kampong tradisional. Penulis yang bertugas di Melaka selama 14 tahun dalam bidang pertanian banyak terlibat didalam membangunkan tanah sawah terbiar ini dengan pelnagai projek termasuk pemulihan sawah padi dengan padi, ditukar dengan tanaman mangga, projek kolam ikan dan tanaman pelbagai sayuran serta projek ternakan. Keaslian kampong tradisional ini semakin kurang popular kerana generasi baru kini lebih suka membuat rumah batu berbanding dengan rumah kayu tradisional yang mahal dan upah tukang juga semakin tinggi. Memang benar kata-kata peribahasa 'Ada bukit, ada paya' yang bermakna semasa menjalankan kerja dengan orang kampong penulis sering berjumpa pelbagai manusia yang baik, yang jahat, yang miskin dan yang kaya. Pandai-pandailah kita menilai akan orang jahat dan orang baik dalam kehidupan seharian. Ini adalah lumrah alam. Wasallam!.
ADA BUKIT... ADA PAYA...
ADA MISKIN... ADA KAYA...
ADA JAHAT...BAIK PUN ADA..
SAYA TULIS...UNTUK ANDA... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Berisu, Alor Gajah,
Melaka, 
Malaysia.
(19 Muharam 1437H)

Saturday, January 30, 2016

BAK CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN

BAK CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN merupakan satu peribahasa Melayu yang telah digunakan semenjak dahulu dikalangan masyarakat tempatan. Peribahasa ini memberi maksud sebagai "Terlalu banyak pada sesuatu masa". Peribahasa ini memang amat sinonim dalam masyarakat luarbandar atau masyarakat kampong tradisional dimana mereka akan hanya dapat melihat cendawan yang tumbuh lazimnya selepas hujan. Ini amat sesuai dengan cara pada zaman dulu dimana teknologi penanaman cendawan belum ada lagi seperti masa kini. Peribahasa yang memberi makna benda atau perkara atau rezeki yang keluar terlalu banyak pada satu masa tanpa diketahui atau dirancang. Selain daripada cendawan yang keluar hanya pada musim hujan atau cuaca sesuai, perkara lain yang dikaitkan dengan peribahasa ini seperti bidalan atau perbuatan 'seperti penjual pisang goreng, seorang berjaya yang lain akan mengikutinya'. Ia juga boleh dikaitkan dengan musim buah-buahan bermusim seperti rambutan, durian, manggis, dokong, mangga, cempedak dan buah lainnya dimana jika 'musim mengena' maka buah-buahan tersebut akan melambak dipasaran sehinggakan harganya jatuh merudum. Cendawan yang tumbuh atau keluar selepas hujan ini memang kadang-kadang banyak sehingga berguni-guni jika dipetik didalam kawasan kebun getah atau kelapa sawit atau dalam belukar. Penulis semasa kecil dahulu memang puas makan cendawan busut dan cendawan kukur yang keluar dalam musim hujan. Kemungkinan cendawan ini keluar memang tidak dapat dijangka kerana kadang-kadang pernah satu kampong di Muar, Johor dulu yang makan cendawan busut yang keluar selama 4-5 hari berterusan. Inilah yang dikatakan rezeki yang diberikan oleh Allah swt kepada penduduk kampong sesuai dengan peribahasa bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kini peribahasa ini sering dikatakan mengikut kesesuaian aktiviti dalam masyarakat moden. Kadang-kadang ia digunakan untuk perkara lain seperti kejahatan seperti ujudnya rumat urut seperti cendawan tumbuh, ujud pusat perjudian seperti cendawan lepas tumbuh dan banyak lagi. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kupasan peribahasa diatas dengan beberapa teknologi berkaitan cendawan untuk menambahkan ilmu pengetahuan anda pembaca blog ini. 


Biasanya banyak jenis cendawan yang akan keluar didalam keadaan secara semulajadi dikawasan belukar, dalam hutan, dalam kebun getah, kebun kelapa sawit, dusun buah-buahan dan sebagainya. Cendawan ini ada yang boleh dimakan (selamat dimakan) dan ada yang beracun dan merbahaya untuk dimakan manusia. Kemahiran seseorang untuk menentukan jenis cendawan yang boleh dimakan perlu dipelajari. Pengalaman penulis mendapati jenis cendawan yang dikunjungi serangga lazimnya 'selamat dimakan' berbanding dengan cendawan yang tiada serangga langsung. Cendawan ini tumbuh dikawasan lapang atau dalam semak didalam belukar dan kita boleh bau jika jenis cendawan seperti cendawan busut keluar (Sila lihat foto disebelah). Tumbuhnya cendawan ini daripada spora lazimnya daripada kawasan yanng biasa ia tumbuh. Ia keluar jika keadaan persekitaran persekitaran sesuai. Bagi cendawan yang keluar daripada batang kayu getah yang sedang mereput iaitu cendawan kukur pun hanya akan keluar selepas hujan turun. Pada saya mengutipp cendawan kukur dikawasan pokok getah yang ditebang memang menyeronokkan kerana ia amat enak dimakan jika dimasak.


CENDAWAN KUKUR (Schizophyllum commune) adalah sejenis cendawan pada kayu reput dari keluarga Schizophylaceae. Keluarga cendawan Schizophylaceae mempunyai banyak spesis yang Tumbuh pada batang kayu untuk proses pereputan. Anda boleh baca artikel mengenai candawan kukur tulisan saya (Sila klik disini). Di Malaysia cendawan kukur dari pokok kayu getah merupakan jenis yang paling popular di kutip untuk dijadikan bahan makanan yang sangat enak dan berkhasiat. Banyak gelaran diberikan kepada jenis cendawan ini mengikut lokaliti seperti Jamur Gerigit (Jawa Muar), Cendawan Tapak Tiung (Negeri Sembilan), Kulat Sisir, Kulat Sisik dan banyak lagi. Saya mengenali akan cendawan ini dari zaman kanak-kanak lagi kerana sering mengutip sendiri di kawasan kebun getah keliling kampung di Muar dahulu terutama selepas musim hujan. Memang seronok mengutip cendawan ini dengan tangan dan mengumpulkannya dalam bekas sebelum dimasak segar. Cendawan Kukur ini tumbuh dibanyak jenis batang kayu yang dalam proses pereputan. Cendawan ini berbentuk kulit kerang dimana ia mempunyai pangkal (batang) yang melekat pada batang kayu dengan kuat. Warna cendawan kukur adalah kelabu coklat keputihan bergantung kepada jenis kayu dan keadaan habitat yang ada disekelilingnya. Saiz cendawan kukur diantara 1 - 4 cm dan tumbuh beberapa hari sebelum ianya akan menjadi kering dan mati jika dibiarkan diatas batang kayu. Cendawan kukur mempunyai aroma yang khusus dan enak kepada mereka yang suka akan baunya. Banyak laporan ada menyatakan cendawan ini mempunyai banyak khasiat termasuk bahan 'Schizophyllan' iaitu bahan Anti-tumor dan anti kanser. Bahan ini juga meningkatkan tahap immune badan serta anti radangan, anti-bakteria, anti-parasit dan membantu dalam melindungi hati.


CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp) merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh liar dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai. Saya memang kenal akan cendawan busut ini kerana sering makan ketika zaman remaja dulu dimana memang mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sekitar kampong saya di Gersik, Muar, Johor. Memang enak dan sedap cendawan busut ini yang di masak sayur tumis atau lebih lazat lagi di buat sup cendawan busut. Isinya yang lembut dan aromanya yang wangi menyebabkan cendawan busut ini menjadi hidangan istimewa pada musim cendawan ini di jumpai dari kawasan kebun. Pada masa ini setelah saya belajar mengenai kulat, saya dapati cendawan busut ini terdapat lebih dari 60 spesis diseluruh dunia dimana hanya 18 spesis sahaja yang telah dibuat kajian dan pencirian oleh saintis. Cendawan busut adalah berkait rapat dengan anai-anai dimana ianya sering tumbuh dimana ada koloni anai-anai dan juga merupakan sumber makanan utama kepada koloni anai-anai. Jenis yang terdapat di Malaysia yang saya tahu ada dua yang boleh dimakan iaitu Termitomyces heimeii dan Termitomyces albuminosa. Anda boleh baca laporan lanjut mengenai cendawan busut dalam tulisan saya yang ditulis sebelum ini (Sila klik disini). Peribahasa bak cendawan tumbuh lepas hujan memang sesuai dijadikan panduan kepada masyarakat Malaysia sepanjang masa. Wasallam!...
BAGAI CENDAWAN...LEPAS HUJAN...
TUMBUH BANUAK... HASIL LUMAYAN...
REZEKI BANYAK... SUSAH JUALAN...
PERLU DIKAJI...TANGGA KEJAYAAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pekan Changloon, Kedah,
Malaysia.
(2 Safar 1437H)

Friday, January 29, 2016

SEPERTI LEMBU DICUCUK HIDUNG

SEPERTI LEMBU DICUCUK HIDUNG adalah satu daripada peribahasa Melayu yang menggunakan haiwan lembu sebagai subjek dimana peribahasa ini ada diajar disekolah sejak dahulu. Peribahasa ini memberi makna 'Orang yang selalu menurut kemahuan orang'. Ini bermaksud apabila seekor lembu telah dicucuk hidungnya dan kemudian dimasukkan besi atau tali yang diikat, apabila lembu tersebut ditarik talinya ia akan terus mengikutinya tanpa melawan. Hidung merupakan organ yang sensitif pada haiwan lembu dimana apabila tali lembu yang melekat pada hidung ditarik, maka lembu tersebut akan rasa sakit dan mengikuti sahaja gembalanya atau sesiapa sahaja yang menariknya. Lembu yang besar atau garang ini apabila diikat hidungnya dengan tali maka ia akan mengikut sahaja bila dicucuk hidungnya. Perkara ini telah diperhatikan oleh bijak pandai bahasa yang kemudian menjadikannya peribahasa yang mejadi amalan atau adat dalam masyarakat. Lazimnya akan ada orang yang mengikut apa sahaja kemahuan orang yang memberi arahan atau perintah serta menurut sahaja tanpa soaljawab atau mudah dikatakan dia sebagai 'Pak Turut'. Dalam masyarakat dahulu mungkin ada orang atau kelompok seperti ini sama ada dalam usaha menangani beberapa isu atau masaalah didalam masyarakat kampong atau memberi sebarang arahan oleh ketua kampong. Ia boleh menjadi satu kelebihan atau kelemahan masing-masing bergantung kepada sesuatu isu dan keadaan. Pihak Ketua Organisasi akan mudah untuk menjalankan sesuatu perkara baru atau cadangan apabila semua ahli-ahli dalam kelompoknya menurut sahaja untuk dilaksanakan dan ianya akan dapat dilakukan dengan cepat. Bagaimana pun jika cadangan itu tidak baik maka ia akan menjejaskan keseluruhan masyarakat. LEMBU (Bos taurus L) merupakan haiwan berkaki empat dari keluarga Bovidae yang terdapat dikebanyakan negara didunia kecuali kawasan sejuk dan gurun. Lembu juga mempunyai nama saintifik lain iaitu Bos primigenius dan Bos indicus yang mempunyai banyak spesis. Dalam bahasa lain lembu juga dipanggil sebagai Cattle, Cow dan sebagainya. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" tentang peribahasa seperti lembu dicucuk hidung dan kaitannya dengan sektor pertanian dan perkara yang berkaitan dengannya untuk bacaan anda.


Lembu adalah salah satu daripada haiwan yang terdapat di Malaysia atau didalam bahasa Inggerisnya cattle atau cow. Di Malaysia ternakan lembu merupakan haiwan yang penting dipelihara semenjak dahulu lagi. Penulis juga maklum iaitu pada zaman dahulu lembu menjadi harta yang sangat berharga sehingga ujud bidalan "lembu kerbau penuh sepadang" yang memberi makna harta yang banyak dipunyai seseorang atau telah bersiap sedia (Sila lihat foto disebelah). Lembu juga menjadi alat yang penting bagi sektor pertanian dan pengangkutan di mana lembu juga pernah digunakan bagi membajak sawah dan sebagai haiwan penarik kereta lembu. Semasa lawatan penulis ke Myanmar pada 2009 melihat bagaimana lembu merupakan haiwan utama untuk membajak sawah padi dan penarik kereta lembu untuk pengangkutan di kawasan kampong.  Haiwan lembu mempunyai nilai ekonomi yang penting kerana banyak daging serta bahagian lain digunakan sebagai sumber protin yang penting untuk manusia. Daging lembu, hati lembu, limpa lembu, usus lembu, perut lembu dan lain-lainya dijual berasingan dengan harga berbeza. Daging lembu (Beef) adalah sejenis produk dihasilkan daripada ternakan lembu pedaging yang terdiri daripada jaringan otot yang diperoleh daripada lembu yang biasa dan umumnya ia digunakan untuk keperluan makanan. Saya dapati cara penggunaan daging lembu ini berbeza-beza iaitu ia bergantung kepada cara pemotongannya dan tujuan kegunaannya. Sebagai contoh didapati daging rusuk, daging batang pinang dan T-Bone sangat banyak digunakan sebagai bahan mentah untuk masakan Stik (Steak). Anda boleh membaca artikel mengenai pemotongan daging lembu dalam tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Daging lembu adalah bahan utama dibuat sate, burger lembu, hotdog selain daripada sate ayam yang lazat di Malaysia.


Rekod daripada Kementerian Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veriterinar (JPV) menunjukkan terdapat seramai 43,310 orang penternak Lembu dan 3,925 penternak Kerbau yang terlibat dalam industri ini sama ada berskala besar sederhana dan berskala kecil (Sumber: Laporan Agro Makanan MOA 2010). Penternak kambing tempatan atau kambing biri-biri pula direkodkan sebanyak 25,509 orang sementara penternak Ayam seramai 76,925 orang, penternak itik seramai 8,779 orang dan penternak babi seramai 887 orang. Info tersebut menunjukkan pada keseluruhannya negeri Kelantan merupakan negeri paling ramai bilangan penternak lembu iaitu seramai 26,186 orang tetapi kebanyakannya adalah penternak yang berskala kecil-kecilan dengan purata pemilikan kurang dari 5 ekor lembu diikuti dengan Negeri Terengganu seramai 5,283 orang. Negeri Johor merupakan negeri paling banyak menyumbang sektor ternakan negara terutama dalam Ternakan Ayam (Lebih 60 juta ekor setahun), Ternakan Kambing (70,000 ekor/ tahun) serta jumlah sembelihan lembu dan kambing di Malaysia. Industri Ternakan Lembu di Malaysia direkodkan sebanyak 909,910 ekor Lembu pada tahun 2010 dengan sebanyak 97,580 ekor telah disembelih dirumah-rumah sembelih termasuk semasa aktiviti Korban. Kebanyakan lembu diternak secara kecil-kecilan dikawasan kampong atau secara sederhana besar dikawasan padang ragut berkelompok atau di Stesen-stesen JPV seluroh negara. Lembuh jenis KK Cross (Kacukan Kedah-Kelantan) merupakan yang paling banyak diternak selain daripada lembu impot kacukan. Terdapat sebanyak 130,090 ekor Kerbau direkodkan di negara kita pada tahun 2010 dengan sebanyak 9,130 ekor disembelih. Sabah mempunyai bilangan kerbau terbanyak iaitu 44,133 ekor diikuti dengan Pahang (17,533 ekor) dan Perak (16,951 ekor). Jumlah pengeluaran daging segar tempatan direkodkan sebanyak 46,510 metrik tan pada tahun 2010 yang bernilai RM 819.6 juta pada tahun 2010 berbanding cuma sebanyak RM 535.4 juta pada tahun 2005. Penggunaan daging oleh penduduk Malaysia sebanyak 162,360 mt sedangkan bekalan dalam negara cuma 46,510 mt setahun. Saya kira perbezaan ini iaitu sebanyak 115,850 mt daging lembu/ kerbau perlu diimpot.


