Support My Blog

Monday, May 30, 2011

INDUSTRI BUNGA MALAYSIA


MALAYSIA adalah sebuah negara beriklim tropika yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun dan juga hujan yang banyak serta suhu yang stabil sepanjang tahun. Selain daripada tanaman industri yang maju seperti tanaman Kelapa Sawit (Elais guineensis) dan Tanaman Getah (Hevea braziliensis) serta koko (Theobroma cacao) dan Kelapa (Cocos nucifera), terdapat hutan malar hijau yang menghasilkan kayu balak dan menyumbang pendapatan negara yang sangat signifikan. Tanaman makanan utama seperti tanaman Padi (Oryza sativa), Buah-buahan dan Sayur-sayuran juga memberikan nilai pulangan ekonomi yang tinggi kepada Malaysia. Sektor Bunga-bungaan atau Florikultur di Malaysia merupakan salah satu daripada industri yang berkembang dengan pesat dimana pada tahun 2010 sebanyak 2,421 hektar bunga-bungaan telah di tanam dengan menghasilkan sebanyak 468.148 juta bilangan keratan bernilai RM 290.078 juta. Artikel pagi Ahad ini saya berbicara mengenai status industri bunga di Malaysia berdasarkan bacaan kepada satu laporan terkini daripada MoA yang saya baca.

Negeri Johor merupakan kawasan industri penanaman dan pengeluaran bunga paling aktif di Malaysia dengan melibatkan keluasan sebanyak 1,039 hektar dan menghasilkan sebanyak 41.3 juta keratan pada 2010. Johor juga telah menghasilkan 86% industri tanaman bungaan di Malaysia. Kebanyakan lokasi industri bunga di Johor terletak disekitar Daerah Johor Bahru, Kulai Jaya, Kota Tinggi, Muar, Batu Pahat dan Kluang. Sebahagian daripada pengusaha bunga-bungaan ini adalah merupakan pelabur-pelabur daripada Singapura yang menanam pelbagai jenis orkid dan bunga keratan lain. Pahang juga antara negeri yang menanam seluas 282 hektar menghasilkan sebanyak 84.4 juta keratan diikuti terutama di tanah tinggi Cameroon Highland. Negeri  Perak pula menanam seluas 223 hektar dengan hasil sebanyak 2.5 juta keratan dan Selangor menanam seluas 103 hektar pada tahun 2010. Lain-lain negeri menanam kurang dari 25 hektar tanaman bunga setahun.

Kajian saya menunjukkan bahawa seluas 2,420 hektar kebun bunga beroperasi pada tahun 2010 berbanding hanya sebanyak 1,780 hektar kebun bunga beroperasi pada tahun 2005. Daripada jumlah tersebut sebanyak 2,294 hektar kebun bunga terdapat di Semenanjung Malaysia, 52.4 hektar di Sabah dan 66.1 hektar di Sarawak. Terdapat seramai 735 usahawan bungaan yang terlibat dalam industri ini pada 2010 dengan seramai 655 di Semenanjung Malaysia, 35 orang di Sabah dan 20 orang di Sarawak sementara hanya 15 orang di WP Labuan. Industri ini melibatkan seramai 7,640 orang bilangan pekerja pada tahun 2010 dengan kebanyakannya adalah buruh asing. Daripada seramai 735 pengusaha dalam industri bunga seramai 395 pengusaha beroperasi sebagai Syarikat, 320 pengusaha sebagai Individu dan hanya 20 pengusaha sektor agensi kerajaan. Kawasan yang dimajukan oleh syarikat seluas 2.051 hektar sementara keluasan oleh pengusaha individu cuma 339 hektar sahaja dan agensi kerajaan seluas 31 hektar.

