Support My Blog

Tuesday, December 28, 2010

MELON

MELON (Cucumis melo L.) adalah sejenis tanaman jenis tembikai dari keluarga CUCURBITACEAE yang kini sangat popular ditanam di Malaysia. Buah melon sangat digemari kerana rasa yang sedap, manis, bentuk yang menarik dan digemari oleh semua gulongan masyarakat. Ramai tidak mengetahui bahawa melon adalah berbeza dengan Tembikai (Watermelon). Melon mempunyai pelbagai nama lain seperti Melon; Musk Melon; Cantauloupe (English), Blewah; semangka ; londo (Indonesia), bluwak (Malaysia), milon ; itimon ; atimon (Filipina), trasak sorroow (Cambodia) , teeng laay (Laos) dan taeng-tai ; taeng-lai (Thailand). Penulis akan berkongsi maklumat mengenai teknologi tanaman melon berdasarkan pengalaman di kebun petani semenjak tahun 1984 - 1995 (waktu bekerja di MIADP Melaka) yang terlibat dalam projek penanaman melon diatas tanah sawah terbiar dan kini banyak melihat tanaman melon di usahakan secara moden dengan sistem fertigasi dan sistem terbuka. Artikel kali ini ditulis sekali lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman yang semakin popular di Malaysia iaitu tanaman melon untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Melon dipercayai berasal dari kawasanUtara Benua Afrika sebelum di majukan di kawasan Meditrenean dan kemudian tersebar ke Eropah dan kawasan Asia dan seluroh dunnia. Buah melon dimakan segar kerana rasanya yang lazat manis dan juga di buat jus minuman atau di buat ''cocktail'. Terdapat buah melon yang diproses dalam tin dan dikeringkan. Biji melon apabila digoreng ada yang boleh dijadikan makanan ringan atau kita panggil di Malaysia "Kuaci". Saya mendapati keluasan penanaman melon di dunia telah meningkat dari 700,000 hektar pada 1994 kepada 1.56 juta hektar pada tahun 2008. Pengeluaran juga meningkat dari 9 juta metrik tan pada 1994 kepada 16.8 juta metrik tan pada 2008 (Sumber : FAO Stat Report). Negara pengeluar utama melon didunia adalah China (150,000 ha), Turki (150,000 ha), India (100,000 ha), Sepanyol (70,000 ha), USA (42,000 ha), Romania (10,000 ha), Jepun (18,000 ha), Itali (17,000 ha), Peranchis, Taiwan dan Australia. Penanaman melon di Malaysia dulu diusahakan diatas tanah tetapi masa kini ramai petani berminat untuk menanam melon secara sistem fertigasi walau pun kos asas membuat Struktur Pelindung Hujan (SPH) mahal. Anatara kawasan penanaman melon di Malaysia seperti di Johor, Melaka, Kelantan, Pahang, Perak , Sabah dan Sarawak. Melon ditanam untuk pasaran domestik dan ekspot (Terutama ke Hong Kong dan Singapura). Varieti melon yang ditanam disetiap negara berbeza-beza mengikut kehendak pasaran tempatan dan kesesuaian tanah serta 'agroclimate'.


Kandungan nilai pemakanan setiap 100 g melon adalah air (89 g). Protin (0.6-12 g), Lemak (0.2 g), Kabohiderat - terutamanya gula (6-15 g), Vitamin A (500 -4,200 IU), Vitamin B (0.06 mg), Vitamin C (6-60 mg), Niacin (0.4-0.9 mg), Vitamin B1 (0.06 mg), K (330 mg), Ca (5-18 mg), Fe (0.2-0.6 mg), Mg (8-17 mg), P (7-57 mg) dan tenaga 75-220 kilojoule (kJ). Biji melon juga mengandungi minyak kuning sebanyak 46% dan protin sebanyak 36%. Anggaran berat biji benih melon adalah 25-35 gram setiap 1,000 biji. Melon adalah jenis tumbuhan menjalar dan merambat yang mempunyai batang 1-3 m panjang bebentuk segi-segi dan lembut. Bunga melon berwarna kuning berukuran 1.2-3 cm serta mempunyai 5 kelopak. Buah melon mempunyai banyak bentuk dari yang berbentuk bulat atau bujur, globular atau ovoid. Buah melon mempunyai perbagai julat dari kuning, putih, oren, hijau, pink atau kesemua kombinasi warna. Purata berat buah 0.4-2.2 kg sebiji bergantung kepada varieti. Kajian saintifik menunjukkan biji benih melon tahan sehingga 5 tahun dalam simpanan bilik sejuk -18 celcius dengan kelembapan 6%. Benih yang digunakan di Malaysia kebanyakkannya jenis Hibrid yang diimpot dari Taiwan atau China. Benih perlu disemai dalam 'tray semaian' yang mengandungi media cocopeat atau tanah (Keperluan benih 0.5 kg /ha). Setelah berumur 4 minggu boleh diubah kekebun dengan jarak tanaman 50-75 cm x 150-200 cm yang akan memberikan kepadatan 10,000 - 15,000 pokok sehektar. Ada petani yang menanam terus di kebun dengan 2 biji satu lubang. Keperluan biji benih tanam terus keladang adalah sebanyak 1.5 - 2.0 kg sehektar. Sistem pengairan perlu bagi tanaman melon dengan pengairan titis atau pengairan renjis.