Lembu juga digunakan sebagai kenderaan 'kereta lembu' yang masih popular di Melaka sebagai satu tarikan pelancongan di negeri tersebut (Sila lihat foto disebelah). Kereta Lembu menjadi ikon negeri tersebut dimana kita boleh naik kereta lembu di kawasan Air Keroh, Melaka (Berdepan dengan Zoo Melaka). Lembu-lembu ini biasanya dua ekor yang diletakkan dihadapan kereta lembu tang mempunyai dua roda dan ditarik dua ekor lembu yang dicucuk hidungnya. Pengendali kereta lembu (bukan pemandu kereta) akan memberikan arahan kepada dua ekor lembunya untuk bergerak, membelok, berhenti dan sebagainya hanya dengan suara dan tali yang bersambung dengan cucuk hidungnya. Hanya pengendali dan lembu sahaja yang faham bahasa yang digunakannya. Penumpang akan dikenakan bayaran untuk menaiki kereta lembu di bahagian belakang kereta lembu dengan kadar ditentukan (Caj dikenakan 5 tahun dulu saya naik seorang sekitar RM10.00). Walau pun perlahan pergerakan kereta lembu berbanding dengan kereta bermotor, ada yang memasang lagu dikereta lembu untuk memberikan hiburan kepada pelancong atau penerangan mengenai sejarah kereta lembu di Malaka. Lagu Helen Velu pada tahun 1960'am bertejuk 'Kereta Lembu' ada frasa yang mengatakan kelajuan kereta lembu adalah 'satu (1) jam sebatu'. Lembu-lembu ini adalah juga jenis lembu yang dicucuk hidungnya agar ia menurut apa sahaja diperintahkan oleh tuannya. Ia akan diikat pada pokok disekitar taman tersebut dan diberi makan dimana tali yang diikat pada hidung akan menjamin ia tidak lari kemana-mana ada malam hari. Maka sesuailah peribahasa 'Seperti Lembu Dicucuk Hidung' yang membawa makna orang yang sestiasa menurut kemahuan orang lain. Semuga artikel ini saya berikan info berguna kepada anda. Wasallam!.

SEPERTI LEMBU...DICUCUK HIDUNG...
MENURUT ...IKUT ARAHAN ORANG...
LEMBU BESAR... TIDAKLAH GARANG..
ADAKAH ANDA... SALAH SEORANG?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Puncak Saujana,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(19 Muharam 1437GH)

Thursday, January 28, 2016

ADA BERAS, TARUH DALAM PADI


ADA BERAS TARUH DALAM PADI adalah satu peribahasa unik berasaskan makanan yang ditulis oleh bijak pandai Melayu sejak dulu kala. Peribahasa 'Ada beras, taruh dalam padi' ini memberi maksud 'Rahsia hendaklah disimpan baik-baik'. Kenapa mereka kaitkan penyimpanan beras dalam padi mungkin kerana ciri beras dan padi adalah dari sumber yang sama iaitu berasal daripada tanaman padi (Oryza sativa). Bila ada orang memeriksa longgokan padi dalam kepok (Tempat menyimpan padi), mereka tidak akan menyengka didalamnya ada longgokkan beras kerana padi perlu diproses lagi untuk mendapatkan beras sebelum boleh ditanak menjadi nasi. Proses menjadikan padi kepada beras adalah satu proses yang lama pada zaman dahulu iaitu bermula dengan aktiviti menampi, menjemur, menumbuk dalam lesung, menampi semula berkali-kali dan tumbuk lagi sehingga menjadi beras. Secara umumnya pencuri atau askar Jepun semasa perang dulu tidak akan ambil padi sebagai rampasan tetapi mereka lebih suka beras yang sedia untuk dimasak. Oleh itu apabila hendak menyimpan suatu rahsia sebaiknya ia disimpan ditempat yang baik dan selamat daripada diketahui oleh orang lain atau musuh. Rahsia perlu disimpan ditempat yang selamat dan sentiasa dilindungi dengan pelbagai cara. Dalam menentukan cara keselamatan negara banyak rahsia yang perlu dijaga terutama dalam kententeraan, keselamatan, ICT dan isu maklumat dan sebagainya. Ada juga peribahasa ini dikaitkan dengan tabiat percakapan seseorang sama ada ia boleh menyimpan rahsia atau tidak. Mereka yang ada sifat 'lancang mulut' dan tidak dapat menyimpan rahsia perlu dielakkan daripada diberikan sebarang rahsia. Kalau tidak sekampong mereka ini akan mencanang berita atau rahsia yang sepatutnya ia disimpan. Apa pun malam Ahad ini sambil berehat depan TV saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kaitan peribahasa 'ada beras taruh dalam padi' dan perkara yang berkaitan dengan beras, padi dan nasi sebagai satu informasi dalam bidang pertanian.


Pada penulis tanaman PADI (Oryza sativa) di Malaysia merupakan satu aktiviti penting yang membekalkan beras kepada ramai penduduk Malaysia. Pada masa ini keluasan penanaman padi di Malaysia pada tahun 2010 adalah seluas 673,745 hektar dimana keluasan pasel sawah padi adalah 428,780 hektar dengan melibatkan seramai 172,000 pesawah. Hasil pengeluaran padi adalah sebanyak 2.458 juta metrik tan dengan nilai pengeluaran RM 2.165 billion (Laporan Statistik Agromakanan , Kementerian Pertanian Malaysia Tahun 2011). Laporan tersebut juga menyatakan purata penghasilan padi sebanyak 3,782 kg sehektar dengan penghasilan peling tinggi mencecah sebanyak 10 metrik tan sehektar seperti di sekitar sawah di Sekinchan, Selangor. Jika padie tersebut diproses kepada beras, hasilnya sebanyak 1.265 juta tan metrik beras dihasilkan untuk kegunaan rakyat Malaysia. Ini mencukupi untuk bekalan sebanyak 70% kadar kecupan makanan (SSL - self sufficiency level) dalam negara dimanasebanyak 570,000 metrik tan lagi perlu diimpot dari luar negara. Tanaman padi merupakan tanaman keselamatan yang perlu di jaga untuk mempastikan bekalan makanan ruji sentiasa mencukupi untuk rakyat Malaysia.


