Support My Blog

Thursday, August 20, 2015

HERBA - DOKONG ANAK (Part 3)


DOKONG ANAK (Phyllanthus amarus, P. niruri, P. urinaria atau P. debelis) adalah sejenis herba yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Pertanian dan Herbs Development Office (HD) sebagai sejenis herba berpotensi tinggi untuk di komersilkan. Saya mengenali pokok dokong anak ini yang tumbuh meliar dikeliling rumah di Johor dahulu sebagai rumpai sahaja. Kini dokong anak juga dinamakan sebagai Buah amin, Nipon-nipon (Malaysia), Chanca piedra (India), Tumbuhan Meniran (Indonesia), Quebra pedra (Amerika Selatan), Zhen chu cao, ye xia zhu (China), Stone breaker dan sebagai Shatter stone (lnggeris). Tumbuhan renek ini adalah daripada keluarga Euphorbiaceae. Dukung anak atau juga dikenali dengan buah amin ialah sejenis rumpai yang boleh tumbuh di kawasan yang mempunyai habitat yang berbeza-beza daripada tanah gambut, tanah granit, tanah mineral, tanah bris dan pelbagai jenis tanah lagi. Tumbuhan ini banyak terdapat sama ada di kawasan lembap dan kering, di kawasan kebun atau tanah terbiar. Walaupun tumbuhan ini dianggap sebagai rumpai bagi petani, ia juga merupakan tumbuhan yang mempunyai khasiat perubatan yang bernilai bagi pengamal perubatan tradisional. Genus Phyllanthus ini mempunyai lebih 500 spesies dan sebahagian daripadanya mempunyai nilai perubatan dan digunakan untuk rawatan pelbagai penyakit sama ada oleh penduduk di kawasan tropika atau suhu sederhana. alam beberapa rujukan penulis dapati secara tradisi tumbuhan ini banyak digunakan dalam sistem perubatan Ayurvedik, Yunani, perubatan Cina dan Amerika Selatan untuk rawatan penyakit berkaitan buah pinggang seperti batu karang, malaria, asma, pelawas kencing, penambah selera makan dan penyakit yang berkaitan hati. Di Malaysia, tumbuhan ini ini banyak juga digunakan untuk rawatan kencing manis, darah tinggi, gigitan serangga berbisa, cirit-birit, gatal­-gatal dan jaundis. Sejak akhir-akhir ini, kajian saintifik terhadap tumbuhan ini mula diberi perhatian khusus oleh para penyelidik memandangkan ia mempunyai sifat antivirus terutama virus hepatitis B. Antara spesies ubatan didapati daripada dokong anak yang digunakan di Malaysia ialah Phyllanthus acidus (Pokok cermai), Phyllanthus emblica (Pokok Melaka) dan ketiga adalah Phyllanthus pluchea (Pokok naga buana). Artikel subuuh ini saya mampu membaca beberapa buah buku dan jurnal untuk ditulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi herba Dokong Anak yang boleh dikomersilkan di Malaysia.

Pengurusan musuh perosak bagi dokong anak perlu dilakukan disepanjang penanaman. Sehingga kini dilaporkan bahawa pengeluaran dukung anak sama ada di kawasan tanah bris, aluvium atau gambut tidak menghadapi banyak masalah. Walau bagaimanapun bagi penanaman di kawasan yang lembap atau redup terdapat serangan oleh Kutu Daun boleh memberi masalah yang besar. Kini dengan cara menggunakan sungkupan plastik pantul cahaya banyak membantu menghalang serangan kutu daun. Dalam keadaan yang serius, racun perosak biopestisid seperti ekstrak biji pokok mambu boleh digunakan. Serangan penyakit lain yang mungkin berlaku adalah seperti layu atau lecuh anak benih dan yang terkini adalah oleh koya. Koya yang berwarna keputihan ini akan menyebabkan daun dokong anak rosak dan tidak bermutu. Beberapa kajian kawalan perosak ini secara organik telah dilakukan.


