Support My Blog

Saturday, December 7, 2013

IKAN HARUAN - KAJIAN KHASIAT

IKAN HARUAN (Chana striatus) atau lebih dikenali sebagai 'Snakehead Fish' merupakan sejenis ikan karnivor yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan Besar atau Giant Snakehead (Chana micropeltes) yang juga dipanggil sebagai Giant Mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Ikan Toman (Chana melanostoma) juga dari kumpulan ikan haruan yang mudah kita jumpa didalam tasek, sungai, taliair dan kawasan sawah padi. Saya memang suka mengail ikan haruan di Sungai Parit Bengkok depan rumah atau di Kawasan Sawah Ring di Muar, Johor. Kadang2 mengail dimana-mana paya atau lubuk ikan di sekitar kampong semasa muda dahulu bersama rakan-rakan sekampong. Mengail ikan haruan memang sangat menyeronokkan kerana daya tarikan atau sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat!. Jarang-jarang kita semasa memancing ikan haruan yang terlepas semula, ini kerana ikan haruan akan makan habis umpan yang digunakan. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" info megenai beberapa laporan kajian mengenai ikan haruan dan maklumat berkaitan dengan ikan haruan untuk pembaca semua berdasarkan pengalaman sendiri, kajian dan rujukan beberapa sumber.


Penyelidikan dan analisis mengenai ikan haruan telah dibuat oleh Profesor Abdul Manan Mat Jais dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau mendapati bahawa ikan haruan adalah dalam kategori "Order of Channiformes," atau "Family Channidae" dan "Genus Channa" dan yang beliau buat kajian adalah spesis dinamakan Haruan Sawah (Channa striatus) yang mudah didapati diperairan kita. Beliau berkata terdapat 30 spesies ikan haruan di dunia dengan lapan jenis terdapat di Sarawak, dua di Sabah dan empat di Semenanjung Malaysia. Ikan tersebut adalah seperti IkanToman, Ikan Bujuk dan Ikan Haruan adalah dalam satu keluarga yang sama tetapi berlainan spesies. Prof Abdul Manan berkata keunikan haruan dewasa ialah ia menunjukkan perlakuan monogami selain mempunyai daya penguasaan wilayah yang cukup kukuh. Beliau memulakan penyelidikan ke atas ikan haruan pada 1985 dan ketika itu beliau terkejut apabila mendapat tahu ikan itu tidak dimasukkan dalam senarai ikan utama Jabatan Perikanan Malaysia. Ini kerana ikan tersebut tidak banyak populasinya dan agak sukar untuk diternak seperti ikan lain.


Meliau mendapati ialah ikan haruan merupakan satu sumber protein yang baik, kira-kira 60-70 peratus. Ia mengandungi lemak yang rendah dan hanya kira-kira 20 peratus daripada beratnya berbanding dengan ikan air tawar lain serta daging, kambing, ayam dan makanan laut, Ikan Haruan juga didapati mengandungi sejumlah besar Vitamin A. Kajian junga mendapati bahawa kehadiran logam berat seperti kalsium, magnesium, tembaga, besi, mangan, nikel, plumbum dan zink adalah lebih rendah daripada paras toksik yang dibenarkan untuk badan manusia. Prof Abdul Manan juga pasti iaitu kandungan asid arakidonik yang tinggi dimana ia dianggap luar biasa dan dengan ketiadaan eikosapentaenoikasid dalam haruan adalah satu hasil penemuan yang amat menarik. Kandungan Asid Arakidonik adalah petanda bagi prostaglandin. Ia memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula.


Ikan Haruan juga mengandungi asid amino yang penting untuk menyembuhkan luka terutama bahan dinamakan sebagai 'glisin' yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia.
Glisin merangkumi asid aspartik dan glutamik akan membentuk molikul protein yang penting untuk pertumbuhan semula dan penyembuhan. Ikan haruan mengandungi semua keperluan asas biokimia untuk penyembuhan luka,. Isinya yang putih, pejal dan tidak bertulang sudah pasti menjadikan haruan satu bentuk makanan serta makanan tambahan yang menjanjikan. Kini telah banyak produk ikan haruan yang diproses dan dipasarkan dalam bentuk sup, serbuk, kapsul, pil, straight drinks, ramuan dan sebagainya dipasaran. Sup Haruan Kalogen (Sila lihat foto diatas) merupakan salah satu daripada produk berasaskan ikan haruan yang sangat baik untuk kesihatan terutama mereka yang baru lepas menjalani pembedahan dan ibu lepas bersalin. Semuga siri penulisan sebanyak 7 siri ini membantu anda menambah ilmu pengetahuan mengenai ikan haruan. Wasallam!


Produk pati ikan haruan asli dipasaran Malaysia.
IKAN HARUAN... MAHAL HARGANYA...
DIBUAT SUP... CEPAT SEMBUHNYA...
KAWASAN LIAR... IA DICARINYA...
SUKAR DITERNAK... BAGAIMANA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 21551, Awana Genting Golf Resort,
KM 13, Genting Highland,
Pahang, Malaysia.
(19 Muharam 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...