Beras yang kita makan mengandungi zat-zat makanan yang diperlukan untuk tubuh manusia dimana tenaga sebanyak 365 kcal dihasilkan setiap 100 gram beras. Bahan lain ialahKarbohiderat 80 g, Gula (0.12 g), Serat (1.3 g), Lemak (0.66 g), Potin (7.13 g), Air (11.32 g), Kalsium (28 mg), Zat Besi (0.80 mg), Mangesium (25 mg), Manganese (1.09 mg), kalium (115 mg) dan juga Zink (1.09 mg). Kajian makmal juga mendapati beras mengandungi Vitamin seperti Vitamin B1 (Thiamine - 0.0701 mg), Vitamin B2 (Riboflavin - 0.0149 mg), Vitamin B3 (1.62 mg) dan Vitamin B6 (0.164 mg). Kini pengeluaran beras dunia diantara 450 - 550 juta tan setahun dengan Negara China sebagai pengeluar utama sebanyak 140 juta tan/tahun diikuti dengan India (85 juta tan/tahun), Indonesia (33 juta tan/tahun), Bangladesh (25 juta tan/tahun) dan Vietnam (20 juta tan/tahun). Lain-lain negara yang mengeluarkan beras seperti Thailand (16 juta tan/tahun), Myanmar (10 juta tan/tahun) dan Filipina (7.5 juta tan/tahun). Negara kita Malaysia mengeluarkan sebanyak 6-7 juta tan setahun. Negara China dan India membekalkan lebih separuh keperluan beras dunia dan merupakan industri utama di negara tersebut. Lain-lain negara yang banyak mengeluarkan beras didunia seperti jepun, USA, Korea Selatan, Mesir, Pakistan, EU, Taiwan dan Australia.


Beras atau tanaman padi mempunyai lebih dari 40,000 jenis atau varieti diseluruh dunia dan dikelaskan mengikut ciri-ciri khusus padi seperti Beras Panjang (Long Grain), Beras Sederhana (Medium Grain) dan Beras Pendek (Short Grain). Beras panjang biasanya dari varieti Oryza indica sementara beras sederhana dari jenis Oryza javanica dan Beras Pendek dari jenis Oryza japonica. Beras short grain biasanya mengandungi kanji yang banyak dan kualiti yang melekit seperti jenis Japonica dan di panggil 'sticky rice'. Selain itu kini Beras Wangi (Aromatic rice) telah menjadi sangat popular dan kegemaran rakyat Malaysia. Terdapat juga Beras Merah, Beras Coklat dan Beras Putih bergantung kepada jenis padi dan kaedah memproses dikilang (milling process). Kualiti beras juga mengikut hasil perkilangan sama ada ianya beras Grade baik (Tidak Hancur), Beras Bercampur (Baik dan Hancur) dan juga Beras Hancur atau campuran kesemuanya. Beras digunakan untuk di masak menjadi Nasi, Bubur dan sebagainya dimasak mengikut selera yang orang yang hendak makan. Kaedah moden kini beras dimasak menggunakan 'Rice Cooker' eletrik yang sangat mudah dan mengambil masa 15 - 25 minit sahaja untuk mendapatkan kualiti nasi yang standard. Bagi tujuan masak beras untuk dijadikan bubur, beras perlu dimasak dengan air yang banyak sehingga bubur berperisa atau bubur plain sedia untuk dimakan. Beras juga di hancurkan untuk dijadikan tepung beras bagi dibuat pelbagai jenis kuih, biskut dan pelbagai makanan lain. Antara tepung beras proses yang popular ialah Beras Vercimelli (Mee Hoon) iaitu sejenis bahan untuk dijadikan sarapan pagi yang sangat popular di Malaysia.


Beras di Malaysia adalah dihasilkan melalui sistem pengeluaran tempatan dan sebahagian lagi di impot dari luar negara. Malaysia mensasarkan Kadar Kecukupan Beras (SSL) lingkungan 70% dan bakinya diimpot dari luar negara. Kawasan pengeluaran beras negara di Negeri=negeri ada kawasan Jelapang Padi seperti di Kedah dan Perlis (MADA), Perak (IADA Krian dan IADA Sg Manik), Selangor (IADA Barat Laut Selangor), Kelantan (KADA), Terengganu (IADA Besut), Sarawak (IADA Batang Lupar), Sabah dan kawasan bukan jelapang padi mesti terus dikekalkan dan dimajukan bagi menjamin bekalan beras negara sentiasa mencukupi sebagai "Food Securtiy" untuk negara kita. Peranan kerajaan, usahawan, pesawah, pegawai pengembangan, pengilang, pekedai bahan kimia, pembekal jentera pertanian dan semua yang terlibat perlu peka dengan industri beras negara. Perbincangan diatas penulis paparkan apakah indudtri padi dan beras negara dan kaitanya dengan peribahasa ada beras taryh dalam padi sebagai satu analisis yang perlu saya bincangkan dalam blog teknologi pertanian. semuga pembaca semua adalah terdiri daripada orang yang mampu menyimpan rahsia dengan baik seperti maksud peribahasa ini. Wasallam!.

ADA BERAS... PERLU DISIMPAN...
DALAM BEKAS... KEPOK PAPAN...
SIMPAN RAHSIA...KENA PASTIKAN...
IA SELAMAT... ELAK KEBOCORAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 346, Hotel Concorde,
Shah Alam, Selangor,
Malaysia.
(20 Muharam 1437H)

Wednesday, January 27, 2016

SEMUT SEMBAH PEHA BELALANG KEPADA RAJA


Peribahasa UMPAMA SEMUT MEMPERSEMBAHKAN PEHA BELALANG KEPADA RAJA merupakan peribahasa yang jarang penulis dengar. Peribahasa ini memberikan erti atau pun bermakna iaitu 'Pemberian yang tidak ada ertinya'. Pada saya inilah satu daripada sebahagian kecil peribahasa yang ayatnya panjang tetapi maksudnya pula agak pendek tidak seperti perbahasa yang lain. Semut (Ants) adalah serangga sosial dalam famili Formicidae iaitu sama dengan serangga penyengat dan lebah. Semut tergolong dalam kumpulan Hymenoptera dimana terdapat lebih 12,500 spesies yang terdapat diseluruh dunia dengan jumlah yang amat banyak. Mereka mudah dikenalpasti dengan bentuk badannya iaitu bahagian kepala, thorax dan abdomen. Semut membentuk koloni yang bersaiz daripada beberapa puluh ekor individu pemangsa tinggal di rongga atau sarang kecil sehingga saiz koloni yang jumlahnya besar. Serangga semut adalah hidup bersosial yang menghuni satu kawasan besar dan terdiri daripada jutaan individu. Koloni-koloni besar ini sebahagian besar ahlinya merupakan semut betina tanpa sayap mandul yang membentuk kasta "pekerja", "askar", atau kumpulan khusus lain. Koloni semut juga mempunyai semut jantan subur yang dipanggil "dron" dan satu atau lebih semut betina subur yang dipanggil "ratu". Koloni-koloni ini kadangkala digambarkan sebagai satu 'superorganisma' kerana semut-semutnya kelihatan seperti berfungsi sebagai satu entiti bersatu, bekerja bersama-sama menyokong koloni. Belalang pula terkenal kerana mempunyai kaki besar untuk melompat. Kaki belalang seperti Belalang Kunyit (Volangga nigriconis) dimana ada dilaporkan ia pernah juga dimakan oleh manusia dan juga raja diluar negara. Mengikut cerita tersebut apabila peha belalang ini dihantar kepada raja oleh semut maka raja mungkin akan tidak terima kerana ia bukan satu keperluan atau ia adalah pemberian yang sia-sia. Raja mungkin fikir semut tersebut mungkin telah membunuh belalang tersebut dan memberi bahagian peha kepada raja dan bahagian lain dimakan semut. Peha belalang yang diberi kepada raja untuk dimakan sedangkan raja tidak mahu makan peha belalang. Ini adalah satu perbuatan yang sia-sia dan membazir. Apa pun artikel ke 3,888 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai satu peribahasa kurang popular dan beberapa informasi teknikal yang saya garap daripada penulisan saya sebelum ini untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan teknikal.


