Support My Blog

Tuesday, April 2, 2013

BUAH FIGS



BUAH FIG (Ficus carica) ini memang saya tidak berapa kenal dan jarang-jarang kita jumpa dalam pameran pertanian atau mana-mana stesyen pertanian. Buah Figs rupanya orang kita di Malaysia lebih kenal dengan panggilan 'Buah Tin' iaitu sejenis buah daripada keluarga Moraceae dan ia merupakan sejenis tumbuhan yang didapati natif dari kawasan Timur Tengah dan Asia Barat yang kini banyak ditanam di kawasan temperate secara komersil. Antara jenis figs terbaik adalah varieti yang dipanggil sebagai "Brown Turkey" yang mana ia mempunyai kulit coklat kemerahan, isi warna merah dan rasa yang manis (Lihat foto diatas). Kebanyakan buah figs ditanam dikawasan Mediterranean seperti Turki, Iran dan Mesir dan juga beberapa negara seperti Sepanyol, Portugal serta Greece. Kini tanaman buah figs telah berkembang ke USA, Argentina, Australia dan telah pun ditanam secara komersil penanamannya untuk pengeluaran buah segar. Apa yang saya baca daripada buku "Temperate and Sub-tropical Fruit Production" terbitan CABI International (2011) menyatakan, buah figs merupakan jenis buah yang dikaitkan dengan keagamaan sama ada agama Islam dan agama lain seperti Kristian, Budda, Hindu dan sebagainya. Semakan saya mendapati anggaran pengeluaran buah figs seluruh dunia sekitar 700,000 mt pada tahun 2010 (Laporan FAO Statistics). Negara utama yang menghasilkan buah figs didunia masa ini adalah Turki (sebanyak 255,000 mt/tahun)  diikuti dengan negara Mesir (185,000 mt/tahun), Algeria (99,000 mt/tahun), Iran (76,500 mt/tahun) dan Morocco (74,000 mt/tahun).  Artikel petang Selasa ini sambil melihat pergerakan perlahan banyak kenderaan yang lalu di Causeway JB-Woodlands (Dari Aras 19 Hotel New York), saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman buah figs untuk dibaca dan dijadikan rujukkan semua pembaca.


Pokok figs merupakan pokok yang perlukan cahaya matahari dan suhu panas dan dikawasan terbuka atas kebun atau boleh juga ditanam didalam pasu. Pokok figs bagaimana pun boleh tahan pada suhu sejuk rendah sehingga 10 darjah Fahrenheit tetapi bukan suhu sejuk yang lama . Jika ia ditanam dalam kebun secara komesil, pokok figs ini mampu tumbuh menegak sehingga mencapai ketinggian 50 kaki. Bagaimana pun lazimnya akan dijalankan 'cantasan pembentukkan' agar mendapat bentuk pokok yang mempunyai ketinggian berbentuk kanopi seperti kipas (fan shape) dan mudah untuk diuruskan. Pokok figs yang matang mampu berbuah dua kali setahun untuk jangkamasa selama 15 tahun. Kajian menunjukkan pokok ini memang diketahui mempunyai masaalah 'binneal' dalam menghasilkan buah.


Bahan tanaman pokok figs boleh didapati melalui kaedah pembiakan vegetatif seperti keratan batang dan juga dengan mengetut. Buah figs merupakan buah 'Synconium' iaitu ada ruang kosong dibahagian tengah (hollow) dengan isinya yang melekat pada kulit buah (Lihat foto dibawah). Buahnya mungkin berbentuk Obovoid atau Bentuk Buah Pear atau Bentuk Turbinate dengan ada lubang dihujung buah tersebut. Ukuran saiz buah sekitar 3-10 cm garispusat dengan berwarna hijau ketika muda. Warna kulit luarnya apabila masak berbeza mengikut varieti sama ada ianya hijau kekuningan, warna perak, tembaga atau ungu gelap. Bentuk bunga lazimnya sama dengan bentuk buah. Bunga figs akan terbentuk dimana ia berada didalam buah dan melakukan pendebungaan sendiri atau berbantu bergantung kepada varieti buah figs. Anehnya terdapat sejenis Tebuan Kecil (Blastophaga grosorum - tiny wasps) yang mempunyai sesungut panjang akan hinggap pada bunga buah figs dimana membantu menjalankan pendebungaan. 


Kulit luar buah figs adalah lembut dan nipis sahaja. Isinya sama ada berwarna putih, kuning pucat atau amber, pink, warna ros, merah atau ungu seperti berjerami melekat pada bahagian kulit (Lihat foto sebelah). Ia lazimnya agak melekit dan sedikit bergetah semasa buah masih muda tetapi akan menjadi berair (juicy) dengan rasa manis apabila cukup masak. Saya beberapa kali dapat makan buah figs segar ketika berkursus di Mesir pada tahun 2005 dan kawatan ke Beijing pada tahun 2012. Buah figs juga mempunyai biji sama ada ia bersaiz besar, sederhana, kecil atau sangat kecil (minute). Biji ini mengandungi banyak khasiat yang dimakan bersama kulitnya apabila buah figs telah dikeringkan. Rasanya manis jika ia dimakan bersama isi dan boleh dikunyah dengan mudah. Bagaimana teknologi penanaman buah figs dan amalan pengurusan yang perlu dilakukan?. Baca seterusnya....