Industri bunga di Malaysia di bahagikan kepada 4 kategori perusahaan iaitu ORKID, BUKAN ORKID, POKOK DAUN KERATAN dan POKOK BUNGA HIASAN. Pembahagian ini adalah berdasarkan kepada kesesuaian mengikut aktiviti industri bunga yang di laksanakan mengikut kesesuaian. Industri Orkid pada tahun 2010 di Malaysia melibatkan sebanyak 40,401,771 bilangan pokok yang di tanam berbanding hanya sebanyak 12,143,907 pokok orkid ditanam pada tahun 2005 (meningkat melebihi 3 kali ganda). Sebanyak 173,666,522 keratan atau pasu bunga orkid telah dihasilkan pada tahun 2010 bernilai sebanyak RM 104,119,913. Kawasan utama penanaman orkid adalah di Johor diikuti dengan Selangor, Perak dan Pahang. Kebanyakan keratan orkid yang dihasilkan adalah untuk pasaran ekspot.


Antara orkid yang banyak ditanam di Malaysia adalah seperti Noorah Aishagoff Pink, Orkid Mokara Chark Kuan, Orkid Mokara Red, Orkid Phalaenopsis, Pakis, Patthayya Beauty White, Peacock Pink, Peacock Purple, Peacock White, Sabine, Sharifah Fatimah Kuning, Solidago Golden Red, Sonia Bom Pink, Statice, Sumala dan Wah Chark Kuan. Orkid paling mahal dipasaran pada 2010 adalah Jenis Orkid Sumala dengan harga sebanyak RM 3.00 satu keratan. Ini diikuti dengan Jenis Orkid Mokara Chark Kuan dan Jenis Orkid Phalaenopsis dengan purata harga runcit RM 2.20 satu unit keratan diikuti dengan jenis Sharifah Fatimah Kuning dengan harga Runcit RM 2.05 satu keratan. Orkid Mokara Red adalah jenis paling murah dipasaran dengan purata harga runcit cuma RM 1.20 satu unit.

Bagi Kategori Bunga Bukan Orkid sebanyak 129,986,277 pokok ditanam pada tahun 2010 dengan menghasilkan sebanyak 178,709,489 keratan atau pasu yang bernilai sebanyak RM 123.6 juta. Antara pokok yang diusahakan adalah seperti Bunga Anne Black, Anthurium Merah (Foto di kiri), Aranda Iskandar Kuning, Bangkok Gold, Carnationn Standard Merah, Christine No 1, Christine No 130, Chrysthanthemum Standard Kuning, Etkatpol Merah, Gerbera Merah, Lilium Kuning dan Rose Merah. Kebanyakan bunga ini ditanam di nurseri swasta dan individu yang berada di kawasan tanah tinggi dan kawasan tanah rendah.

Kategori Pokok Bunga Daun Keratan melibatkan 38.7 juta pokok ditanam pada tahun 2010 dengan menghasilkn sebanyak 104.7 juta keratn atau pasu yang bernilai sebanyak RM 12.132 juta. Kebanyakan industri ini membekalkan produk untuk tujuan landskap di kawasan perbandaran dan hotel-hotel serta ketika diadakan perayaan keagamaan mengikut kaum di Malaysia. Bagi kategori Bunga Hiasan terdapat sebanyak 31.2 juta pokok di tanam pada tahun 2010 dengan pengeluaran sebanyak 14.04 juta keratan atau pasu dan bernilai sebanyak RM 44.15 juta. Pada keseluruhannya industri bunga adalah berkembang baik di Malaysia dengan penglibatan banyak sektar swasta yang menyuntik banyak modak dalam industri ini. Peranan kerajaan untuk majukan lagi sektaor ini perlu dengan memberikan insentif khas, perkhidmatan R&D dan pengembangan serta kemudahan untuk keperluan pasaran ekspot.

TANAM POKOK....POKOK BUNGA...
BUNGA ORKID....JOHOR TEMPATNYA...
DIEKSPOT KELUAR....UNTUNG AGAKNYA...
TOLONG MAJUKAN...INDUSTRI BERGUNA...

Related articles:
1. Bahan Tanaman di Malaysia (Klik disini)
2. Fruit Industry Status in Malaysia (Click here)
3. Pengeluaran Benih Sayur (Klik disini)
4. Tanam Pokok Buah2an dalam Pasu (Klik disini)
5. Tanam Mangga dalam Pot (Klik disini)
6. Floriculture in Malaysia (Click here)

By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Cuti pagi Ahad )

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...