KAKI SERANGGA (Insects Leg) atau dikatakan dalam artikel ini sebagai 'Kaki Belalang' merupakan satu organ penting untuk membantu serangga berjalan, melompat dan juga fungsi lain berkaitan dengan organ kaki (Sila lihat rajah sebelah). Serangga juga merupakan satu komuniti yang terdapat disekeliling kita iaitu daripada yang bersaiz besar sehingga yang amat halus. Ilmu dan info mengenai serangga telah saya belajar semasa di Universiti dahulu dimana ianya merupakan diantara subjek yang agak susah tertutama untuk mengingati banyak nama-nama saintifik dan taksonomi serangga yang memang banyak. Serangga ditakrifkan sebagai benda hidup dari kelompok haiwan Invertebrata iaitu dalam Kelas Insecta yang mana ia mempunyai bilangan spesis terbanyak didunia. Apa yang kita pasti adalah dimana pada habitat daratan, serangga merupakan haiwan yang paling luas tersebar berbanding dengan kelas-kelas yang lain dalam filum Arthropod didunia. Anggaran yang telah dibuat oleh saintis ialah dimana terdapat sebanyak lebih dari 20 - 30 juta spesis serangga sehingga ini dan masih banyak lagi yang belum ditemui setiap masa. Aktiviti merekodkan maklumat serangga masih berterusan dengan membuat kajian dan penyelidikan mengenai serangga-serangga yang baru. Walau telah pasti ada hampir 1 juta spesis serangga yang lazim saintis jumpa, banyak juga spesis serangga yang pupus tanpa sempat untuk direkodkan kerana aktiviti pembangunan dan juga penebangan hutan dan pemusnahan habitat asal serangga oleh manusia dan faktur semulajadi berterusan.


Rajah disebelah saya tunjuk marfologi kaki serangga yang terdiri daripada berbagai spesis (Rajah ini adalah contoh serangga Lipas) iaitu terdiri beberapa bahagian iaitu Bahagian Coxa, Trachanter, Femur, Fibia, Tarsus dan Claws (bagi sesetengah spesis). Apa yang saya faham, Bahagian Coxa adalah bahagian pangkal kaki serangga yang mempunyai kaitan atau pun gabungan struktur iaitu dipanggil 'sternites'. Bahagian kedua adalah dinamakan 'Trochanter' iaitu dengan mudahnya sebagai sendi yang menghubungkan antara 'coxa' dan bahagian 'femur' pada kaki serangga. Seterusnya bahagian ke 3 adalah dinamakan 'Femur' yang lazimnya berukuran agak panjang dan mempunyai organ otot kuat bagi tujuan pergerakan berlari, berjalan, melompat malahan juga untuk menggali lubang pada tanah atau media lain. Bahagian yang ke 4 dinamakan sebagai 'Tibia' yang mana ia seterusnya berfungsi untuk memperkuatkan panjang kaki dalam menguatkan lagi pergerakan serangga melalui otot-otot sedia ada. Ia juga bertindak sebagai pengalas (pads) ketika kaki serangga bergerak. Bahagian ke 5 adalah dipanggil sebagai 'Tarsus' bahagian hujung yang mungkin mempunyai 1 - 5 bilangannya bergantung kepada spesis. Akhir sekali yang ke 6 adalah bahagian Kuku (Claws) bagi sesetengah spesis. Kuku berada pada bahagian paling hujung tarsus yang berfungsi untuk mencengkam atau memegang mangsa serangga.


BELALANG adalah sejenis serangga dari Sub-Order Caelifera dan Order Orthroptera yang mudah didapati disekeliling kita terutama apabila suhu telah mulai panas. Terdapat banyak jenis belalang yang kita boleh jumpai di keliling kita dengan pelbagai saiz, warna, bentuk dan juga tabiatnya. Semasa saya dalam pembelajaran di universiti dulu, dimaklumkan yang keujudan belalang banyak dikaitkan dengan kerosakan tanaman terutama pada bahagian daun dan kadang-kadang pada batang yang dimakan oleh serangga tersebut. Belalang lazimnya aktif dalam cuaca panas kerana ianya adalah jenis berdarah sejuk. Pembacaan dari wikipedia menunjukan sejenis belalang di Benua Afrika yang dipanggil sebagai Belalang Juta (Schictocerca gregaria) mampu menyerang tumbuhan dengan memakan bahagian daun, batang, buah, benih malahan keseluruhan bahagian sehingga tumbuhan dan tanaman musnah teruk. Antara tanaman yang mudah diserang belalang jenis ini seperti tanaman bijirin iaitu jenis jagung, millet, gandum serta tanaman lain seperti semua jenis sayuran, buah-buahan malahan pokok ornamental. Belalang kunyit yang digoreng pernah saya makan ketika zaman remaja kerana belalang memang haiwan yang halal dimakan apabila perlu dan berkhasiat. Peribahasa 'semut mempersembahkan peha belalang kepada raja' yang mana ia bermaksud 'pemberian yang tidak ada ertinya' walau pun amat jarang kita dengar memang ada tujuannya yang jelas. Walau pun ia agak jarang digunakan pada masa kini tetapi keujudan peribahasa ini masih relevan untuk  masyarakat kita. Bersama-sama kita renongkan bidalan ini untuk tujuan dijadikan panduan semua. Wasallam!.
PAHA BELALANG ...ENAK DIMAKAN...
SEMUT BERI...DIPERSEMBAHKAN...
RAJA TIDAK NILAI... PEMBERIAN...
TIDAK BERERTI... SIA SIA BUKAN?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(29 Muharam 1437H)
Kemaskini pada 17 Ramadan 1440H.

