Support My Blog

Thursday, November 8, 2012

DULANG SEMAIAN (Germination tray)

DULANG SEMAIAN (Germinaation tray) merupakan satu alatan yang digunakan untuk kerja-kerja menyemai biji benih tanaman terutama tanaman sayur-sayuran dan tanaman yang mempunyai saiz biji benih yang halus. Teknologi untuk kita menggunakan dulang semaian kini telah menjadi satu kaedah yang praktikal dan digunakan oleh kebanyakan petani sayuran komersil  dinegara kita. Kebanyakan mereka mendapati sistem menggunakan dulang semaian dapat menjimatkan kos pembelian benih hibrid yang mahal, cara semaian  yang mudah dibuat, jimatkan tenagakerja, saiz anak benih yang seragam, mudah untuk dialihkan keladang dan teknologi aplikasi yang mudah di amalkan. Berbanding dengan kaedah menyemai biji benih terus pada lubang penanaman, teknik menggunakan dulang semaian memberikan kecekapan lebih baik pada keseluruhannya walau pun ada kos tambahan dari segi pembelian dulang semaian, kos pembelian media semaian dan kos untuk penyediaan rumah semaian.  Artikel subuh ini selepas solat subuh, saya menulis mengenai dulang semaian dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi bersama pembaca berdasarkan pemerhatian, pengalaman dan rujukkan daripada beberapa sumber.


Dulang Semaian lazimnya diperbuat daripada bahan plastik berwarna hitam dan mempunyai banyak lubang. Dahulu dulang semaian ini banyak diimpot tetapi kini banyak telah dikeluarkan oleh pengilang tempatan dengan kos RM 3.00 sekeping. Dua saiz dulang semaian yang lazim digunakan adalah dulang yang mempunyai 104 lubang dan 82 lubang. Kedua-dua jenis dulang ini mempunyai ukuran standard iaitu 35 cm lebar dan  57 cm panjang dengan saiz lubang yang berbeza. Keperluan memilih bilangan lubang penanaman bergantung kepada saiz biji dan anakbenih yang hendak disemai. Tanaman yang berbiji halus dan kecil sesuai menggunakan saiz 104 lubang seperti cili semantara saiz 82 lubang sesuai untuk menyemai jagung, kacang panjang dan sebagainya.


Bahan yang sesuai digunakan  sebagai media tanaman dalam dulang semaian ada bermacam jenis dari tanah campuran, tanah bakar, cocopeat, peatmoss, Holland Peat dan sebagainya bergantung kepada modal, kesesuaian, jenis tanaman dan kemahiran kita.    Bagi semaian benih cili , saya nasehatkan agar elakkan dari menggunakan bahan dari tanah campuran atau tanah bakar untuk mengelakan patogen dari tanah dan disyorkan menggunakan peatmoss atau Holland Peat. Harga Holland peatmoss diantara RM 28.00 - RM 36.00 bergantung kepada lokaliti dan dimana ianya dibeli. Bahan ini paling popular digunakan kerana mudah, pertumbuhan seragam dan mengandungi bahan nutrien. Pengalaman saya mengisi peatmoss kedalam dulang semaian adalah dengan mengisi 90-95% penoh sahaja dalam lubang dan dipadatkan sedikit dengan menekan gunakan tangan. Jika di tekan terlalu padat boleh menyebabkan pertumbuhan agak lambat kerana akar benih sukar untuk bergerak. Penggunaan bahan peatmoss atau Holland Peat ini perlu jimat cermat kerana ianya agak mahal dan mengandungi nutrien untuk membantu akar diperingkat awal percambahan.


Cara menyemai bijibenih amat mudah iaitu dengan meletakkan biji yang telah dirawat kedalam lubang. Pastikan kita meletakkan bijibenih betul-betul berada ditengah-tengah bulatan lubang agar anakbenih nanti akan mendapat ruang secukupnya. Benih yang terjatuh di tepi lubang perlu dialihkan agar diletak semula ditengah-tengah lubang sebelum ditekan masuk sedalam 3-5 mm kedalam peatmos bagi benih kecil seperti benih cili. Cara memasukkan bijibenih ini adalah ditekan dengan menggunakan alatan seperti pencungkil gigi yang telah ditanda dengan pen/pensil ukuran 3-5 cmm. Timbus perlahan-lahan biji cili tadi dengan tangan dan jangan terlalu padat. Penyiraman perlu dijalankan dengan mengunakan 'hand sprayer' keatas peatmoss agar biji benih tidak beralih tempat. Pastikan aktiviti penyiraman dijalankan dengan rata untuk semua lubang penanaman kerana ianya mempengaruhi proses percambahan jika ada lubang yang tidak mendapat air kelak. Sentiasa memeriksa dulang semaian anda.


Dulang Semaian perlu disimpan ditempat khas iaitu dalam keadaan terlindung dari hujan, cahaya matahari dan sebarang gangguan dari musuh dan perosak. Panas cahaya matahari akan menyebabkan peatmoss atau cocopeat menjadi cepat kering dan ini melambatkan proces percambahan. Media tanaman mestilah sentiasa dalam keadaan lembab dan penyiraman dijalankan 2 kali sehari (pagi dan petang). Satu kaedah  yang saya syorkan adalah dengan meletakkan sekeping dulang semaian kosong (tray kosong) dibahagian atas dulang yang telah diisi benih tadi. Cara ini memudahkan kita memeriksa dan menyiram serta melindungi daripada sinaran cahaya matahari. 
SELAMAT MENCUBA!

DULANG SEMAIAN...ADA 104 LUBANGNYA...
HARGA MURAH...PRAKTIKAL CARANYA..
MEDIA SEMAIAN...PEATMOSS NAMANYA...
ANAKBENIH SUBUR... SERAGAM SAIZNYA...

By,
M Anem
Room 105, Hotel Seri Malaysia,
Tanjong Gemok, Rompin,
Pahang,  Malaysia.
(8 November 2012 bersamaan 23 Zulhijjah 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...