Support My Blog

Wednesday, November 28, 2012

ALAT PENGIKAT BENIH NENAS

ALAT PENGIKAT BENIH NENAS merupakan sejenis alat khas yang digunakan untuk mengikat sulur benih Nenas (Ananas cosmosus). Alat ini merupakan satu inovasi yang telah dicipta oleh seorang penanam nenas daripada Pulau Pinang yang sangat praktikal, murah, tahan lasak dan banyak menjimatkan masa. Encik Roslee bin Ahmad dari Kampong Selamat, Tasek Gelugor, SPU, Pulau Pinang  telah menanam nenas varieti Morris selama lebih 5 tahun dan kini berjaya mencipta alat ini untuk kegunaannya sendiri. Benih dari Sulur Nenas (Ground suckers) merupakan satu daripada punca benih selain daripada Bahagian Sulur Udara (Aerial suckers) dan juga bahagian Jambul (Crown). Anakbenih sulur nenas diperlukan dalam kuantiti yang banyak iaitu antara 18,000 - 20,000 seekar. Benih Sulur merupakan paling banyak digunakan sebagai bahan tanaman dan ianya perlu diikat untuk dibawa kekawasan penanaman baru. Artikel malam ini saya akan menulis sejenis alat pengikat sulur nenas dalam 'Anim Agro Technology' untuk dikongsi maklumat bersama  dan dijadikan satu lagi inovasi dalam pertanian.


Benih nenas lazimnya disediakan dalam bentuk anak sulur (suckers) yang di perolehi daripada pokok induk nenas dimana ia perlu dikumpulkan sebelum dihantar kekawasan baru untuk ditanam. Lazimnya sulur ini akan di kumpulkan kemudian disusun dan diikat dengan dawai dalam 30 sulur satu ikatan. Pemerhatian yang saya buat mendapati, kerja mengikat dengan kaedah konvensional ini memerlukan masa selama 1.47 minit untuk 30 sulur dengan cara menyusun kemudian aktiviti mengikat menggunakan dawai (Sila lihat foto). Kerja menyusun anak sulur diatas dawai memang agak sukar kalau tidak biasa, kemudian mengikat dengan dawai, mengetatkan dan seterusnya memotong hujong daun sulur dengan parang. Lazimnya bagi mengikat 9,000 sulur (300 ikat) perlukan masa selama 7 jam 35 minit dan memang amat meletihkan pengusaha. Kalau hendak membekalkan sebanyak 20,000 sulur seekar, hampir 15 jam diperlukan untuk kerja menyediakan ikatan anak benih. Ini jika dijalankan oleh mereka yang mahir dalam kerja mengikat sulur. 


Alat Pengikat Sulur Nenas (APSN) ini juga merupakan inovasi baru yang dicipta beliau dimana ia amat mudah, murah dan sangat praktikal. Alat ini mempunyai komponen besi yang dibentuk seperti 'bangku' dengan alat pemadat besi (Sila lihat foto sebelah). Harga membuatnya hanya RM 60.00 satu unit seberat 1.5 kg sahaja. Cara untuk kita menggunakannya juga amat mudah dengan menyusun sulur benih nenas diatas ruangan khas sebanyak 30 unit dan kemudian di tekan besi pemadat kebawah sebelum dikunci dan diikat dengan menggunakan kawat dawai. Daripada pemerhatian yang saya buat, satu kali mengikat sulur nenas memerlukan masa cuma 1.11 minit sahaja. Kalau hendak mengikat 300 ikatan (9,000 sulur) hanya perlukan selama 5 jam 55 minit sahaja atau penjimatan sebanyak 1 jam 40 minit. Kalau kita hendak mengikat untuk 20,000 sulur ada perbezan masa selama 5 jam bekerja. Bayangkan penjimatan masa untuk mengikat sebanyak 5 ekar ladang baru untuk tanam sebanyak 100,000 sulur benih nenas.


Alat ini amat senang digunakan dan ianya amat mudah dibawa, tahan lasak dan tidak perlukan penyelenggaraan. Selain daripada cepat dan kemas, ikatan sulur ini juga lebih seragam kerana kerja pemotongan daun atas sulur dibuat mengikut paras besi tidak seperti dengan kaedah yang lama dimana cara pemotongannya tidak seragam. Orang yang bukan petani nenas pun dapat gunakan alat ini dengan mudah dan cepat. Selain daripada itu, apabila kita sudah letih dikawasan ladang nenas, alat ini boleh di terbalikkan untuk dijadikan meja letak hidangan atau juga boleh dijadikan kerusi untuk berehat atau melepaskan kepenatan di ladang. Tahniah En Roslee yang dicalonkan untuk anugerah Inovasi Jabatan Pertanian Malaysia 2012.  Wallahualam!


En Roslee berehat diatas alat tersebut.
ALAT APSN MUDAH ... IKAT BENIH NENAS...
PENCIPTA KREATIF... INOVASI BERNAS...
HARGANYA MURAH ... TAHAN LAMA....
SIAPA BERMINAT ... BOLEH BERTANYA...

By,
M Anem

Tasek Gelugor
Pulau Pinang
Malaysia
(11 Muharram 1434H)



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...