Support My Blog

Wednesday, December 11, 2013

JAMBU BATU - POTENSI DIPROSES

JAMBU BATU (Psidium guava) merupakan sejenis buah yang popular di Malaysia sebagai buah untuk dimakan segar dan juga sesusai untuk diproses untuk pelbagai produk yang berasaskan jambu batu. Jambu Batu dari segi sejarah mula ditanam secara komersil di Perak dan Selangor sekitar awal tahun 1980'an dan kini ditanam dibanyak kawasan di Johor, Pahang dan beberapa negeri lain. Pada masa itu jambu batu telah ditanam diatas tanah mineral atau tanah pasir bekas lombong di sekitar Bidor Daerah Batang Padang, Perak tetapi kini tanaman jambu ditanam di tanah mineral dan juga tanah gambut. Di Negeri Johor seluas 409 hektar jambu batu ditanam tahun 2013 dengan Daerah Muar direkod menanam 241 hektar (60% dari keluasan seluruh Negeri Johor) dengan anggaran pengeluaran sebanyak 8,000 mt/tahun. Varieti yang popular ditanam di Muar ialah GU 8 atau popular dipanggil sebagai Varieti Kampuchea oleh petani tempatan. Terdapat 2 bentuk buah varieti jambu batu jenis ini iaitu Oval dan bulat. Jabatan Pertanian telah mendaftar sebanyak 16 jenis Klon Jambu Batu terdiri daripada Varieti GU 1 sehingga Varieti GU 16 dimana Varieti GU 1 - GU 11 dan GU16 adalah varieti jambu batu berbiji sementara Varieti GU 12 - GU 15 adalah jambu tanpa biji. Jabatan Pertanian mengesyorkan varieti seperti GU 8 , GU 9 dan GU 10 (Berbiji) dan tidak pernah pun mengesyorkan semua jenis jambu tanpa biji atas kestabilan pokok tersebut dan pakej teknologi yang tak lengkap. Varieti jambu batu terkini paling popular adalah Varieti LoHan (GU16) yang komsersil kerana buah berkuaiti dan hasil tinggi untuk kegunaan makan segar. Artikel kali ini saya menulis pengalaman saya dalam "Anim Agro technology" mengenai beberapa teknologi berkaitan kajian pemprosesan oleh MARDI dari jambu batu untuk dijadikan bahan rujukkan.



LAPORAN AKHBAR :
Khasiat jambu batu
oleh LAUPA JUNUS

Serbuk serat daripada bahan buangan jambu batu yang
boleh dimanfaatkan sebagai makanan.
PROGRAM pengambilan makanan sihat semakin menjadi trend kerana orang ramai semakin sedar mengenai penjagaan kesihatan. Menerusi pengambilan makanan seimbang, dengan khasiat yang mencukupi, pengguna yakin kesihatan mereka lebih terjamin. Tetapi berapa ramai yang tahu apa kandungan makanan berkenaan?. Kebanyakan mereka hanya tahu tentang vitamin, mineral dan sebagainya tetapi perkataan antioksidan agak asing dan masih baharu. Pengambilan makanan semula jadi meningkatkan pengambilan antioksidan yang sangat perlu kepada tubuh kita. Satu daripada sumber antioksidan yang peting ialah buah-buahan tempatan termasuk jambu batu. Sebab itu jambu batu kini turut dikomersialkan dengan dijadikan produk minuman. Namun, produk sampingan yang tidak dimanfaatkan daripada jambu batu ialah sumber seratnya. Industri jus buah seperti jambu batu merah menghasilkan produk sampingan yang banyak dan mempunyai potensi sebagai ramuan sumber serat baru untuk industri makanan. Namun produk sampingan itu tidak dieksploitasi sepenuhnya untuk tujuan komersial. Untuk itu, penyelidik di MARDI, Dr. Aida Hamimi Ibrahim memanfaatkan kandungan serat pada jambu batu dengan menggunakan sisa industri buah berkenaan.