Penyediaan tanah dengan membajak dan menaikan batas bagi kawasan tanah rendah seperti tanah sawah. Sebaiknya amalkan GAP dengan penggiliran tanaman antara cucurbit dengan tanaman lain. Gaulkan baja organik dengan kadar 20-30 mt sehektar kedalam batas dan tutup dengan plastik silvershine sebagai sungkupan. Plastik ini dapat mengawal rumpai, mengekalkan kelembapan tanah, mengawal serangga perosak dan memudahkan pembajaan. Tanaman melon adalah sangat sensitif dengan pemberian baja dan jika tidak diberikan akan menjejaskan pertumbuhan dan kualiti buah. Baja NPK yang disyorkan adalah baja Nitrojen (60-120 kg/ha), P (20-40 kg/ha) dan K (120-140 kg/ha). Sebaiknya pengapuran sebanyak 100-140 kg/ha diberikan untuk mengurangkan kemasaman tanah. Melon seperti juga tembikai mempunyai banyak penyakit dan serangga perosak yang menyerang dimana mampu merugikan petani dengan teruk. Pengalaman saya di Tangkak dan Air Keroh Melaka beberapa kali menjumpai petani yang rugi besar akibat tidak mendapat hasil kerana diserang penyakit. Penyakit Layu Fusarium (Fusarium oxyporium sp melonis) menyerang disemua peringkat. Penyakit Kulapok Berdebu atau Powdery Mildew (Erysiphe spp atau Sphaterotheca spp) juga mampu merosakan tanaman dengan teruk dan ytrutama di akhir peringkat penanaman. Penyakit Kulapok atau Downy Mildew (Pseudoperonospora cubensis) juga merbahaya kepada melon. Penyakit Lecuh Anak Benih (Didemella bryoniae) dan Antraknos (Collectotricum lagenarium) juga menyerang tanaman melon. Reput Akar Bakteria (Ervinia traichepila) dan Penyakit Virus Mozek juga menyerang melon. Maknanya tanaman melon memang mudah diserang penyakit. Kawalan menggunakan racun serangga, amalan giliran tanaman, penggunaan plastik silvershine, pembajaan yang cukup dan sentiasa membuat 'farm surveilance'.


Melon juga diserang beberapa jenis serangga seperti Aphid (Aphid spp), Kutu Spider (Tetranchyus urticae), Lalat Buah (Daucus spp.), Kumbang (Diabrotica spp.), Ulat Makan Daun (Aulacophora similis) dan lalat (Bactocera cucurbitaceae). Kawalan disyorkan dengan menggunakan semburan racun serangga tetapi kena berhati-hati kerana racun tersebut boleh membunuh agen pendebungaan yang akan menjejaskan penghasilan buah. Serangan cacing Nematod (Meloidogyne spp) juga mampu menjejaskan pertumbuhhan melon dan kawalan dengan racun Nemacur membantu mengurangkan serangan. Buah melon akan matang dalam masa 3-4 bulan dengan memilih buah yang telah matang. Petik menggunakan pisau dan kumpulkan mengikut gred berdasarkan saiz, berat, warna dan sebagainya. Anggaran hasil melon lingkungan 5- 30 metrik tan sehektar tetapi pemerhatian saya mendapati tanaman melon di kawasan Muar dan Melaka diatas tanah rendah sebanyak 13 mt sehektar. Kajian dibeberapa negara jiran mendapati penghasilan Biji (seed) melon sebanyak 300-500 kg/ha bagi pendebungaan terbuka dan 100-150 kg/ha untuk jenis hibrid. Cara memasarkan buah melon dihantar terus ke Pasar Borong atau Pusat Pengumpulan sebelum digredkan dan diekspot keluar negara. Purata harga runcit melon di Malaysia RM 4.50 - RM 7.00 sekilogram bergantung kepada jenis dan kualiti.

Tanaman melon merupakan satu komoditi baru di Malaysia yang mempunyai masa depan yang cerah. Teknologi penanaman melon semakin maju dengan penanaman didalam SPH yang menjamin kualiti buah, mengurangkan risiko serangan penyakit dan perosak dan enviroment kerja yang selesa. Sistem Fertigasi Tanaman Melonn telah maju dengan beberapa projek TKPM Fertigasi yang berjaya menghasilkan melon yang berkualiti melalui pelbagai verieti. Saya positif tanaman melon mampu menjadi komoditi buah-buahan penting pada masa akan datang sebagai sumber ekonomi bernilai tinggi yang baru. Wasallam!


TANAM MELON.....DAPAT HASILNYA....
AMALKAN GAP...BUAH BERKUALITI....
BUAH MELON....LAZAT RASANYA ...
HASIL LUMAYAN..TIDAK SAKIT HATI....


By
M Anem
Senior Agronomist
TKPM PUlau Gadong,
Kompleks Pertanian Pulau Gadong,
Melaka, Malaysia.
Pernah betugas di Melaka (14 tahun)
Putrajaya


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...