Tuesday, January 26, 2016

SEPERTI AYAM DENGAN ITIK

SEPERTI AYAM DENGAN ITIK adalah satu bidalan atau peribahasa yang amat sering digunakan dalam masyarakat kita. Kadang-kadang peribahasa ini di 'permainkan' dalam bahasa Inggeris dengan kata-kata 'like a chicken and a duck' walau pun sebenarnya ia kurang sesuai kerana peribahasa tersebut asalnya dalam bahasa Melayu. Peribahasa ini selalunya memberi makna atau erti atau digunakan untuk menggambarkan dua orang yang mempunyai masalah untuk berkomunikasi (Dalam bahasa Inggeris 'Two people having communications problems'). Masaalah berkomunikasi berlainan bangsa dan bahasa yang digunakan menyebabkan kesukaran untuk memahami antara satu sama lain. Perkara ini sering berlaku semasa dua orang atau sekumpulan orang dari luar negara untuk bercakap dengan orang tempatan kita dikawasan kampong yang kurang tahu akan bahasa untuk berkomunikasi global iaitu Bahasa Inggeris. Mungkin pakcik dan makcik dikampong hanya tahu 'YES' dan 'NO' atau pun menggunakan bahasa isyarat sahaja tetapi apa yang penting adalah komunikasi ini mesti berkesan. Jadilah semacam ayam berkokok dan dijawab oleh itik yang berbunyi 'quack' tanpa memahami apa yang ditanya dan jawapan yang cuba diberikan (Sila lihat foto diatas). Akhirnya mereka akan gunakan bahasa isyarat umum seperti isyarat 'makan', 'minum', 'siapa nama', 'apa khabar' dan sebagainya. Dikalangan pemimpin-pemimpin dunia apabila mereka membuat perjumpaan rasmi akan ada 'JURUBAHASA' atau 'Translator' diantara mereka ditengah-tengahnya. Peranan "Jurubahasa' atau 'translator' ini sangat penting untuk menerangkan kepada kedua-dua pihak pemimpin ini dalam bahasa ibunda masing-masing. Maharaja Hirohito tidak lama dulu ketia membuat perjumpaan dengan Yang DiPertuan Agung Malaysia menggunakan jurubahasa yang fasih untuk bercakap bahasa Jepun dan Bahasa Melayu. Keujudan pegawai 'translator' ini kini telah menjadi satu kerjaya yang mencabar dan ada peluang berdamping dengan 'orang-orang besar'. Selain daripada perbezaan antara bahasa dan percakapan ini, peribahasa ini juga boleh dihuraikan dengan cara hidup kedua-dua haiwan ini yang berlainan. Haiwan Ayam adalah haiwan yang suka berada dikawasan kering (daratan) sementara itik selalunya sukakan di kawasan yang berair dan lembab. Bagaimana pun ayam kampong dan 'ayam karen' juga mempunyai cara hidup yang berlainan. Dalam masyarakat indigenous yang menggunakan bahasa sama akan memudahkan pemerintah negara tersebut dalam penyampaian maklumat. Hanya di Malaysia yang agak pelik kerana ada Berita Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Orang Asli dan yang global adalah Bahasa Inggeris disiarkan. Apa pun petang ini sambil penulis memerhatikan Masjid Blue Mosque dari aras 7 Hotel Concorde, Shah Alam saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai huraian peribahasa 'seperti Ayam dengan Itik" dari segi maklumat teknologi pertanian teknikal untuk bacaan anda. 


Ternakan Haiwan 2 kaki ini (Birds) meliputi pelbagai kategori iaitu untuk AYAM PEDAGING, AYAM PENELUR, AYAM KAMPONG, AYAM PEMBIAK BAKA, ITEK dan juga ternakan BURONG PUYOH. Industri Ayam merupakan industri yang besar dijalankan di Malaysia dengan sebanyak 225,789,620 ekor di ternak pada tahun 2010. Sebagai perbandingan jumlah ternakan ayam ini cuma sebanyak 174.7 juta pada tahun 2005 telah meningkat kepada 179.2 juta ekor (2006), 188.83 juta ekor (2007), 192.69 juta ekor (2008) dan sebanyak 208.33 juta ekor pada tahun 2009. Ternakan itek pula mencatitkan populasi sebanyak 7,927,860 ekor pada tahun 2010. Rujukkan penulis dari laporan ststistik mendapati tahap jumlah pengeluaran daging ayam tempatan adalah sebanyak 1,295 ,000 metrik tan yang bernilai sebanyak RM 5.776 billion. Penggunaan daging ayam tempatan adalah sebanyak 1,103,000 metrik tan setahun. Daging ayam merupakan jenis daging putih yang banyak diambil oleh rakyat Malaysia seharian. Kita adan jumpa daging ayam di restoran semaa sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam sehingga makan lewat malam (supper). Ia dimasak menjadi produk seperti sate ayam, kari ayam, ayam percik, ayam golek, Ayam KFC, Ayam Marubrown, Ayam Kenny Rogers, ayam goreng, ayam ungkep, ayam kicap, ayam Uncle John dan banyak resepi lagi ianya dihidangkan. Daging ayam yang juga merupakan jenis daging putih dianggap sebagai jenis daging yang mengandungi bahan protin paling popular dimakan manusia masa kini. 

  Pengeluaran tempatan bagi telur ayam   dan telur itek pula adalah sebanyak         9,820 juta biji pada tahun 2010 dengan nilai pengeluaran telur sebanyak RM 2,400.06 juta atau ringkasnya RM 2 billion. Rakyat Malaysia menggunakan sebanyak 8,515 juta biji telur ayam setahun untuk pelbagai kegunaan termasuk sektor industri. Pengeluaran telur tempatan telah meningkat daripada hanya 7,384 juta biji pada tahun 2005 kepada 7,751 juta biji (2006), 8,201 juta (2007), 8,715 juta biji (2008) dan sebanyak 9,720 juta biji pada tahun 2009. Peningkatan pengeluaran telur ini dengan penambahan reban ayam telur dan peningkatan produktiviti telur ayam. Harga telur ayam Gred A dijual pada harga purata RM 10.00 setiap satu rak telur (30 biji satu rak). Bagaimana pun harga telur meningkat pada 2015 akibat kenaan GST dan kejatuhan nilai matawang Malaysia. Kini ia sekitar purata RM12.50 satu rak 30 biji.  Penggunaan telur ayam dalam sesebuah keluarga berbeza dimana satu rak 30 biji cuma untuk 5-8 hari sahaja dimans penulis perlukan 3 - 4 rak sebulan untuk membeli telur atau purata 100 biji sebulan untuk satu keluarga 5 orang. Telur juga dimakan setiap pagi semasa sarapan (telur separuh masak atau telur mata kerbau) dan dimakan waktu tengahari dan juga makan malam. Menu untuk hidangan telur goreng di restoren ala-Thai atau Restoren Tomyam juga menjadi satu kemestian bersama nasi putih, kailan ikan masin dan juga sambal belacan yang dihidangkan panas-panas. Dalam sektor industri seperti kilng membuat kek, kuih, makanan segera dan sebagainya penggunaan telur sebagai bahan asas merupakan keperluan yang mesti mencukupi.

Apakah istimewanya AYAM KAMPONG berbanding dengan AYAM DAGING MODEN?... Memang banyak bezanya dari kaedah penternakan, spesis, cara memberi makan, jenis ayam dan juga harganya. Ayam kampong ada banyak jenis yang boleh diternak dari jenis tempatan sehingga jenis moden (Diimpot - seperti Perancis, Siam, Vietnam dan banyak gelaran lagi). Boleh dikatakan ayam kampong adalah jenis ayam organik kerana makan apa sahaja serta bebas dan bergerak liar dikawasan rumah dan kebun (Sila lihat foto disebelah). Mereka memakan apa sahaja yang ada diatas tanah seperti serangga, daun, tanah, sisa makanan, buah-buahan yang gugur dan juga 'benda itu' selepas kita melepas (dulu dikawasan kebun je). Ayam kampong memang pandai mengkais-kais tanah untuk 'exercise' dan cari makan seperti cacing tanah, serangga kecil lain dan sebagainya. Ayam kampong tidak memerlukan penjagaan yang rumit kerana kita hanya menyediakan reban ayam yang mudah sahaja daripada kayu dan bumbung dan lantai serta tangga untuk ayam naik sendiri. Pastikan reban mempunyai ruangan yang cukup dimana seekor ayam perlukan 1 kaki persegi dan kalau ada 10 ekor sediakan 10 kaki persegi. Dulu saya tidak buat macam itu memadai dengan buat beberapa tingkat kayu dalam reban kecil dan tinggi dimana ayam akan bertenggek diatas palang-palang kayu yang disediakan. Untuk anda mencari info mengenai ayam kampong boleh link terus dengan artikel saya sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Menternak ayam kampong mempunyai potensi tinggi untuk dikomerslkan masa kini.

