Support My Blog

Friday, April 30, 2010

Sayur Cekur Manis


Cekur Manis (Sauropus androgynus) adalah sejenis sayuran dari keluarga EUPHOBIACEAE yang dijadikan sayuran daun tetapi merupakan tumbuhan pokok renek tidak seperti sayuran daun yang lain. Cekur manis juga di panggil Sweet leaf bush (Inggeris), Mani cai (China), Pak waan (Siam), Sabah Sweet Shoot (Sabah), Katuk; babing ; simani (Indonesia), ngub (Laos), hvaan baanz (Laos) dan phakwan-ban (Thailand) merupakan sejenis sayuran yang ditanam secara tradisional semenjak dulu kala. Cekur manis merupakan pokok renek berwarna hijau gelap di percayai banyak didapati di Asia Tenggara. Jabatan Pertanian melaporkan seluas 353 hektar cekur manis di tanam dengan penghasilan sebanyak 4,450 mt bernilai RM 10.78 juta pada tahun 2007. Kawasan penanaman utama cekur manis ialah di Sarawak (212 hektar), Sabah (73.5 hektar) dan Selangor (37.8 hektar). Kebanyakan sayur pucuk cekur manis adalah untuk pasaran domestik dan hanya sedikit yang diekspot ke Singapura. Penulis berpengalaman dalam menjalankan projek tanaman sayur cekur manis secara komersial ketika bertugas di Projek MIADP Melaka dengan mempromosikan tanaman tersebut di sekitar Air Keroh dan Bukit Baru Melaka bersama Jabatan Pertanian dan MARDI. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman cekur manis untuk bacaan dan rujukkan anda.

Kegunaan cekur manis selain daripada dimakan bahagian pucuk dan daun muda (Lihat foto sebelah). Kebanyakan daun dan pucuk cekur manis adalah digunakan untuk sayuran dan ada yang menjadikan sebagai ubat-ubatan seperti ubat  untuk ibu lepas bersalin. Khasiat cekur manis didakwa mampu untuk menggalakkan pengeluaran susu, melawaskan kencing dan mengurangkan demam. Kajian saintis dari Buku PROSEA 'Vegetables for tropical' mendapati kandungan zat cekur manis setiap 100 g yang dimakan adalah 79.8 g air, lemak 1.8 g, Karbohiderat 6.9 g, Protin 7.6 g, Serat 1.9 g, Vitamin A 10,000IU, Vitamin B 0.23 mg, Vitamin C 136 mg, Ca 234 mg, Fe 3.1 mg dan tenaga sebanyak 310 kJ. Terdapat laporan jika makan daun cekur manis berlebihan akan menyebabkan pening kepala. Ini mungkin berkaitan dengan kandungan bahan cyanide (Jika ada) akibat pencemaran.


Cekur manis merupakan pokok renek yang monocious mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (ditanam dikebun 0.5-0.7 m sahaja) serta mempunyai bentuk daun yang bujur atau alternate berukuran 2-3 cm lebar. Pokok cekur manis mempunyai batang menegak berwarna hujau (bahagisn muda) dan coklat (Bahagian tua) serta bercabang. Bunganya berwarna merah serta dimana ia akan mengeluarkan buah yang mempunyai 3 bahagian kandul 3 biji (Lihat foto sebelah) . Pokok cekur manis memerlukan cahaya matahari yang banyak serta tanah subur yang tidak ditenggelami air. Saliran dan batas diperlukan mengikut kesesuaian tanaman. Sebaiknya pilih tanah mineral atau tanah gambut yang subur dengan tidak terlindung.