MARDI telah menjalankan kajian penghasilan serbuk serat diet (DFP) daripada hasil sampingan industri jus jambu batu merah. Dr. Aida Hamimi memberitahu, beliau berpeluang menjalankan penyelidikan tersebut semasa mengadakan lawatan ke Golden Hope Food and Beverages Sdn. Bhd. di Kota Tinggi, Johor pada tahun 2003 untuk membincangkan projek penyelidikan dan pembangunan. ''Saya bertemu dengan Zaidah Abu Bakar dan daripada perbincangan tersebut memberi idea kepada saya untuk menggunakan produk sisa industri jambu batu untuk menghasilkan makanan kesihatan,'' ujarnya. Beliau kemudiannya memanfaatkan sisa industri tersebut dengan menjadikannya serbuk untuk menghasilkan serat diet yang boleh dimanfaatkan untuk bahan asas pembuatan makanan. Dalam penyelidikan beliau yang dimulakan pada 2003, bahagian yang digunakan ialah pulpa dan kulit buah untuk diproses menjadi serbuk berserat tinggi. Penggunaannya adalah tepat dan sesuai memandangkan jambu dianggap sebagai superfruit kerana kaya dengan serabut diet, vitamin A dan C, asid folik dan diet mineral. Dipercayai sebiji buah jambu mengandungi kira-kira empat kali ganda jumlah vitamin C berbanding oren.

Jambu batu juga mengandungi kepekatan antioksidan yang tinggi dan boleh dianggap sebagai satu produk semula jadi dengan sifat-sifat serat pemakanan serta sebatian antioksidan. Jambu batu merah mempunyai jumlah kandungan serat pemakanan yang tinggi, iaitu antara 56.6 - 76.1 peratus dengan nisbah serat pemakanan larut terhadap tidak larut menyamai nisbah yang terdapat dalam bijirin, dan mengandungi nilai kalori yang rendah (97.1 - 249 kcal/100 g). Produk berkenaan berwarna perang cerah dan berkeupayaan membendung air (3.75 - 12.17 g air/ g serat), minyak (2.20 - 6.88 g minyak/g serat) dan mengembang (11.8 - 14.2 mL of air/g serat) dengan baik. Produk berkenaan bukan sahaja boleh memperkaya serat diet dan mengurangkan nilai tenaga dalam makanan, tetapi boleh digunakan sebagai bahan-bahan dalam pelbagai produk makanan. Kajian menunjukkan serbuk serat diet mengandungi fruktooligosakarid (FOS) yang merupakan agen prebiotik. Di samping itu, produk tersebut mempunyai kandungan aktiviti antioksidan (52 - 91.4 AOA peratus,) kesan radikal scavenging (85.4 - 91.7 peratus), dan fenolik (156 - 227.6 FAE mg/g) yang tinggi.

Kajian in-vitro dan in-vivo menunjukkan serbuk serat diet daripada hasil sampingan jambu batu merah bersifat prebiotik di samping terdapat pengurangan mesofili bakteria dan penambahan bifidobakteria. Kajian juga menunjukkan serbuk serat diet mempunyai kesan hipokolesterolemik yang amat ketara, dalam mengurangkan paras serum jumlah kolesterol (43 peratus) dan LDL (51 peratus) dalam tikus. Aktiviti antioksidan yang tinggi dan kesan prebiotik dan hipokolesterolemik pada serbuk serat diet ini berpotensi sebagai ramuan makanan. Pada masa ini serbuk berkenaan telah dijadikan bahan asas dalam penghasilan pelbagai makanan termasuk biskut kek dan roti serta sebagai jus. Beliau yakin ia boleh diperluaskan kepada buah-buahan lan seperti nanas dan pisang. Beliau juga sedang mencari rakan kongsi untuk mengkomersialkan produk berkenaan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai makanan kesihatan. Demikian laporan potensi jambu batu untuk diproses seperti laporan akhbar tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan,
Wasallam!

JAMBU BATU...HEBAT KHASIATNYA...
MUDAH DITANAM...CEPAT HASILNYA...
PERLU DIJAGA... BUAH DIBALUTNYA...
HARGA LADANG... RM1.00 MINIMANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1203, Muar Traders Hotel,
Jalan Abdullah, Muar
Johor, Malaysia.
(5 Muharam 1435H - Lepas melawat dusun di Pagoh)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...