Buah figs dipercayai natif dari Asia Barat dan telah ditanam semenjak 5,000 tahun dulu dimana kini telah ditanam dimerata negara daripada Jerman hingga ke Brazil, India, China, Jepun, Afrika Selatan, Australia malahan sehingga ke USA. Tanaman ini walaupun berasal dari kawasan iklim panas kering disekitar Mediterranean tetapi kini didapati telah sesuai ditanam di kawasan tropika terutama dikawasan tanah tinggi (ketinggian antara 800 - 1,800 meter dari aras laut). Penanaman pokok figs dikawasan tropika tanah rendah kurang berjaya disebabkan oleh kadar kelembapan yang tinggi dan . Pokok juga tahan kepada kesejukan salji dengan suhu 10-20 darjah. Hujan lebat yang turun pada masa pembentukkan buah akan menyebabkan buah pecah dan rosak. Kawasan paling ideal untuk tanaman buah figs adalah kawasan kering (arid) dan separa kering (semi-arid) dengan syarat ia mempunyai sistem pengairan sempurna. Suhu yang terlalu panas walau pun mempunyai sistem pengairan dimusim kemarau pula akan menyebabkan buah figs gugur sebelum waktunya.


Pokok figs boleh hidup dalam pelbagai jenis tanah daripada tanah jenis berpasir, lom berpasir, tanah liat , pasir halus dan juga tanah batu kapor (limestone). Tanah seperti dipinggit padang pasir juga boleh ditanam pokok buah figs (Lihat foto sebelah). Penting bagi pokok ini adalah tidak mudah berlaku masaalah akar terendam (waterlogged) kerana ia tidak tahan.Tanah dengan pH 6.0 - 6.5 adalah sesuai dimana jika ada unsur batu kapor sangat membantu pokok terutama pada musim kemarau. Pokok figs tidak sesuai ditanam dikawasan tanah berasid. Banyak laporan menyatakan pokok figs kurang sesuai dalam keadaan negara yang ada cuaca banyak hujan dan sering berlaku kelembapan yang tinggi kecuali jika ditanam dikawasan tanah tinggi.

Pembiakan pokok figs boleh dibuat daripada semaian biji dalam nurseri tetapi amalan yang paling praktikal dibuat adalah dengan KERATAN BATANG (Lihat foto sebelah). Biji daripada buah figs segar yang dijual dipasar atau buah figs yang kering juga boleh dikeluarkan dan disemai dimana ia boleh hidup. Pembiakan tampang secara layering tanah dan layering udara boleh dibuat walau walau pun ia boleh diamalkan. Pada masa ini teknologi mendapatkan anak benih melalui makmal tisu kultur berjaya dibuat dibeberapa negara seperti di Greece dan USA. Pilih dahan yang bebas penyakit, subur dari dahan berumur 2-3 tahun dipotong sepanjang 20-30 cm dengan ukurlilit batang 1.2-2 cm untuk dijadikan benih keratan. Cacakkan secara menyerong dalam nurseri dan bubuh hormon penggalak akar untuk mempercepatkan pengakaran. Anak benih pokok figs yang berumur 12-15 tahun dalam semaian sesuai untuk diubah keladang dan pilih anak benih sihat sahaja.


Penanaman pokok figs secara tradisional lazimnya hanya diletakkan dikawasan tanah kosong. Bagaimana pun penanaman komersil ditanah kosong adalah dengan jarak 4m x 4m memberikan kepadatan sebanyak 625 pokok sehektar (Lihat foto sebelah). Sistem lain penanaman dengan jarak 1.85 m x 7.5 m atau 3m x 4m juga boleh dibuat bergantung kepada varieti, kesesuaian kawasan dan kesuburan tanah. Sebaiknya benih yang baru ditanam dibuat sungkupan dengan pelepah pokok palma agar mudah tumbuh. Pokok figs lazimnya mula berbunga dan berbuah kurang dari satu tahun selepas ianya ditanam. Baja NPK dengan formula 10-30-10 atau 10-20-20 boleh diberikan mengikut umur pokok iaitu kadar 60 g sepokok pada pokok muda dan perlu dinaikkan kepada 100 g sepokok apabila dewasa. Tambahan baja mikro dengan kadar  sebanyak 60 g sepokok diberikan setiap 6 bulan sekali. Ketika musim hujan pastikan air dapat dikeluarkan dengan membina parit agar akar pokok tidak tenggelam dimana jika gagal dibuat akan menyebabkan pokok mati. Lazimnya pokok figs akan berbuah selepas 1 tahun dan bertahan sehingga 12-15 tahun lamanya sebelum diganti dengan tanaman baru.


