Support My Blog

Tuesday, December 16, 2014

KOPI - KELEBIHAN MINUM KOPI

MINUM KOPI merupakan satu budaya yang telah diamalkan ramai penduduki dunia semenjak lama dulu. Kopi memang terkenal sebagai minuman paling popular dan digemari pelbagai bangsa di seluruh dunia dan merupakan industri yang mempunyai nilai berbillion juta ringgit. Minat mendalam masyarakat moden masa kini pada minuman berkafein berkenaan menyebabkan ia dihasilkan dalam pelbagai versi perasa mengikut cita rasa masing-masing. Peranan iklan yang berterusan dalam media massa dan elektronik selain daripada persembahannya yang baik menyebabkan ia terus menerajui industri minuman. Produk Kopi dihasilkan daripada tanaman kopi (Coffea spp) terutama daripada jenis Arabica dan Robusta yang ditanam secara komersil. Kopi Arabica kini menguasai 70% pasaran kopi dunia semantara kopi Robusta menguasai 28% pasaran kopi dunia. Penulis dapati kopi yang banyak ditanam di Malaysia iaitu kopi Liberica hanya menguasai cuma 2% pasaran kopi dunia. Kopi sering dihidangkan selepas mengambil selepas makan atau hanya diminum terus begitu sahaja sambil bersantai. Pengambilan minuman kopi memberi kenikmatan kepada peminumnya dan pastinya ia ada mempunyai kelebihan tersendiri. Walau pun ia minuman kegemaran ramai namun antara faedah kopi yang paling diperkatakan bukan setakat membuatkan seseorang itu berasa lebih bertenaga sebaik bangun tidur tetapi ia lebih daripada itu. Kopi mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan dan kecantikan kulit dimana diantaranya mengurangkan keradangan dan kemerahan pada kulit, malah menurut kajisn di Universiti Kebangsaan Seoul, Korea, kopi mampu bertindak hampir sama seperti aspirin. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technolgy" satu isu mengenai beberapa kelebihan mengenai minum kopi untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan.

Makanan dan minuman yang diambil oleh setiap manusia akan membekalkan tenaga dan pelbagai zat untuk kesihatan dan aktiviti harian. Minum kopi seperti minuman berkhasiat lain sangat signifikan dengan kesihatan dan kecantikan. Ada dinyatakan bahawa lingkaran gelap pada mata akibat kurang air, alahan, kurang tidur atau genetik juga boleh dikurangkan apabila disapu dengan kopi. Ini kerana kandungan kafein dikatakan mampu memperbaiki aliran darah di bawah kulit. Kenayaan melalui kajian saintifik ini dibuat sejak beberapa tahun terutama oleh pakar kecantikan dan permakanan di Barat. Begitu juga keadaan mata bengkak atau kemerahan juga boleh dikurangkan dengan meletakkan kantung kopi yang sudah digunakan di atas mata dan dibiarkan seketika untuk bertindak. Kini diantara hasil kajian dari kopi yang dijangka paling menggembirakan kebanyakan wanita adalah dimana kopi yang boleh didapati pada harga jauh rendah berbanding mendapatkan rawatan di SPA mampu dalam ia membantu mengurangkan masalah selulit yang sudah pasti merosakkan penampilan kecantikan seseorang. Dalam kajian Universiti Sao Paulo, Brazil, pada 2008, terdapat laporan pengkaji mendapati kafein mampu mengurangkan sel selulit hingga 17 peratus manakala satu lagi kajian yang dijalankan Universiti Persekutuan Rio de Janeiro ke atas sukarelawan, mendapati kafein juga dapat mengurangkan selulit pada pinggul sehingga 70 peratus.

Kini tanpa perlu membelanjakan wang membeli krim yang mengandungi kafein di pasaran, sesiapa saja mampu mendapatkan faedah kafein dengan menggosok sendiri serbuk kafein ke tubuh yang turut bertindak sebagai lulur (Sila lihat foto disebelah). Lulur kopi bukan saja dapat membersihkan kulit dengan membuang sel kulit mati, malahan ia menjadikannya lebih sihat dan lembut dan didakwa ia juga dikatakan mampu memperbaiki peredaran darah serta dapat membantu memperbaiki beberapa masalah kulit. Diantara dua sifat kafein yang menjadikannya bahan yang mampu mengurangkan masalah selulit pada tubuh adalah kerana ia bersifat diuretik dan mampu mengetatkan sel dan pembuluh darah. Sifat diuretiknya membantu dalam menyingkirkan lebihan air dari badan, seterusnya ia berkemampuan untuk mengurangkan masalah sembap yang sering dikaitkan dengan selulit dan seterusnya memberi penampilan lebih langsing. Namun begitu, penampilan langsing itu tidak kekal lama sebaliknya aktiviti menyental tubuh menggunakan serbuk kopi perlu dilakukan secara konsisten untuk mendapatkan kesan berpanjangan.