  Bagusnya ayam kampong adalah      
  kerana kita boleh pelihara dan tuai 
  sepanjang tahun tidak mengira musim 
  panas atau musim hujan. Jenis Ayam 
  kampong pandai cari makan sendiri 
  dan merayau-rayau dikeliling rumah 
  dan kebun untuk mencari makanannya. Bila dah petang ayam kampong akan pulang sendiri kedalam reban untuk tidur. Kalau ada musuh yang mengancamnya seperti biawak, musang, ular dan sebagainya di waktu siang atau malam maka ayam kampong akan mengeluarkan bunyi bising dan memberitahu tuannya musuh sedang datang untuk mengancamnya. Lalu tuan rumah akan mengambil senapang dan ..Bang!...bunuh musuh yang datang. Kadang-kadang hanya perlu pasang perangkap sahaja. Ayam kampong juga akan mengawan dan bertelur dimana kita akan gunakan telur untuk makan atau dibiarkan ditetaskan oleh induknya menjadi baka anak ayam kampong agar terus banyak bilangan ayam kita. Ayam kampong juga memang handal memelihara anak-anaknya sehingga anaknya mampu berdikari. Sesiapa sahaja yang mendekati anak ayam kampong pasti ibunya akan garang dan mengejar kita!. Ia bertelur dalam sarang yang disediakan tuannya daripada kotak kayu yang diletakkan dengan rumput kering, kain atau bahan lembut lainnya. Telur ayam kampong mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan mendapat permintaan baik masa kini kerana kualitinya dan khasiatnya walau pun saiznya agak kecil sahaja.

ITIK (Ducks) merupakan sejenis haiwan daripada keluarga Anatidae yang kini dijadikan ternakan daripada jenis burung (Avian) yang mempunyai dua kaki dan suka pada habitat air sama ada air tawar atau air masin. Itek adalah haiwan bersaiz kecil daripada kumpulan angsa. Saya dapati itek ini diternak bertujuan untuk mendapatkan hasil daging dan juga telurnya. Ia sesuai dipelihara didalam satu kawasan kandang yang lazimnya mempunyai air sebagai keperluan semulajadinya. Itek amat suka berenang dan berjalan didalam kawasan peliharaan dan sering mengeluarkan bau kuat serta bunyi bising dan kuat apabia bergerak berkumpulan. Itik mempunyai paruh yang digunakan untuk menyudu yang bentuknya rata dan lebar. Antara makanan itek yang biasa adalah seperti rumput, tumbuhan akuatik, amfibia, serangga kecil, ikan, cacing, moluska dan yang terkini adalah makanan formulasi khas dihasilkan dikilang. Penternakan itek di Malaysia banyak terdapat dibeberapa negeri di Malaysia dimana ada banyak sumber air (Sawah padi) dan ramai populasi kaum Cina seperti di Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis. Itik mempunyai daya tahan hidup yang tinggi dan tidak mudah diserang penyakit. Cara pemeliharaan dan pengurusannya mempunyai sedikit perbezaan dan lebih mudah jika dibandingkan dengan menternak ayam. 

  Laporan Jabatan Perkhidmatan Verteninar 
  (JPV) menunjukkan negeri-negeri utama 
  pengeluar telur itik di Malaysia adalah 
  Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sama ada 
  untuk itek daging atau itek telur. Laporan 
  JPV juga menyatakan terdapat 7.92 juta 
  ekor itek diternak di Malaysia pada tahun 
  2012. Bagi negeri-negeri Kedah dan Perlis lazimnya perusahaan itik telur banyak didapati di kawasan yang letaknya berhampiran dengan pantai dan sawah padi. Ujudnya laut yang berdekatan memang akan membekalkan ikan baja untuk sumber protin kepada itik telur dan beras hancur pula merupakan sumber tenaga yang mudah didapati bagi penternak yang berdekatan dengan sawah padi. Penternak yang tidak duduk berdekatan dengan pantai dan sawah padi boleh juga menternak itik telur ini. Pada masa sekarang makanan komersial yang lebih baik adalah mudah diperolehi. Malah penternak boleh mencampuri makanan itik telur mereka sendiri. Itik telur memerlukan air yang secukupnya untuk minum. Kolam air adalah tidak diperlukan.

Terdapat beberapa baka itik telur yang sesuai dipelihara oleh penternak-penternak. Ada 5 jenis Baka bagi pengeluaran telur itik iaitu Khaki Cambell Kacukan Thailand, Kortlang Khaki Campbell (UK), Indian Runner, Cherry Valey C2000 dan Itik Jawa. Itik jenis Khaki Cambell Kacukan Thailand dimana pada ternakan selama umur 52 minggu menghasilkan telur sebanyak 260 - 273 biji dengan purata berat telur sekitar 70 gram sebiji. Jenis itik Kortlang Khaki Cambell (UK) pula mampu menghasilkan sebanyak antara 300-230 biji telur dengan purata berat telur 90 gram sebiji. Jenis itik Indian Runner pula mampu menghasilkan sebanyak 250-275 biji dengan purata berat telur 70 gram sebiji. Saya juga dimaklumkan itik jenis Cherry Valley C2000 menghasilkan sebanyak antara 275 - 280 telur dan purata berat 75 gram sebiji. Akhirnya baka Itik Jawa mempunyai purata berat telur 65 gram sebiji dengan kamampuan pengeluaran telur sebanyak 180 - 200 biji seekor. Kalau sesiapa berminat untuk mendapatkan baka untuk ternakan itik maka kita perlu kenalpasti pembekal baka itik. Pada masa sekarang terdapat dua (2) sumber utama yang dapat membekalkan anak itik telur pada penternak. Saya dapati tidak banyak syarikat atau para pembekal yang mengimport anak itik telur dari luar negara seperti dari negara Thailand yang di proses dipusat penetasan anak itik telur tempatan. Jabatan Perkhidmatan Haiwan, melalui Pusat Latihan Ternakan di Sungai Siput (Utara) memang ada memelihara indukbaka itik telur dan mempunyai unit penetasan yang mampu mengeluarkan anak itik telur dari baka Khaki Campbell. Begitulah huraian asas peribahasa Seperti Ayam dengan Itik dimana saya huraikan perihal ayam dan perihal itik sekadar untuk dijadikan bahan rujukan dan renungan bersama. Wasallam!....
SEPERTI AYAM...DENGAN ITIK...
CUBA CAKAP...NAMPAK PELIK...
BAHASA INGGERIS... IA UNIK...
ORANG GUNA...TIDAK PANIK...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 705, Hotel Concorde,
Shah Alam, Selangor,
Malaysia.
(21 Muharam 1427H)

Monday, January 25, 2016

SIAPA MAKAN CILI DIA RASA PEDASNYA

'SIAPA MAKAN CILI DIA RASA PEDASNYA' itulah satu perumpamaan atau peribahasa yang sangat signifikan dalam masyarakat kita di Malaysia. Penulis dapati terdapat banyak lagi perumpamaan dalam Bahasa Malaysia yang berkaitan dengan pertanian untuk dijadikan tajuk artikel ke 3,562 ini sebagai satu perbincangan membuka minda pembaca. Cili atau Lombok mempunyai pelbagai jenis, varieti dan juga kegunaannya. Cili Besar (Capsicum annum) dan Cili Padi (Capsicum frustecens) merupakan dua jenis  cili yang paling dikomersilkan di Malaysia oleh petani dan dijual atau diguna kebanyakannya dalam bentuk segar. Penjualan dan juga penggunaan Cili Kering di kalangan rakyat Malaysia juga amat tinggi dimana kini sebahagian besar cili kering tersebut adalah diimport dari luar negara. Cili kering sebenarnya banyak digunakan dalam masakkan yang berperisa pedas yang memang digemari oleh masyarakat kita. Pengguna juga menggunakan produk cili proses iaitu Cili Bor untuk banyak jenis masakkan. Apa juga pun kelebihan cili adalah tentang kandungan bahan yang dikenali sebagai Capsaicin yang bertindakbalas dalam deria mulut, lidah dan tekan dengan rasa pedas. Tahap Kepedasan cili boleh diukur dengan cara khusus iaitu SHU (Scoville Heat Unit) yang diguna pakai mengukur unit pedas. Saya ada menulis artikel mengenai perkara ini dalam artikel sebelum ini (Sila rujuk disini). Kepedasan cili menyebabkan keenakan pada makanan yang dihidangkan. Diantara jenis makanan yang berkait dengan peribahasa ini iaitu ada makna pedas seperti Masak Lemak Cili Api, Sambal, Nasi Goreng Cili Api, Asam Pedas, Ayam Goreng Spicy dan banyak lagi. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai simpulan bahasa 'Siapa makan cili akan rasa pedasnya' sebagai satu coretan dari hasil pemikiran penulis yang ada sedikit info, pengalaman dan kepakaran dalam bidang tanaman khususnya cili untuk bacaan anda. 