Kaedah pembiakan dengan keratan dari bahagian batang yang telah matang walau pun ada yang cuba tanam dengan biji benih. Keratan sepanjang 20-30 cm diambil dan boleh terus ditanam diatas batas yang disediakan atau ditanam ditapak semaian sehingga akar keluar sebelum di ubah kekebun (Lihat foto sebelah). Penanaman menggunakan biji sangat lambat dan peratus percambahan biji juga tidak menentu. Jarak tanaman yang sesuai adalah 0.3 meter x 0.5 meter diatas batas lebar atau diatas tanah rata. Pengairan adalah penting pada peringkat awal penanam sehingga penuaian hasil. Sistem sprinkler sering diguakan untuk kawasan cekur manis. Pokok cekur manis perlu dicantas awal untuk membentuk cabang yang banyak dan mendidik agar banyak pucuk baru akan keluar.


Antara perosak yang menyerang cekur manis ialah Ulat Pengorek Daun, Koya, Hamama dan juga binatang ternakan. Belum ada penyakit seious yang musnahkan tanaman cekur manis. Pembajaan menggunakan baja organik yang banyak dari peringkat awal seperti tahi ayam (1 kg/pokok) dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 0.4 kg/pokok/tahun. Paling mudah baja organik sentiasa dengan kadar 10 tan sehektar secara berterusan. Baja semburan daun atau Baja Foliar boleh digunakan untuk mempercepatkan pertumbuhan pucuk baru. Pengeluaran pucuk mengikut musim (terutamanya pada musim panas dan kering). Baja foliar yang sering diguna seperti Grofas dan lain-lain baja cecair dipasaran.


Pucuk muda di petik setiap hari dengan memotong kira-kira 20-25 cm dari pucuk dan dikumpulkan. Daun bahagian pangkal di buang atau di kurangkan untuk kerja-kerja penggredan (jika perlu). Pucuk2 ini di susun dan di potong bahagian pangkal agar rata dan diikat dengan getah pengikat lingkungan 200 - 300 gram seikat. Susun dengan cara menegak dalam kotak polistrin dan lembabkan dengan semburan air bersih. Kotak ditutup dan bawa ke pusat jualan dengan segera. Petani di Melaka menghantar pucuk cekur manis sehingga ke Kuala Lumpur dan Singapura. harga jualan di ladang antara RM 8.00 - RM 10 sekilogram. Bahagian lain yang di hasilkan ialah dengan memotong kira-kira 40 -50 cm bahagian batang dan dijual untuk penduduk tempatan. Harga sekitar RM 2.00 - RM 4.00 sekilogram.

Pucuk cekur manis biasanya di masak dengan udang atau belacan dan dimakan sama ada terus di restoran atau bersama-sama nasi panas. Satu pinggan (kurang lebih 1-2 ikat) sayuran cekur manis atau Pucuk manis Sabah dijual dengan harga RM 15 di restoran cina. Pengalaman penulis memajukan sayuran ini di Melaka pada tahun akhir 1990'an perlu diteruskan. Antara resepi yang popular masakan sayur cekur manis adalah masak lemak dengan labu manis (Lihat foto sebelah). Menu ini sering kita juma direstoran masakan kampong dimana-mana juga. Selain itu ramai juga yang suka masak pucuk cekur manis dengan tumis cili api bersama ikan kering yang dimakan dengan nasi panas. Apa-apa pun kita boleh menanam sendiri cekur manis dikeliling rumah kita kerana ia amat mudah tumbuh dan berhasil sepanjang tahun. Wasallam!


SAYUR DAUN ... PUCUK CEKUR ...
TANAM SENANG...KITA BERSYUKUR...
BAJA ORGANIK... JADUAL DIATUR...
PASAR TANI... HARGA DI TAWAR...
TUMIS BELACAN...TIDAK BEREDAR..


Related Articles:
1.  Cashflow Sayur-sayuran (Klik disini)
2. Hidroponik (Klik disini)
3. Pegaga (Klik disini)
4. Lokia (Klik disini)
5. Paku Pakis (Klik disini)

By
M Anem

Senior Agronomist.
Kebun Sayur Air Keroh,
Melaka, 
Malaysia.
(Kemaskini artikel pada 17 Ogos 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...