Kajian menunjukkan sifat antioksidan pada kopi membantu menjaga dan melindungi kulit daripada kesan merosakkan kerana ia mampu melawan radikal bebas yang selalunya dikaitkan dengan penuaan awal. Radikal bebas sering diakibatkan oleh kerosakan apabila terdedah kepada cahaya matahari atau pencemaran alam sekitar yang menjadi faktor utama terjadinya jerawat, kedutan, garisan halus dan bintik pada kulit. Kopi juga berkesan untuk mengurangkan bengkak dan kemerahan pada kulit termasuk mereka yang mempunyai kulit sensitif. Ia juga dikatakan mampu merangsang sel kolagen, yang mampu untuk kita menghasilkan kulit anjal dan gebu. Cara penggunaan kopi sebagai rawatan kulit adalah dengan memasak kopi dalam teko dan sapukan pada kulit dalam tempoh 20 minit selepas itu. Masukkan kira-kira tiga sudu besar serbuk kopi dalam mangkuk sebelum dicampur dengan sedikit garam, minyak badam dan minyak zaitun. Basahkan badan dengan air suam terlebih dulu untuk membuka liang roma dan kemudian sapukan di seluruh tubuh (Sila lihat foto disebelah). Teknik atau cara untuk menggosok secara bulatan sesuai diamalkan kerana selain membuang sel kulit mati ia juga dapat memperbaiki peredaran darah seterusnya menjadikan kulit lebih cantik. Ini menjimatkan kos membeli pelbagai produk kecantikan berjenama dipasaran sedangkan khasiat dari kopi tidak kurang hebatnya.

Air kopi yang sudah dimasak juga boleh dicelup dengan menggunakan bola kapas dan diletakkan pada bahagian mata setiap pagi dan malam untuk melancarkan lagi peredaran darah untuk mata. Satu lagi cara yang boleh dilakukan adalah mengisar biji kopi dan dicampurkan dengan sedikit air, kemudian digosok di seluruh tubuh dan di biarkan beberapa minit untuk mendapat kesan seperti melembapkan kulit. Kopi boleh dicampurkan dengan beberapa bahan lain untuk dijadikan cairan lekit untuk wajah seperti serbuk koko, susu penuh krim, putih telur dan minyak zaitun. Penggunaan kopi sebagai bahan penjagaan kulit bukan asing malah turut diamalkan oleh wanita di luar negara seperti di Russia, Indonesia, Hawaii dan Amerika Selatan sejak beberapa zaman. Malah bagi masyarakat Melayu sendiri terutama orang lama dimaklumkan selain sebagai bahan kecantikan kopi juga sering digunakan untuk merawat luka dan boleh menghentikan darah apabila serbuk kopi ditabur pada bahagian yang tercedera. Begiitulah hebatnya kelebihan produk kopi dalam apa juga bentuk pun. Perlu diingatkan minum air kopi mesti pada kadar bersesuaian dan elakkan mengambil secara berlebihan kerana ia akan memberikan kesan negatif pula. Industri tanaman kopi di Malaysia walau pun terus menurun keluasannya iaitu hanya seluas 3,474 hektar pada 2013 dan sebahagian produk masih bergantung pada kopi impot. Diharap pembaca "Anim Agro Technology" mendapat info berguna untuk dijadikan rujukkan. Wasallam!.

PRODUK KOPI... ADA KELEBIHAN...
SERBUK KOPI...UNTUK KECANTIKAN...
DIMINUM... MENJAGA KESIHATAN...
KENA AWAS...JANGAN BERLEBIHAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 614, Hotel Grand Continental,
Kuah, Langkawi,
Kedah, Malaysia.
(19 Safar 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...