Tanaman Cili di Malaysia merupakan jenis tanaman sauran popular diantara sayur jenis buah kerana ia mempunyai kadar permintaan yang tinggi dikalangan pengguna. Seluas lebih daripada 2,850 hektar cili atau juga dipanggil 'Lada' atau 'Cabai' ini ditanam setiap tahun dinegara kita dengan anggaran pengeluaran sebanyak 32,600 mt yang bernilai sekitar RM 206.6 juta (Sumber: Laporan Ststistik Jabatan Pertanian 2014). Cili adalah sejenis tanaman sayur tanah rendah yang ditanam secara komersil monokrop terutama di Negeri Johor, Perak, Selangor dan Pahang. Cili adalah sejenis tanaman yang tumbuh menegak, berakar tunjang, batang bercabang berwarna hijau (buku batang berwarna hijau atau ungu bergantung kepada varieti cili) dimana daunnya berwarna hijau muda ke hijau tua dan berbentuk ovat lebar (saiz daun bergantung kepada varieti). Bunga cili berkelopak lima dengan berwarna putih tumbuh keluar dari ketiak dan daun berbentuk loket. Buah cili pula berbentuk tirus memanjang. Biji cili berwarna kuning dengan berat 3.5-5.0 g bagi setiap 1,000 biji cili. Lazimnya bunga cili akan melakukan proses pendebungaan cili dengan cara persenyawaan sendiri. Walaupun begitu 30% dari bunga cili akan berlaku persenyawaan silang juga.Terdapat beberapa varieti cili yang popular ditanam oleh petani dimana ia sesuai untuk pasaran segar. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi, tahan lama disimpan, pedas, tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga perosak. Penanaman cili merupakan antara komoditi yang paling berisiko tetapi ia juga adalah komoditi yang paling menguntungkan jika penghasilan tinggi dan menerima harga pasaran yang baik. Harga cili diladang serendah RM 2.50 sekilogram boleh mencecah kepada RM 18.00 dipasaran runcit terutama semasa musim tengkujuh.


Apakah varieti cili yang anda tahu sangat popular di tanam di Malaysia?. Kebanyakan kita akan nyatakan 'Cili Kulai'. Saya suka membahagikan Kategori Cili kepada beberapa kategori iaitu Cili Merah, Cili Hijau (Keduanya dalam Kategori Cili Besar), Cili Benggala (Sweet Paper), Cili Padi (Cabai Burung / Lombok Rawit) dan Cili Untuk Hiasan (Ornamental chillies). Terdapat sebanyak 8 varieti cili yang telah didaftarkan didalam senarai 'National Listing' di Jabatan Pertanian pada Julai 2013. Sebenarnya tujuan pendaftaran varieti cili ini dibuat untuk mendaftarkan semua varieti yang ada di Malaysia. Saya tahu banyak lagi varieti cili yang belum didaftarkan seperti yang dipunyai oleh beberapa syarikat pengeluar dan pengedar benih cili. Saya telah pun berbincang dengan En Chua pada bulan ini untuk syarikat beliau (Syarikat Green World Genetics) untuk membuat pendaftaran banyak varieti cili yang dipunyai oleh syarikat tersebut. Saya juga pernahberbincang denganEncik Freddie (Syarikat Sin Sin Huat Seeds) untuk perkara yang sama. Sehingga artikel ini ditulis, baru ada sebanyak 8 varieti cili telah didaftarkan di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan anda. Anda boleh baca artikel mengenai varieti Cili di Malaysia dalam blog saya yang ditulus sebelum ini sebagai rujukkan (Sila klik disini) dalam Part 1 dan Part 2 (Sila klik disini). Cili tersebut adalah Cili Kulai Serdang (CA1), Cili MC11 (CA2), Cili CTO1P (CA3), Cili Solok (CA4), Cili Green Eagle 223, Cili Bara (Ca6), Cili Bangi (CA7) dan Cili Semerah (CA8). Bagaimana pun tidak ramai yang mengenali akan varieti cili yang telah didaftarkan ini.  


Kepedasan Cili kini telah dijadikan sebagai pelbagai guna. Kajian saintis di Chile mendapati jenis cili atau capsaicin yang paling pedas di dunia adalah dari veriety Red Savina (Guiness World Record) dari negara Chile. Bagaimana pun kini telah pun terdapat jenis cili baru yang didakwa mempunyai 2 kali ganda kepedasan iaitu Cili Naga Morich (Didakwa mempunyai capsaicin mencapai 970,000 SHU). Red Savina Habanero mempunyai kepedasan pada 577,000 Scoville Heat Unit merupakan antara jenis cili yang terpedas didunia yang dikaji secara saintifik. Di India pula terdapat jenis Naga Jolokia atau Tezpur yang didakwa mempunyai tahap kepedasan sehingga hampir menyamai Red Savina. Pada keadaan biasa mulut kita hanya dapat tahan pada kepedasan capsaicin sebanyak 16,000 SHU sahaja!. Itu pun saya fikir kita sudah tidak boleh tahan lama. kalau menonton 'gameshow' di TV selalu akan diberikan makanan 'wasabi' kepada peserta yang kalah, itu pun pedasnya tidak seberapa dibandingkan dengan Red Savina, Habanero dan naga Jolokia. Kini Capsaicin dalam cili juga boleh digunakan sebagai bahan untuk Racun Serangga jenis biokimia. Capsaicin juga apabila terkena organ manusia akan menyebabkan bengkak pada paru-paru dan pedih pada mata dan kulit. Kesan juga pada tekak yang ada mucus dan kesan pada serangga serupa iaitu memusnahkan sistem saraf serangga. Capsaicin juga telah digunakan sebagai Senjata Peperangan oleh Amerika dengan kesan yang melemahkan musuh melalui saluran pernafasan dan melemahkan saraf. Apa juga kegunaan cili, peribahasa melau Siapa Makan Cili dia akan rasa pedasnya bermaksud siapa yang buat salah dialah akan terrasa. Peribahasa ini amat tepat digunakan untuk kegunaan harian berdasarkan kepada fakta saintifik yang saya paparkan diatas. Semuga anda tidak terasa pedasnya setelah habis membaca tulisan saa kali ini. Wasallam!. 
SIAPA MAKAN CILI....RASA PEDASNYA....
BAHAN CAPSAICIN... ITU PUNCANYA...
JENIS CILI PADI... TERPEDAS DIRASA...
BACA ARTIKEL... HATI PUN JADI SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precin 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(5 Muharam 1437H) 

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...