Penuaian hasil dokong anak hendaklah dijalankan pada masa yang bersesuaian untuk memastikan hasil dan kualiti bahan yang dipetik pada tahap maksimum. Ini kerana apabila pokok mencapai tahap umur kematangan tertenyu akan menghasikal fitokimia yang dikehendakki dalam kilang memproses. Lazimnya apa yang penulis lihat, masa penuaian amat bergantung kepada spesies dan kesuburan tanaman, tanaman dukung anak sedia untuk dituai selepas 8 hingga 10 minggu di ladang. Kelewatan menuai boleh menjejaskan hasil kerana selepas tempoh tersebut, daun akan mula gugur dimana ia mengandungi bahan yang dikehendakki untuk perubatan. Penuaian boleh dijalankan dengan memotong batang tanaman pada aras 5 cm dari aras tanah. Pastikan bahan tanaman yang dipetik tidak tereemar dengan bahan bukan organik seperti pasir, tanah dan bahan organik lain seperti najis ayam, serangga dan rumpai. Bakul buluh, rotan atau plastik boleh digunakan untuk mengendalikan hasil tanaman di ladang.


Pengendalian lepas tuai dilakukan dengan betul agar hasilnya boleh dipasarkan dengan kualiti yang dikehendakki oleh pengilang. Pertumbuhan tanaman yang baik di ladang tidak menjamin kualiti dan hasil yang tinggi jika penuaian dan aktiviti pengendalian lepas tuai tidak dijalankan dengan sempurna. Penuaian dan pengendalian yang sempurna dapat memastikan prestasi ladang yang baik dapat dikekalkan. Penurunan hasil dan seterusnya pengurangan pulangan kepada pengusaha boleh disebabkan oleh dua faktor utama iaitu kehilangan fizikal seperti tercieir dan rosak atau penurunan kualiti seperti penurunan kandungan bahan aktif bahan tanaman tersebut. Tanaman dukung anak yang dituai hendaklah dikeringkan secepat mungkin bagi mengelakkan penurunan kualiti. Beberapa sistem boleh digunakan untuk mengeringkan dukung anak. Bagi penanaman secara keeil-kecilan, dukung anak boleh dikeringkan dengan menjemur di kawasan teduh atau di bawah struktur pelindung hujan. Dalam keadaan cuaca yang baik, hasil dukung anak yang dituai didapati kering selepas 3 hingga 4 hari di dalam struktur pelindung hujan. Bagi pengeluaran secara komersial pula, pengeringan dengan menggunakan ketuhar komersial atau rumah pengeringan berasaskan ban pengeringan tembakau boleh digunakan.


Bagi memudahkan pengendalian dan penyimpanan bahan kering, pengeringan hendaklah dijalankan sehingga kandungan air ke tahap kurang daripada 10%. Jika ban pengawetan tembakau atau ketuhar komersial digunakan, suhu pengeringan hendaklah tidak melebihi 40°C. Bahan tanaman yang telah dikeringkan perlu disimpan di dalam bekas kedap udara. Setiap tanaman perlu disediakan anggaran Kosting untuk mengetahui cashflow. Kos pengeluaran bergantung kepada jenis tanah tempat tanaman ini diusahakan disebabkan penggunaan input tanaman dan pengurusan tanaman berbeza mengikut jenis tanah. Penggunaan input terutama baja organik dan tak organik adalah lebih tinggi di tanah bris berbanding dengan tanah aluvium ataupun gambut. Di samping itu, keperluan pengairan adalah sangat minimum bagi tanah gambut berbanding dengim tanah bris ataupun aluvium. Sehubungan dengan itu, kos pengeluaran sehektar bagi tanah bris, aluvium dan gambut masing-masing dalam lingkungan RM9 - RM20 (gred A) dan RM7 - RM9 bagi gred lain-lain. Kos pengeluaran sekilogram pula bergantung kepada hasil sehektar. Pada tahap hasil bahan kering sebanyak 1/200 kg/ha, anggaran kos pengeluaran sekilogram daun kering masing-masing bagi tanah bris, aluvium dan gambut ialah RM7.00. Semuga artikel herba Dokong Anak Part 1, Part 2 dan Part 3 ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology. Wasallam!.


DOKONG ANAK... PELIK BUNYINYA...
DULU DIRACUN... RUMPAI BAHAYA...
IA BERKHASIAT....KINI BERGUNA...
DITANAM KOMERSIL...MAHALNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Herba, Pusat Pertanian Serdang,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(18 Ramadan 1436H)
Posting dari Ban Non Plearn Unique House
Room 102, Chiang Rai, Thailand
On Coffee GAP Workshop

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...