Diantara masaalah dan musuh tanaman buah figs adalah Cacing Nematod (Meloidogyne spp) yang menyerang bahagian akar tumbuhan. Kawalan masaalah ini menggunakan racun Nematod yang ada dipasaran. Selain itu dilaporkan serangan Ulat Pengorek Batang (Bactocera rufomaculata) yang mengorek batang pokok figs dan boleh menyebabkan pokok mati (Lihat foto sebelah)Ulat Pengorek Buah (Azochis gripusalis) juga dilaporkan di negara Venezuela dimana larvanya akan masuk melalui buah seterusnya masuk kebahagian batang dan dahan serta menyebabkan pokok boleh mati. Ulat Makan Daun akan makan pucuk muda dan menyerang pada masa tertentu dan dikawal dengan racun serangga. 'Scale Insect' menyerang kulit pokok dan ianya merosakkan tanaman jika tidak dikawal. Penyakit Karat Daun yang disebabkan oleh kulat Ceroteleum fict menyebabkan daun gugur awal dan sebabkan hasil akan berkurangan. Serangan Bintik Daun (Cercospora fict) atau sejenis kulat Cylindroclaium scoparium perlu juga dikawal. Bagaimana pun jika pokok figs diserang dengan Mozaic Virus memang perlu dimusnahkan sebab tiada kaedah kawalan. Kumbang Buah Kering (Carpophilis spp) merosakkan buah dengan masuk daripada lubang mata dan membawa kulat lain seperti kulat Aspergillus niger yang menurunkan kualiti buah.  


Pokok buah figs lazimnya berbuah dua kali dalam setahun iaitu pada buan Mei-Jun dan bulan November -Disember. Buah yang hampir masak akan bertukar warna kepada kekuningan, ungu atau kemerahan bergantung kepada varieti dan dipetik menggunakan tangan (kita boleh pilih buah yang masak sahaja). Sebaiknya menggunakan sarung tangan ketika memetik buah untuk mengelakkan terkena getah yang keluar dari pokok atau buah yang dipetik. Bagi pokok yang agak tinggi, lazimnya kerja memetik buah perlu menggunakan tangga. Penuaian buah figs diladang komersil yang luas dinegara maju menggunakan jentera mekanikal. Penggunaan bahan kimia seperti Etephon yang disembur pada pokok dengan helikopter khas dari udara akan mempercepatkan proses kematangan buah dan gugur 10 hari lebih awal. Ini akan mengurangkan kemungkinan buah rosak akibat dari diserang perosak dan serangga. Jentera mekanikal akan menyedut (sweep) buah yang gugur ditanah dan dikumpulkan didalam kontena. 


Buah figs yang telah dipetik lazimnya dibiarkan selama satu hari dibawah pokok untuk menghilangkan kesan getahnya. Buah tersebut kemudian dikumpulkan dan digredkan mengikut kualiti seperti warna, saiz dan kecacatan. Buah akan dimasukkan dalam kotak sebelum dihantar untuk dijual atau kekilang memproses buah figs yang berhampiran. Setiap kotak diisikan 10-15 kg buah figs segar yang telah digredkan. Kajian mendapati hasil sepokok buah figs adalah sebanyak 180-360 biji sepokok bergantung kepada umur seperti laporan dari India. Sementara itu dilaporkan juga di Venezuela dimana setiap pokok figs mampu menghasilkan sekitar 10-15 kg buah figs segar sepokok. Buah figs memang merupakan buah yang cepat rosak (Perishable) dan perlu disimpan dalam bilik sejuk. Simpanan buah figs dalam suhu antara 4-6 celcius dengan kelembapan 75% mampu bertahan selama 8 hari dan bertahan 2 hari selepas dikeluarkan. Kajian juga menunjukkan jika disimpan dalam suhu 10 celcius dengan kelembapan 86%, buah mampu bertahan selama 21 hari dan jika suhu 0 -1.6 celcius buah boleh bertahan selama 30 hari. Begitulah teknologi penanaman buah figs yang memang jarang ditulis oleh saintis kita di Malaysia kerana tidak dikomersilkan dinegara kita. Lagi banyak ilmu bagaimana pun lebih baik daripada tidak tahu langsung. Kita mudah membeli dan menikmati buah figs kering (Lihat foto dibawah). Baca artikel mengenai buah figs kering dalam artikel akan datang.
Wasallam!
Buah figs kering berkhasiat.
POKOK FIGS... BUAH 'TIN' PUN DIA...
NEGARA TURKI...BANYAK TANAMNYA...
PELBAGAI KHASIAT... BANYAK JENISNYA...
FIGS KERING... ANTARA PRODUKNYA...

By,
M Anem

Room 1820,
Hotel New York,
Jalan Abdullah Tahir,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(21 JamadilAwal 1434H)








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...