Support My Blog

Wednesday, December 23, 2015

PROJEK KERISEK 'SRI JINJING'

KERISEK SRI JINJING merupakan sejenis produk kerisek yang berasasan Kelapa (Cocos nucifera) yang semakin popular di keluarkan untuk pasaran domestik oleh usahawan Encik Aziz di Melaka. Penulis baru-baru ini dapat melawat projek kerisek ini bertempat di Kg Bukit Jinjing, Melaka dengan ramai rakan-rakan satu pejabat. Rombongan kami disambut oleh Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Melaka dan En Aziz serta keluarganya jam 9.30 pagi. Perjalanan selama 20 minit dari Bayou Lagoon Park Resort, Bukit Katil memberikan keseronokkan apabila hujan sehari suntuk sebelum ini yang menyebabkan banjir dibeberapa lokasi menjadi terang benderang pada hari lawatan. Memulakan cerita, Encik Aziz bercerita bagaimana beliau memulakan projek pada tahun 2006 untuk membuat kerisek daripada kerja asal hanya menjual buah kelapa yang katanya kurang menguntungkan. Setelah membuat kerisek beliau dapati ia lebih menguntungkan dan telah memulakan aktivitinya secara tradisional. Lama kelamaan beliau telah didatangi oleh pegawai dari Jabatan Pertanian Melaka untuk cuba mengkomersilkan perusahaan membuat kerisek. Beliau telah menghadiri beberapa siri kursus membuat kerisek dan juga membeli peralatan asas membuat kerisek secara komersil dengan membuat penjaman. Bantuan kemudian dihulurkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pertanian dengan nilai beribu ringgit juga dalam bentuk peralatan dan mesin memproses. Kini beliau adalah merupakan salah seorang daripada dua pengusaha yang membuat kerisek yang terbesar di Melaka. Seorang lagi pengusaha membuat kerisek di Melaka adalah berada di Jasin, Melaka dengan jenama kerisek mereka adalah 'Kerisek Mutiara'. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai perusahaan membuat kerisek asli di Melaka untuk dijadikan testimoni mengenai perusahaan Industri Asas Tani yang memberikan jaminan pendapatan yang baik dalam sektor pertanian selari dengan slogan 'Pertanian adalah satu peniagaan'. 


Walau pun lorong untuk memasukki kawasan projek KPW Bukit Jinjing, Melaka agak sempit tetapi kami melaluinya dengan sabar. Setibanya dilokasi projek sudah terlihat papan tanda projek yang menjelaskan maksud projek kerisek (Sila lihat foto disebelah). Bermula dengan satu pondok kecil diperingkat permulaan projek, kini En Aziz mempunyai dua buah bangunan untuk memproses kerisek. Satu bangunan yang agak besar digunakan untuk aktiviti menyediakan buah kelapa, memarut, menggoreng dan menghasilkan bahan mentah kerisek dari buah kelapa. Pada masa ini sebahagian besar sumber bekalan kelapa didapati daripada kelapa import dari Indonesia melalui orang tengah dikenali sebagai En Andrew. Kelapa tanpa sabut ini dibawa masuk daripada Batu Pahat, Johor. Dakwa En Aziz memang agak sukar untuk mendapatkan bekalan kelapa tempatan segar semenjak ia memulakan projek kerisek. Ini kerana harga dan bekalan kelapa tempatan lebih mahal dan bekalan tidak menentu dimana kadang-kadang ada tetapi selalu tidak ada. Bekalan kelapa import ini diimport oleh pihak FAMA dan diedarkan kepada pengusaha IKS dengan harga separuh daripada harga kelapa tempatan. Harga sebiji buah kelapa tempatan menurut En Aziz adalah sekitar RM1,700 metrik tan (diantara RM1.50 sehingga RM1.70 sebiji). Beliau telah membeli kelapa import dengan kadar harga RM700.00 satu metrik tan (kalau saya kira harganya sekitar RM0.70 sebiji). Menceritakan lagi seterusnya En Aziz mendakwa kerisek yang dibuat daripada kelapa tua tempatan lebih berkualiti dan wangi berbanding dengan kelapa import.

Beliau kini mempunyai 10 orang pekerja tempatan dikalangan penduduk kampung untuk membantu menguruskan perusahaan membuat kerisek. Kilang kerisek ini selalu beroperasi 30 hari sebulan dan pengeluaran akan digandakan sebelum bulan puasa dan sebelum hari raya. Ini kerana permintaan kerisek untuk Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban meningkat berlipat kali ganda untuk umat Islam membuat rendang dan pelbagai makanan tradisional lain. Jenama 'Kerisek Jinjing' diberikan En Aziz kerana pada beliau perkataan 'Jinjing' adalah kaedah membawa (carry) dengan tangan dalam unit yang paling kecil. Selepas itu cara membawa adalah Segengam, Sekepal, Secubit, Sebakul, Sebekas, Seguni, Sepikul dan seterusnya. Produk kerisek beliau yang dibungkus dengan bungkusan (packing) paling kecil sekitar 150 gram hanya sesuai untuk dijinjing sahaja (Itu dia kata sambil ketawa sinis). Produk kerisek asli buatanya memang dijamin berkualiti dan bermutu sehingga menerima permintaan tinggi setiap musim perayaan dan pada hari-hari biasa. Kini beliau menghantar produk kerisek ke beberapa buah Supermarket dan Pasaraya Besar selain daripada kedai runcit disekitar Melaka Tengah. Walau ada permintaan yang agak lumayan daripada Singapura tetapi beliau kini tumpukan untuk bekalan tempatan sahaja.

Kapasiti pengeluaran kerisek jinjing adalah purata sebanyak 200 kg sehari. Mengikut En Aziz beliau akan menggunakan buah kelapa sebanyak 1,200 sehingga 1,500 biji sehari untuk dikupas, diparut, dipanaskan atas oven dan dikisar menjadi kerisek. Katanya beliau hanya pandai kira menggunakan bakul untuk kegunaan buah kelapa harian iaitu sekitar 25 bakul. Satu bakul mengandungi 48 - 55 biji buah kelapa import tanpa sabut. Kelapa ini diparut dan dimasukan dalam oven selama 2.0 - 2.5 jam untuk mengeringkannya (Sila lihat foto paling bawah). Kelapa parut ini perlu dibalik-balikan untuk tujuan masak yang sekata. Proses seterusnya adalah penggorengan kelapa parut sehingga menjadi warna kuning keemasan dalam 'roller dryer'. Terdapat dua buah mesin ini yang mampu memproses secara bergilir-gilir. Kelapa parut ini kemudian akan dikisar menggunakan grinder sehingga ia menghasilkan kerisek yang pekat berwarna coklat dengan bau yang amat enak (Sila lihat foto disebelah). Kerisek ini akan di bungkus menggunakan 'packing machine' automatik mengikut sukatan timbangan berat yang diperlukan. Beliau juga mempunyai 1 unit mesin pembungkusan automatik dan 2 unit mesin pembungkusan semi-automatik. Dinyatakan beliau tidak menambahkan sebarang bahan pengawet didalam kerisk yang dihasilkan tetapi produk kerisek jinjing tidak pernah kurang kualitinya dan tahan lama. Pengguna yang pernah menggunakan dan membeli kerisik keluaran syarikatnya memang tidak pernah kecewa malahan akan terus menerus membelinya kerana jaminan kualiti dan mutu produk. Selamat maju jaya En Aziz dengan Produk Kerisek Jinjing. Wasallam!..


KERISEK JINJING... PRODUK ASLI...
ENCIK AZIZ... 2006 TAHUN MULAI...
KELAPA IMPORT... BANYAK BIJI...
TERUSKAN USAHA... BERBAKTI..


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Bukit Jinjing, Kandang,
Melaka Tengah,
Melaka, Malaysia.

(1 Rabiulawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...